![]()
Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan mayat Datin Seri Pamela Ling Yueh ditemukan di sebuah rumah di Petaling Jaya seperti yang tular di media sosial sejak semalam. Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan tangkap layar hantaran berbahasa Inggeris bertajuk Police Interview Pamela Ling's Children and Family Friend in Death Investigation adalah berita palsu dan tiada laporan berhubung penemuan mayat diterima setakat ini. "Pihak polis mengesahkan tidak menerima apa-apa laporan berkaitan penemuan mayat di sebuah rumah di Petaling Jaya seperti yang dinyatakan dalam laporan yang tular itu. "Ditegaskan di sini, menyebarkan berita palsu suatu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu tangkap layar memaparkan satu hantaran di akaun media sosial sebuah portal berita tempatan mendakwa penemuan mayat Pamela Ling di Petaling Jaya. Tangkap layar itu memaparkan satu laporan berita yang mendakwa pihak polis menemu bual anak dan rakan Pamela Ling kononnya bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita itu pada 13 Mei. Mengulas lanjut, Hussein berkata, individu yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu berkenaan boleh didenda mencecah RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. "Denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabit kesalahan. Justeru, Polis Selangor mengingatkan masyarakat supaya merujuk sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat. "Kerjasama orang ramai dalam mengekang penyebaran berita tidak sahih amat dihargai bagi memastikan ketenteraman terjaga dan kelancaran proses siasatan," katanya. - HARIAN METRO |
ADVERTISEMENT