Penduduk mendakwa ia adalah kejadian pertama tiga ekor gajah liar masuk ke kawasan sekolah sehingga menimbulkan ketakutan kepada guru dan murid-murid. Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chalil, Sa'rani Hassan, 64, berkata, lebih 1,500 penduduk di RKT Kesedar Chalil hidup dalam ketakutan dan dihantui kebimbangan susulan kemunculan gajah liar yang semakin kerap. Katanya, sebelum ini sudah lebih 10 kali gajah liar masuk ke kawasan kampung dan merosakkan tanaman diusahakan penduduk berhampiran rumah mereka. "Gajah liar berkenaan dipercayai masuk ke kawasan perumahan guru kira-kira jam 3 pagi dan merosakkan pagar, pokok kelapa, kelapa sawit serta pisang di kawasan berhampiran. "Pada jam 6.30 pagi semalam, gajah berkenaan masih lagi berada di dalam kawasan sekolah dan sedang memakan tanaman di kawasan berhampiran. "Situasi itu mengejutkan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke sekolah. Situasi ini membimbangkan kami penduduk di sini berhubung keselamatan anak-anak sekiranya terserempak dengan gajah liar terbabit," katanya semalam. Sementara itu Ketua Peneroka RKT Kesedar Chalil, Suhaimi Che Hamid, 54, berkata, serangan dan kemunculan gajah liar semakin kerap berlaku sehingga menimbulkan rasa bimbang kepada penduduk kampung sejak sebulan lalu. Katanya, mereka berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat membantu memindahkan gajah berkenaan berikutan kami bimbang dengan keselamatan nyawa penduduk terutamanya murid sekolah. "Saya berharap tindakan segera dapat diambil pihak PERHILITAN kerana masalah ini membabitkan keselamatan nyawa penduduk. "Ketika ini warga sekolah berkenaan bimbang gajah liar itu akan kembali ke kawasan perumahan mereka dan sekolah," katanya. Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk berhubung kejadian itu.
|
ADVERTISEMENT