![]()
Suspek yang dikenali sebagai Shivu atau nama sebenarnya Shivarappan dari Begur, ditahan baru-baru ini oleh polis Byadarahalli bersama dua rakannya, Anil dan Vivek. Mereka dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di bahagian barat Bengaluru, dan Shivu sahaja berdepan sekurang-kurangnya 11 pertuduhan, menurut laporan itu. Ketika ditahan, Shivu berkata, "Saya gunakan wang hasil rompakan untuk bayar yuran 20 pelajar miskin yang belajar di sekolah dan kolej," dakwanya. Penjelasan ala 'Robin Hood' itu dipandang skeptikal oleh polis, tetapi tidak terus ditolak. "Shivu mendakwa membelanjakan kira-kira Rs14 lakh (RM79,000) untuk tujuan itu. Kami sedang menyiasat kesahihan dakwaannya," kata seorang pegawai penyiasat kepada TOI. Polis berjaya merampas kira-kira 260 gram emas yang dicuri oleh kumpulan itu, sebahagiannya dijual di Tamil Nadu, namun sejumlah lagi wang iaitu Rs14 lakh (RM79,000) yang didakwa digunakan Shivu untuk pendidikan dan membeli kenderaan, masih belum ditemui. Menurut kenyataan polis, Shivu memperoleh sekitar Rs22 lakh (RM124,000) hasil penjualan emas curi. Selain membiayai pelajar, dia juga mendakwa membeli dua buah auto rickshaw — masing-masing bernilai Rs4 lakh (RM22,600) — untuk diberikan kepada dua rakannya. Dalam satu lagi pengakuan mengejutkan, Shivu memberitahu polis bahawa dia pernah terfikir untuk membunuh diri akibat rasa malu dan beban hidup sebagai penjenayah. "Namun apabila saya lihat ramai pelajar bergelut untuk bayar yuran, saya temui tujuan baharu. Saya putuskan untuk bantu mereka, walaupun terpaksa langgar undang-undang," katanya seperti yang didakwa. Namun begitu, polis tetap berhati-hati. "Kami belum pasti sama ada dia bercakap benar atau cuba meraih simpati," kata seorang pegawai kanan. "Kerap kali pencuri cipta naratif emosi selepas ditangkap. Kami akan siasat dengan lebih mendalam untuk sahkan fakta. Apa pun motifnya, jenayah tetap telah dilakukan." Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT