|
PARIS: Virus selesema burung sudah merebak dalam kalangan burung liar, ternakan ayam dan mamalia sehingga berpotensi mengakibatkan pandemik lebih teruk daripada COVID-19. Pengarah perubatan di Pusat Jangkitan Pernafasan Institut Pasteur di Perancis, Marie-Anne Rameix-Welti, tidak menolak kemungkinan itu berlaku jika virus selesema burung bermutasi sehingga menular sesama manusia. "Apa yang kami bimbangkan adalah virus ini dapat menyesuaikan diri dengan mamalia, terutama manusia, sehingga mampu menular antara manusia dan virus itu akan menjadi virus pandemik," katanya. Institut Pasteur, antara makmal Eropah pertama yang membangunkan dan berkongsi ujian pengesanan COVID-19, menawarkan protokol tersedia itu kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta makmal di seluruh dunia. Influenza burung yang sangat patogenik biasanya dipanggil selesema burung, mengakibatkan ratusan juta burung dibunuh dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengganggu rantaian bekalan makanan sehingga meningkatkan meskipun jangkitan sesama manusia jarang berlaku.
Mengulas lanjut, Rameix-Welti berkata orang ramai memiliki antibodi terhadap selesema bermusim seperti H1 dan H3 yang biasa. Bagi selesema burung H5, beliau berkata tiada antibodi untuk melawan penyakit itu, seperti mana tiada antibodi terhadap COVID-19. Tambahnya virus selesema juga boleh membunuh individu yang sihat termasuk kanak-kanak. "Pandemik selesema burung mungkin akan sangat teruk, berpotensi lebih teruk daripada pandemik yang kita alami sebelum ini," katanya. Terdapat banyak kes manusia dijangkiti virus selesema burung H5 sebelum ini, termasuk H5N1, yang kini tersebar dalam kalangan ayam dan lembu tenusu di Amerika Syarikat (AS), tetapi kebiasaannya berlaku akibat kontak rapat dengan haiwan yang dijangkiti. Kes manusia pertama H5N5 dilaporkan di Washington, AS, bulan ini membabitkan seorang yang mempunyai penyakit kronik dan meninggal dunia minggu lalu. Dalam laporan terbaru mengenai selesema burung, WHO mendedahkan terdapat hampir 1,000 wabak manusia antara 2003 hingga 2025 terutamanya di Mesir, Indonesia dan Vietnam, dengan 48 peratus daripadanya meninggal dunia. Ketua Jabatan Sains di Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, Gregoria Torres, berbeza pandangan apabila menegaskan risiko berlaku pandemik dalam kalangan manusia masih rendah. - REUTERS |
sharlenetexas: Weols dah dua tiga kali cucuk vaksin free lah. Itu kan tujuan vaksin.
ADVERTISEMENT