WASHINGTON: Tempahan hotel berkaitan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan jauh lebih rendah daripada jangkaan industri meskipun kejohanan itu hanya berbaki lebih sebulan untuk bermula.
Persatuan Hotel dan Penginapan Amerika (AHLA) menjalankan tinjauan membabitkan ahlinya di 11 bandar raya tuan rumah perlawanan Piala Dunia termasuk New York dan Los Angeles dengan hasil kajian diumumkan semalam.
Sebanyak 80 peratus responden memaklumkan tempahan hotel masih berada di bawah unjuran awal, manakala kira-kira 65 peratus pula menyatakan isu visa serta kebimbangan geopolitik menjejaskan permintaan.
"Beberapa faktor menyebabkan keterujaan awal semakin berkurangan, walaupun petunjuk semasa masih menunjukkan ada peluang besar menjelang kejohanan ini," kata Presiden AHLA, Rosanna Maietta.
"Untuk merealisasikan potensi itu sepenuhnya, AS dan FIFA perlu memastikan pengalaman lebih mesra dan lancar buat pelancong antarabangsa."
AS menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada dengan aksi pembukaan berlangsung di Mexico City pada 11 Jun ini, manakala final dijadual berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.
Presiden AS, Donald Trump sering mempromosikan status negara itu sebagai tuan rumah kejohanan bola sepak terbesar dunia, namun pada masa sama pentadbirannya turut memperketat dasar visa terhadap pelawat asing.
Pentadbiran Trump memberi jaminan pemegang tiket Piala Dunia akan dibantu mendapatkan visa, tetapi semua permohonan tetap perlu melalui proses tapisan ketat.
Kumpulan penyokong turut menyuarakan kebimbangan mengenai harga tiket yang terlalu tinggi, penjualan semula pada harga melampau serta kos pengangkutan untuk menghadiri perlawanan.
Laporan AHLA yang diterbitkan menerusi "Tinjauan Hotel Piala Dunia FIFA 2026" turut menggambarkan situasi suram buat industri perhotelan.
Di Kansas City, tempahan hotel dilaporkan jauh lebih rendah berbanding kadar biasa bagi Jun dan Julai.
Di Boston, Philadelphia, San Francisco dan Seattle pula, ramai pengusaha hotel menyifatkan kejohanan itu seperti "bukan satu acara besar."
Pengusaha hotel turut mendakwa tempahan bilik secara besar-besaran oleh FIFA yang kemudiannya dibatalkan mewujudkan gambaran permintaan palsu pada peringkat awal.
"Ketika hotel berdepan permintaan tidak menentu dan ketidakpastian berterusan, ramai mula menilai semula strategi atau menangguhkan pelaburan berkaitan Piala Dunia seperti aktiviti promosi, kerjasama jenama dan kerja naik taraf sementara," menurut laporan itu.
Sebagai reaksi, FIFA menjelaskan pelepasan tempahan bilik dilakukan mengikut garis masa kontrak yang dipersetujui dan ia adalah amalan biasa bagi acara sukan berskala besar. – AFP
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|