|
KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo, mengesahkan laporan media dari negara itu yang mendakwa sebahagian kawasan Pulau Sebatik di Sabah kini berada dalam wilayah republik berkenaan adalah tidak benar.
Mohammad Iman menegaskan kepada Berita Harian bahawa kawasan seluas 127.3 hektar itu sebenarnya masih berstatus 'grey area' dan perbincangan bagi menetapkan status sebenar pulau berkenaan masih belum diputuskan. "Saya mahu menegaskan (Pulau Sebatik) bukan di bawah kuasa Indonesia, ia masih 'grey area'. Perbincangan mengenai statusnya masih berjalan di peringkat tinggi. "Berita dari Indonesia tidak betul. Tolong jelaskan berita itu tidak betul," katanya ketika dihubungi di Jakarta, hari ini. Pada masa sama, Mohammad Iman berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklumat lebih sahih sama ada berita itu adalah laporan palsu atau individu terbabit silap menyatakan fakta berkenaan. "Saya perlu periksa lagi berhubung sumbernya kerana banyak yang tidak jelas, namun apapun ia tidak benar," katanya. Terdahulu, media melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP) Indonesia, M Qodari, memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, kini sah menjadi milik Indonesia. Qodari dipetik berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dengan Malaysia. Namun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menafikan dakwaan itu dan menegaskan laporan berkaitan dakwaan itu seperti disiarkan media tempatan di negara jiran sebagai tidak tepat, selain tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan berkaitan sempadan di antara Malaysia dan Indonesia. Ketika ditanya sama ada perbincangan lebih lanjut akan dibuat dalam masa terdekat berhubung penetapan kawasan terbabit, Mohammad Iman berkata, pihaknya masih menunggu hal terbabit. "Kita masih menunggu hal itu dan akan memaklumkan mengenai perkara terbabit nanti," katanya. Sumber : Kosmo
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
10-5-2026 01:47 PM GMT+8 , Processed in 0.205098 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.