"Najib sebenarnya adalah musuh negara. Di mana-mana kita pergi, (orang) bertanya apa sudah jadi pada negara kamu."
Demikian kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Mahathir Mohamad ketika membuat ucapan penutup pada Himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya semalam.
Memetik laporan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu menjelaskan, satu ketika dahulu Malaysia dipandang tinggi di peringkat antarabangsa sudah mendapat imej buruk, yang didakwanya berpunca daripada pentadbiran Najib.
Beliau turut menyelar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang menurutnya berbohong apabila mengatakan badan itu berusaha membanteras rasuah.
"Hari ini, SPRM rajin ke Sabah dan tangkap orang, tetapi penyangak terbesar tiada apa-apa siasatan."
Beliau merujuk tangkapan beberapa pemimpin Umno dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) berhubung dakwaan penyelewengan dana yang sepatutnya dilaksanakan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sebelum pemecatan Datuk Seri Shafie Apdal daripada portfolio itu ketika rombakan kabinet pada 2015.
"Selagi tiada siasatan terhadap RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib...tak usahlah Dzulkifli nak kaburi mata rakyat kononnya dia cergas menghalang (rasuah)," katanya lagi.