|
KUALA LUMPUR: Selepas 14 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama Awal Ashaari, pelakon dan pengacara, Scha Alyahya mengakui pemahaman serta penerimaan menjadi kunci utama hubungan mereka kekal utuh hingga hari ini. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Mahadzir berkata, pada awal perkahwinan dia percaya komunikasi adalah jalan terbaik menyelesaikan konflik, namun pandangannya berubah selepas memahami karakter sebenar suaminya. "Kalau dulu orang tanya macam mana saya dan Awal selesaikan masalah, saya akan cakap komunikasi. "Dulu saya akan terus berdepan dan ajak berbincang. Tapi bila sudah lama bersama Awal, saya faham itu bukan cara yang dia perlukan. Dia lebih suka menyendiri dahulu untuk tenangkan diri. "Jadi saya belajar untuk tunggu dan beri ruang kepada dia. Kadang-kadang saya sendiri pelik macam mana saya boleh ubah pendirian," katanya kepada BH Online. Scha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis eksklusif memperkenalkan karya arahan Syed Fariz berjudul 5 Bomoh di Hemisfera Luxury Sky Hall, Kuala Lumpur Tower, di sini, baru-baru ini. Pada 4 Mei lalu, Scha dan Awal meraikan ulang tahun perkahwinan ke-14 selepas mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012. Berkongsi lanjut, Scha berkata komunikasi semata-mata tidak mencukupi sekiranya pasangan gagal memahami keperluan emosi antara satu sama lain. "Saya jenis suka bercakap supaya tidak simpan benda yang bukan-bukan. Tapi bila sudah lama bersama, saya sedar ia bukan soal komunikasi semata-mata, sebaliknya pemahaman. "Kalau kita berkomunikasi tetapi tidak faham apa pasangan perlukan, ia tetap tidak membantu. Jadi lebih penting untuk kita memahami kehendak dan emosi pasangan," katanya. Menurut Scha, sepanjang hampir 15 tahun bersama, mereka masih belajar menyesuaikan diri dengan perubahan masing-masing. "Itu sebab saya tulis kami masih 'fighting'. Tidak ada rumah tangga yang sentiasa indah, pasti ada turun naiknya. "Kadang-kadang kita rasa sudah kenal pasangan sepenuhnya, tapi sebenarnya tidak kerana manusia berubah setiap hari dan setiap tahun. "Jadi kita kena belajar menyesuaikan diri dengan perubahan itu. Kalau tidak faham, kena bertanya dan jangan pendam," katanya. Scha turut mengakui dia dan Awal tidak terlepas daripada ujian rumah tangga seperti pasangan lain, meskipun sering dilihat bahagia di media sosial. "Alhamdulillah kalau orang nampak apa yang kami tonjolkan itu positif, tapi kami juga rapuh seperti pasangan lain. "Kami pun ada cabaran dan perjuangan sendiri. Cuma kami memilih untuk berkongsi perkara yang positif sahaja kerana hidup ini tidak sentiasa indah," katanya.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
9-6-2026 04:11 PM GMT+8 , Processed in 0.187686 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.