|
Penantian hampir dua dekad akhirnya terbayar apabila pelakon Nazim Othman, 41, meraih trofi sulung dalam kerjaya seni menerusi kategori Aktor Pembantu TV Popular. Pernah tercalon pada edisi ke-31 dan 34 acara anugerah berprestij ini, Nazim mengetepikan pencabar terdekat iaitu Edika Yusof, Fadlan Hazim, Nazrief Nazri dan Zamarul Hisham. Nazim menerima pencalonan menerusi lakonan sebagai Luqman Al Hakim dalam drama Wanita Syurga, siaran Slot Akasia TV3 dari Mac hingga Mei tahun lalu. Penampilannya yang menjadi nadi kepada emosi drama itu mendapat pujian penonton, sekali gus melayakkannya menggenggam trofi yang sekian lama ditunggu. Sebelum ini, Nazim turut pernah dicalonkan pada ABPBH 32 menerusi kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pasangan Serasi Drama bersama Fasha Sandha. Dua tahun kemudian, di ABPBH 34, Nazim kembali berada dalam senarai pencalonan kategori Pelakon TV Popular.
Nazim yang pernah memenangi trofi Personaliti Fesyen Melodi pada 2016 memulakan kerjaya profesional sebagai pramugara Malaysia Airlines (MAS) selama empat tahun sebelum beralih hala ke dunia lakonan. Drama Frontpage pada 2008 menjadi pentas awal yang membuka seluasnya pintu rezeki dalam industri seni. ABPBH 37 diharumkan oleh Daia, jenama penjagaan cucian terkenal, manakala kafe gaya Eropah, DOME Cafe sebagai Rakan Bersama ABPBH 37. Malam kemuncak ABPBH 37 disiarkan secara langsung TV3 dari Hotel Premiera Kuala Lumpur, di sini. ABPBH 37 bertemakan SATU Keunggulan juga boleh distrim melalui Tonton. Sumber – BH |

ADVERTISEMENT