|
KUALA LUMPUR – Taktik licik sekumpulan penjenayah menyamar sebagai polis dengan melakukan samun bersenjata di sekitar Kepong membawa padah apabila enam lelaki tempatan diberkas dalam serbuan berasingan, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kes samun melibatkan dua warga China serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun. Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi hingga 7.30 pagi 5 April lalu, enam suspek dipercayai memecah masuk kediaman mangsa sebelum melakukan samun. “Salah seorang suspek bertindak mengacu objek menyerupai pistol kepada mangsa. Modus operandi kumpulan ini adalah menyamar sebagai pegawai polis dan menyasarkan kediaman warga asing. “Seorang suspek merupakan anggota polis yang ditahan tugas atas kesalahan dadah, manakala dua lagi dipercayai pengawal keselamatan telah menyalahgunakan lesen senjata api,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek melarikan tiga buah kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200 dan AS$1,200 (RM4,800), pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas. “Anggaran keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan mencecah RM4.4 juta,” katanya. Mengulas lanjut, Fadil berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menahan tiga lelaki pukul 8.45 malam pada hari sama. “Penahanan tersebut membawa kepada tangkapan susulan tiga lagi lelaki berusia antara 31 hingga 51 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini di sekitar Kuala Lumpur,” ujarnya. Menurut Fadil, polis turut merampas dua pucuk pistol, lima buah kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit serta dua pas keselamatan. Tambahnya, perintah reman ke atas semua suspek dibenarkan selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan. Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran. Sumber :– KOSMO! ONLINE
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
20-4-2026 07:28 AM GMT+8 , Processed in 0.209697 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.