sfhzuraz Publish time 7-5-2024 07:43 PM

Bekerja sambil lewa terangkum golongan tidak beriman - Mufti Pulau Pinang

Bekerja sambil lewa terangkum golongan tidak beriman - Mufti Pulau Pinang

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI

07 Mei 2024 06:48pm







https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/05/07/2641723.jpg
Perdana Menteri sebelum ini berkata, penjawat awam yang bermasalah dan lembab dalam menjalankan tugas berkemungkinan besar tidak akan dinaikkan gaji secara automatik.



GEORGE TOWN - Penjawat awam atau swasta yang bekerja sambil lewa boleh diklasifikasikan sebagai mengkhianati amanah diberikan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, agama Islam menghendaki umatnya bersungguh-sungguh serta tekun apabila melakukan tugas atau pekerjaan.


"Pegawai atau kakitangan awam mahu pun swasta akan menerima gaji atau upah sebagai ganjaran di atas kerja atau tugas yang dilakukan. Oleh itu, jika mereka tidak bersungguh-sungguh menunaikan tugasan atau bekerja sekadar melepskan batuk di tangga, maka mereka dikira mengkhianati amanah.
"Bukan itu saja, mereka juga tidak terangkum dalam golongan beriman yang beruntung seperti firman ALLAH SWT yang bermaksud "Dan mereka yang memelihara amanah dan janji mereka" (Surah al-Mu’minun: 8)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.


Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini.
Anwar pada Ahad berkata, penjawat awam yang bermasalah dan lembab dalam menjalankan tugas berkemungkinan besar tidak akan dinaikkan gaji secara automatik.
Beliau berkata, adalah tidak adil untuk mereka yang tidak melaksanakan tugas dengan baik menerima kenaikan sama seperti penjawat awam yang efisien.
Dalam pada itu, Wan Salim menambah, realiti menunjukkan bahawa kecuaian dalam melaksanakan tugas atau pekerjaan menyebabkan kemunduran negara dan bangsa dalam mengejar kemajuan.



"Dalam sebuah hadis sahih diriwayatkan oleh Siti Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya ALLAH suka apabila seseorang kamu apabila melakukan suatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun."
"Kerajaan sentiasa menggalakkan seluruh warga kerja sama ada di sektor awam atau swasta supaya bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
"Oleh demikian, diharap Malaysia akan tergolong sebagai salah sebuah negara termaju di dunia serta dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.
Bekerja sambil lewa terangkum golongan tidak beriman - Mufti Pulau Pinang - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Bekerja sambil lewa terangkum golongan tidak beriman - Mufti Pulau Pinang


ADVERTISEMENT