sfhzuraz Publish time 7-5-2024 05:30 PM

Kediaman Program Perumahan Rakyat dijenamakan semula sebagai Program Residen Rakyat - Kor Ming

Kediaman Program Perumahan Rakyat dijenamakan semula sebagai Program Residen Rakyat - Kor Ming


Oleh Aizat Sharif - Mei 7, 2024 @ 4:44pm bhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/kor_1715071469.jpg
Kor Ming (bertopi putih) bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika perasmian Program Agenda Nasional Malaysia Sihat di Kangar Street Art di Kangar, hari ini.




KANGAR: Penjenamaan semula kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR) dijangka menjadikan kualiti perumahan rakyat negara ini setanding kemudahan disediakan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Jepun dan Korea Selatan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pihaknya dalam proses penjenamaan semula PPR kepada PRR, yang model pembinaannya akan setanding perumahan rakyat di negara berkenaan.
"PRR ini adalah bermatlamatkan perumahan rakyat yang bertaraf dunia dan ini adalah perancangan kita.
"Bagi PPR pula, setakat ini kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM12 bilion untuk 116,000 unit PPR di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kangar Street Art, di sini hari ini.
Terdahulu, Kor Ming bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli meninjau Kampung Warna Warni di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil.
Kor Ming berkata, pada masa sama beliau mengharapkan agar pemilik unit PPR ini tidak menyalahgunakan unit kediaman masing-masing dengan menjual semula atau menyewanya kepada orang lain, termasuk warga asing.
"Bagi pemilik unit PPR, saya sarankan jangan anda jual atau sewa unit PPR anda kerana kerajaan sudah pun memberikan subsidi yang besar kepada PPR sebagai contoh seunit PPR mempunyai nilai pasaran sebanyak RM300,000.
"Namun, kerajaan hanya menjual sebanyak RM45,000 dengan kata lain sebuah unit rumah PPR, kerajaan beri 'angpau' atau subsidi sebanyak RM265,000.
"Itu adalah duit rakyat dan disebabkan itu, kita juga mempunyai moratorium iaitu dalam tempoh 10 tahun, unit rumah PPR itu tidak boleh dijual, malah jika dibuat sewa juga, kontrak boleh ditamatkan selain tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.
Sementara itu, di majlis sama, Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM8.12 juta untuk pelaksanaan 20 projek di Perlis.
"Antaranya RM2.96 juta untuk penggantian enam unit lif di Blok A dan B, PPR Seri Sena yang siap pada tahun lalu di mana ia memanfaatkan 1,864 penghuni PPR Seri Sena.
"Selain itu, RM1.7 juta bagi pelaksanaan lima projek Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) di kawasan perumahan awam di Kangar yang membabitkan pendawaian elektrik untuk lampu kawasan dan koridor, penggantian paip retikulasi, penggantian bumbung dan pembaikan kerosakan harta bersama seperti kebocoran tandas dan dapur," katanya.
Selain itu, kerajaan turut memberikan peruntukkan RM480,000 bagi pembinaan semula enam unit gerai di Pasar Borong Sena serta penyaluran RM1.38 juta kepada Majlis Perbandaran Kangar bagi menaik taraf lampu, tandas awam dan pasar tahun ini.
Kediaman Program Perumahan Rakyat dijenamakan semula sebagai Program Residen Rakyat - Kor Ming (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: Kediaman Program Perumahan Rakyat dijenamakan semula sebagai Program Residen Rakyat - Kor Ming


ADVERTISEMENT