mattzzx Publish time 20-3-2024 10:25 AM

TDM dijangka terima helikopter Black Hawk April ini

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm20dspst_1710864277.jpg
Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Tahfiz Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Tentera Darat Tahun 2024 di Masjid Thoriq Ziyad Sungai Besi hari ini. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima penghantaran pertama helikopter Black Hawk pada April ini, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Beliau berkata penghantaran peringkat pertama itu membabitkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.

Menurutnya helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada November lalu, bagaimanapun susulan beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.

"Bagaimanapun kontraktor telah memberikan janji mereka untuk menghantar helikopter pertama pada April ini dan saya harap ia dipenuhi," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa Tentera Darat di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.

Ditanya mengenai faktor kelewatan itu Muhammad Hafizuddeain berkata beliau enggan membuat sebarang spekulasi, bagaimanapun menegaskan TDM amat memerlukan perkhidmatan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.

Pada Mei tahun lalu Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Sementara itu di majlis berkenaan TDM turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada 16 asnaf dan ahli keluarga anggota pasukan yang menghadapi masalah kesihatan.

Turut diserahkan sumbangan barangan makanan dan keperluan kepada masjid di dalam kem TDM seluruh negara.

Sebanyak 1,000 warga TDM serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) termasuk lapan bekas Panglima Tentera Darat hadir ke majlis berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1071881/tdm-dijangka-terima-helikopter-black-hawk-april-ini
Pages: [1]
View full version: TDM dijangka terima helikopter Black Hawk April ini


ADVERTISEMENT