|
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion atau 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion dana yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali gus mencatatkan antara kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi kes jenayah kewangan berskala besar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu melebihi anggaran awal sebanyak 70 peratus atau sekitar RM30 bilion yang diumumkan sebelum ini. “Sehingga kini, berdasarkan data, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng adalah sebanyak RM42 bilion, manakala nilai aset yang berjaya diperoleh semula setakat 2025 ialah kira-kira RM31.3 bilion. “Ini mewakili 74.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diseleweng dan kadar ini dianggap pencapaian besar serta mendapat pengiktirafan antarabangsa. Mengikut piawaian global, pemulihan antara 60 hingga 70 peratus sudah dianggap luar biasa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan karya seni bernilai tinggi berkaitan pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di ibu pejabat SPRM di sini hari ini. Beliau berkata, antara aset yang berjaya dipulihkan termasuk hasil penjualan kapal layar mewah Equanimity bernilai kira-kira RM543 juta, selain pemulangan jet peribadi dan hartanah di luar negara. Tambahnya, Malaysia turut mencapai penyelesaian global melibatkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments, selain firma audit Deloitte dan KPMG yang menyumbang berbilion ringgit kepada negara. “Pemulangan dana oleh individu dan entiti lain, termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), turut memperkukuh pencapaian ini. “Usaha ini dilaksanakan melalui mekanisme seperti Bantuan Perundangan Bersama, perkongsian risikan kewangan, perbincangan dua hala serta pelucuthakan aset rentas sempadan melibatkan negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura,” katanya. Azam menegaskan, SPRM akan terus komited mengesan dan mendapatkan semula baki aset yang diseleweng tanpa mengira lokasi atau tempoh masa. “Usaha ini bukan sahaja untuk memulihkan kewangan negara, malah mengembalikan maruah dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara. “Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan,” katanya. Sumber – MalaysiaGazette
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-5-2026 10:01 AM GMT+8 , Processed in 0.115016 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.