Orangnya rendah dan comel saja. Tapi, dia makin ‘hot’ gara-gara sikap cemburu dipaparkan dalam drama bersiri Jealousy Incarnate. Sesiapa yang menonton drama itu pasti kagum dengan lakonan ‘one-man show’ Jo Jung Suk yang versatil.
Seperti kebanyakan selebriti lain, Jung Suk juga bermula dari bawah iaitu sebagai penggiat teater sebelum melangkah ke persada perfileman dan drama. Asalnya, impian Jo Jung Suk adalah mahu menjadi pemain gitar dan mendendangkan lagu-lagu klasik.
Namun, dia berubah fikiran selepas Paderi Evagelist menyarankannya untuk menonjolkan dirinya yang mana Jung Suk akhirnya memilih bergiat dalam teater muzikal. Kemunculan pertama kalinya adalah melalui teater Nutcracker sebelum menyerlah sebagai idol muzikal teater dan kemudiannya menerusi Greece, All The Work dan Man Piercing The Wall.
Kepakarannya membawa watak dalam lakonan teater dan menyanyi sambil menari memantapkan lagi seni lakonan versatil Jung Suk sebelum bergerak ke arus ‘mainstream’.
Peluang Jo Jung Suk ke industri perfileman bermula apabila dia diminta mengisi kekosongan watak pembantu dalam ‘Introduction to Architecture’. Peluang itu digunakan Jo Jung Suk sebaiknya untuk menunjukkan sisi lakonan yang orang kurang ambil tahu seperti yang dikomen CEO Shin Jae Myung, “Jo Jung Suk persembahkan karakter unik yang sukar ditiru orang lain”.
Dari situlah dia mendapat tapak untuk memulakan karier lakonannya. Sejak dari itu, sudah banyak drama yang dibintangi Jung Suk, menjadikan dia salah seorang bintang Korea yang versatil dan disegani.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Syabas, Jo Jung Suk kerana berjaya meletakkan diri sebaris dengan selebriti yang hebat dan disegani! Semoga terus sukses dalam bidang perfileman - CARI