CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

AS lancar serangan baharu ke atas Iran, Tehran ancam akan bertindak balas

8-7-2026 12:44 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 102| Komen: 0|Original author: sikatkutu


Screenshot 2026-07-08 114233.png


WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu terhadap Iran semalam selepas tiga kapal dagang diserang di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan ketegangan ketika kedua-dua negara masih berusaha menamatkan konflik di Asia Barat.

Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan, serangan yang disifatkan sebagai 'berkuasa' itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal dagang yang melalui laluan perkapalan penting berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu akan 'mengenakan kos yang tinggi' terhadap Iran kerana menyasarkan dan menyerang kapal dagang.

Media kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di sekitar Selat Hormuz, termasuk enam letupan di Pulau Qeshm, tujuh di bandar Sirik dan beberapa lagi di Bandar Abbas, pelabuhan utama negara itu.

Kementerian Luar Iran menuduh AS berulang kali melanggar memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara serta mengancam akan mengambil tindakan balas.

"Iran memberi amaran serius terhadap akibat pelanggaran perjanjian oleh AS dan akan mengambil tindakan tegas bagi melindungi kepentingan serta keselamatan negaranya," menurut kenyataan kementerian itu yang disiarkan media rasmi.

Serangan itu berlaku tidak lama selepas Washington menarik balik kelonggaran sekatan terhadap eksport minyak Iran, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Tehran ketika rundingan bagi menamatkan konflik masih diteruskan.

Jabatan Perbendaharaan AS membatalkan lesen yang diumumkan pada Jun lalu, yang membenarkan Iran mengeluarkan, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan sehingga 21 Ogos depan.

"Tindakan Iran di Selat Hormuz sama sekali tidak boleh diterima AS dan akan menerima akibatnya," kata seorang pegawai AS kepada AFP.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, memorandum persefahaman antara AS dan Iran bergantung kepada pematuhan kedua-dua pihak, dan Iran hanya akan menikmati manfaat jika mematuhi syarat yang dipersetujui.

Bagaimanapun, katanya, perunding AS masih meneruskan rundingan dengan niat baik bagi mencapai perjanjian muktamad.

Sementara itu, Agensi Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) memaklumkan sebuah kapal tangki terbakar selepas terkena objek yang dipercayai peluru, sebelum dua lagi kapal diserang, dengan sekurang-kurangnya satu daripadanya diserang menggunakan dron.

Ketiga-tiga kapal itu diserang berhampiran Oman yang sebelum ini mencadangkan laluan pelayaran sementara di sepanjang pesisir pantainya, namun ditentang Iran yang mahu mengenakan bayaran ke atas kapal yang menggunakan laluan sempit berkenaan.

Qatar memaklumkan salah sebuah kapal yang diserang ialah kapal tangki gas asli cecair (LNG) miliknya, Al-Rekayyat, dan menuduh Iran bertanggungjawab atas serangan yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima terhadap pelayaran antarabangsa.

Doha kemudian memanggil Timbalan Duta Iran bagi mengemukakan bantahan rasmi, selain menuntut penjelasan dan menggesa Tehran segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan serantau.

"Kami menganggap Iran bertanggungjawab sepenuhnya dari segi undang-undang terhadap serangan ini dan segala kerugian atau kesan yang timbul daripadanya," kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari menerusi platform X.

Iran pula menyatakan rasa kesal terhadap tuduhan Qatar dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai 'tidak boleh diterima'.

Serangan itu menamatkan lebih seminggu keadaan yang agak tenang dan kembali mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan pelayaran di Selat Hormuz selepas Iran menarik balik sekatannya susulan gencatan senjata rapuh dengan AS.

Harga minyak dunia meningkat lebih dua peratus apabila serangan baharu itu mencetuskan semula kebimbangan terhadap bekalan tenaga global dan menimbulkan keraguan mengenai ketahanan perjanjian AS-Iran.

Pakar keselamatan di King's College London, Andreas Krieg, berkata ketika ini pelbagai alternatif sedang diteroka bagi menggantikan sistem tol atau caj yang dicadangkan Iran di Selat Hormuz.

"Iran menghantar mesej jelas bahawa tiada alternatif lain akan diterima," katanya kepada AFP.

Beliau berkata, kapal tangki yang menggunakan laluan maritim Oman tanpa mendaftar dengan Iran berkemungkinan dikenakan tindakan, selain menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata dan undang-undang antarabangsa.

Walaupun pergerakan kapal mula pulih selepas AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman bulan lalu, Iran menegaskan keadaan tidak akan kembali seperti sebelum perang apabila semua kapal bebas menggunakan Selat Hormuz tanpa syarat.

Di bawah memorandum persefahaman itu, Iran dan Oman perlu mengadakan rundingan bersama negara Teluk lain bagi menentukan kaedah pengurusan dan perkhidmatan maritim di Selat Hormuz.

Sebelum ini, Qatar enggan menjadi orang tengah ketika Iran melancarkan serangan udara ke atas beberapa negara Teluk, namun kini Doha memainkan peranan lebih aktif dengan menjadi tuan rumah rundingan tidak langsung antara Iran dan AS minggu lalu.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-7-2026 07:42 AM GMT+8 , Processed in 0.033731 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top