CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Malaysia terima manfaat jika AS sekat transceiver optik buatan China

5-8-2026 03:50 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 102| Komen: 0

 



KUALA LUMPUR: Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berpotensi meraih manfaat daripada aktiviti pembuatan hiliran sekiranya cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk melarang import model baharu transceiver optik buatan China ke negara itu dilaksanakan, demikian menurut penganalisis.

Kenanga Research berkata, cadangan AS itu dilihat akan mengukuhkan lagi peralihan berterusan kepada pembekal transceiver optik bukan dari China serta rakan kongsi pembuatannya, sekali gus memperkukuh peranan Asia Tenggara dalam rantaian bekalan global rangkaian kecerdasan buatan (AI).

Ia berkata, sejak beberapa tahun ini, vendor optik terkemuka dari AS secara berperingkat telah mempelbagaikan operasi pembuatan mereka ke Asia Tenggara, dengan Lumentum menjadikan Thailand sebagai hab pembuatan utamanya di rantau ini, manakala Coherent memperluaskan pengeluaran di Malaysia.

"Kami melihat cadangan ini sebagai perkembangan yang positif kepada rantaian bekalan optik bukan dari China, khususnya bagi vendor transceiver optik AS yang telah kukuh seperti Lumentum, Applied Optoelectronics (AAOI) dan Coherent.

"Apabila syarikat berskala besar memberi penekanan lebih besar terhadap daya tahan rantaian bekalan dan keselamatan negara, perolehan dijangka terus beralih kepada pembekal bukan dari China yang dipercayai," menurutnya dalam nota penyelidikan yang disediakan Tan Woon Pin dan Cheow Ming Liang.

Berdasarkan kompilasi Kenanga, vendor dari China masih menjadi pembekal utama kepada syarikat skala besar utama di AS dan dianggarkan menguasai lebih 50 peratus pasaran transceiver optik. 

Justeru, menurutnya, keadaan itu menunjukkan terdapat ruang yang besar untuk pengagihan semula pegangan pasaran sekiranya perolehan beralih kepada pembekal bukan dari China.

Walaupun peralihan itu boleh meningkatkan kos perolehan apabila pelanggan menggantikan vendor China yang menawarkan harga lebih rendah, ia berpandangan, kepentingan strategik untuk menjamin keselamatan infrastruktur AI akan mengatasi pertimbangan kos dalam jangka pendek.

"Cadangan sekatan ini tidak mewujudkan tesis pelaburan baharu, sebaliknya mengukuhkan trend struktur sedia ada iaitu kepelbagaian rantaian bekalan yang beralih daripada China.

"Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pembuatan yang diyakini bagi rangkaian AI dan komunikasi optik, disokong oleh ekosistem semikonduktor yang mantap serta keupayaan pembuatan optik yang semakin berkembang," katanya.

Menurut laporan Reuters, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sedang merangka satu langkah yang akan melarang import model baharu transceiver optik buatan China ke AS, dengan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) dijangka menerbitkan cadangan berkenaan hujung tahun ini.

Transceiver optik adalah komponen rangkaian penting yang membolehkan penghantaran data berkelajuan tinggi melalui kabel gentian optik dan menjadi asas utama kepada pusat data AI serta infrastruktur pengkomputeran awan berskala besar.

Cadangan itu bertujuan memperkukuh keselamatan infrastruktur AI AS dengan mengurangkan risiko kecurian data, pemasangan perisian hasad serta potensi gangguan rantaian bekalan yang dikaitkan dengan peralatan rangkaian buatan China.

Cadangan berkenaan dilaporkan hanya memfokuskan kepada model baharu transceiver optik, namun masih belum jelas sama ada produk sedia ada turut akan terjejas.

Menurut Reuters, FCC juga dijangka menyediakan pengecualian kepada pembekal bukan dari China, yang berpotensi mempercepatkan perolehan kepada vendor yang dipercayai di luar China.

Sekiranya dilaksanakan, langkah itu akan menjadi satu lagi usaha AS untuk mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi China dalam infrastruktur AI dan semikonduktor yang kritikal, khususnya dalam rantaian bekalan peralatan rangkaian.

Hala tuju dasar itu selaras dengan strategi lebih meluas AS untuk mengurangkan risiko terhadap infrastruktur AI kritikal serta mengurangkan pergantungan kepada teknologi China di seluruh rantaian bekalan.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

8-8-2026 11:56 AM GMT+8 , Processed in 0.029633 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top