Sempena sambutan hari kemerdekaan negara kita yang ke-60, dua pengarah terkenal iaitu Pete Teo dan Liew Seng Tat buat pertama kali bekerjasama menghasilkan sebuah video pendek yang berjudul 'Citizen'.
Memetik laporan The Star, video pendek tersebut dibintangi oleh Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama isteri.
Dalam video tersebut, Datuk Seri Liow memegang dua watak dalam lakonannya iaitu sebagai rakyat biasa yang tidak berpuas hati dengan keadaan semasa negara dan juga sebagai seorang ahli politik yang menaruh harapan tinggi terhadap masa depan negara.
Dalam salah satu babak memperlihatkan beliau melakonkan watak sebagai ahli politik yang sedang berdialog dengan rakyat biasa di meja makan. Kedua-dua watak tersebut adalah lakonan Datuk Seri Liow.
Sebahagian dialog itu menunjukkan ahli politik itu meluahkan rasa sedih kerana masyarakat rata-rata beranggapan apa yang dilakukan olehnya selama ini adalah tidak relevan.
Bagaimanapun, ahli politik itu tetap merayu kepada masyarakat supaya jangan berputus asa terhadap negara ini.
Sementara itu, Pete Teo turut berkongsi status di dalam Facebook menyatakan bahawa tujuannya menerbitkan video pendek tersebut adalah untuk mencerminkan situasi sebenar yang sedang berlaku di negara kita sekaligus menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia.- CARI