KULAI – Seorang warga emas maut selepas basikal ditunggang dirempuh sebuah kereta ketika melintas di kilometer 35 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 7.30 pagi.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila basikal ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun dilanggar sebuah kereta dengan nombor pendaftaran tidak pasti ketika melintas jalan.
“Akibat kemalangan tersebut penunggang basikal mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507
Sumber – MalaysiaGazette
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|