sfhzuraz Publish time 9-5-2024 03:44 PM

Bekas pegawai tugas khas MP Merbok didenda RM45,000 mengaku kemuka tuntutan palsu

Bekas pegawai tugas khas MP Merbok didenda RM45,000 mengaku kemuka tuntutan palsu


M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0509rsrasuha_1715239809.jpg
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa Bekas pegawai Ahli Parlimen Merbok, Mohamad Khalid Abdul Hamid selepas mengaku bersalah atas 3 pertuduhan Rasuah di Mahkamah Sesyen 2 hari ini. FOTO WAN NABIL NASIR



Alor Setar: Bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Merbok dijatuhi hukuman denda RM45,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek baik pulih rumah pada 2020.
Tertuduh Mohamad Khalid Abdul Hamid, 46, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara curang menggunakan dokumen palsu atas nama syarikat Zaifol Azri Abu Seman bagi membuat tiga tuntutan berjumlah RM29,500 bagi kerja baik pulih rumah penduduk yang rosak akibat bencana di kawasan Parlimen Merbok.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok pada 20 Januari 2020.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman, Muhamad Taufik Awaludin dan Mohd Yasri Yahya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohamad Khalid dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan kes ini adalah kesalahan pertamanya dan kini hanya bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Selain itu, tertuduh juga memaklumkan menanggung ibu berusia 74 tahun dan tiga anak saudara yang kematian bapa.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta hukuman maksimum dikenakan berikutan kes terbabit membabitkan kepentingan awam dan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat bencana ribut.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan berkenaan.
Sementara itu, tertuduh kemudian membayar denda RM45,000 yang dikenakan ke atasnya di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.


Disiarkan pada: Mei 9, 2024 @ 3:31pm
Bekas pegawai tugas khas MP Merbok didenda RM45,000 mengaku kemuka tuntutan palsu (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Bekas pegawai tugas khas MP Merbok didenda RM45,000 mengaku kemuka tuntutan palsu


ADVERTISEMENT