CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Hilang hidung digigit lelaki mengamuk

18-7-2026 04:50 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 102| Komen: 0

 



Beijing: Seorang warga emas berusia 69 tahun di tengah China yang kehilangan sebahagian hidung selepas digigit lelaki mengamuk ketika cuba menyelamatkan seorang wanita, diiktiraf sebagai wira negara berikutan keberaniannya melawan suspek.

Zeng Fanlin dari Chenzhou, wilayah Hunan, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai kampung sebelum menjadi orang tengah sukarela yang membantu menyelesaikan pertikaian dalam kalangan penduduk kampung.

Memetik laporan South China Morning Post, kejadian itu berlaku pada April lalu apabila seorang lelaki berusia 20-an menceroboh kampung berkenaan sebelum mengamuk dengan menyerang orang awam serta menendang pintu rumah penduduk.

Suspek kemudian menghampiri seorang wanita yang sedang menunggang basikal elektrik sebelum bertindak mencengkam leher mangsa secara agresif. 

Berikutan tindakan ganas lelaki itu, orang ramai yang berada di lokasi teragak-agak untuk campur tangan dan hanya menghubungi polis kerana bimbang keselamatan mereka sendiri manakala wanita itu berdepan risiko maut akibat dicekik. 

Zeng yang kebetulan melalui kawasan itu tidak berdiam diri apabila segera meluru ke arah suspek dan merebahkannya ke tanah sebelum dua lagi penduduk kampung tampil membantu menumpaskan lelaki itu. 

 Dalam pergelutan itu, suspek bertindak menggigit Zeng sehingga sebahagian hidung warga emas berkenaan putus.

Walaupun mengalami kecederaan parah, Zeng tetap bertahan memegang suspek sehingga pihak polis tiba di lokasi kejadian untuk menahannya manakala warga emas itu dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.

Mengikut undang-undang China, suspek yang menyerang orang awam selepas gagal mengawal emosinya boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun jika didapati bersalah atas kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah.

Pasukan perubatan kemudian merangka pelan pembedahan pembinaan semula hidung Zeng dengan kos rawatan melebihi 70,000 yuan (kira-kira RM42,000) yang ditanggung sepenuhnya menerusi bantuan kerajaan.

Sebagai penghargaan terhadap keberaniannya, Yayasan Alibaba bersama media tempatan memberikan ganjaran sebanyak 20,000 yuan (kira-kira RM12,000). Kerajaan China turut menamakan Zeng bersama 86 individu lain dalam senarai terbaharu 'wira negara untuk keadilan'.

"Berbanding menyelamatkan satu nyawa, segala pengorbanan yang saya lakukan ini amat berbaloi," katanya yang kini sudah menjalani dua pembedahan pembinaan semula hidung menggunakan cantuman kulit daripada bahagian kepalanya.

Zeng yang kehilangan ibu bapa sejak kecil itu memaklumkan dia sentiasa mahu membalas jasa kepada masyarakat selepas dibesarkan dengan bantuan penduduk kampung serta menerima pendidikan percuma daripada kerajaan. 


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-8-2026 09:31 PM GMT+8 , Processed in 0.041871 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top