|
Sifat Mew Choo tawan Chong Wei
Kuala Lumpur: Kesabaran dan kesetiaan ditunjukkan bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo sepanjang 11 tahun berkenalan bukan saja menambat hati Lee Chong Wei tetapi seluruh keluarga jaguh nombor satu dunia itu yang gembira dengan perkahwinan mereka.
Dalam sidang media mengumumkan majlis perkahwinan pasangan itu pada 9 dan 10 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, abang sulung Chong Wei, Lee Chong Hoon berkata, keluarganya tidak sabar menanti kehadiran anggota baru kerana Mew Choo sudah lama menjadi pilihan mereka. “Bagi saya Mew Choo memahami kehidupan sibuk Chong Wei dan kerana itulah mereka kekal bersama hingga ke hari ini.
“Chong Wei juga anak bongsu dan satu-satunya adik beradik yang belum kahwin. Dia juga rapat dengan emak (Khor Kim Choi), jadi dengan perkahwinan ini emak sangat gembira,” kata Chong Hoon yang juga ketua pegawai eksekutif Chong Wei Binajaya Sdn Bhd.
Elak tunggu tiga tahun lagi
Chong Hoon berkata, keluarganya merancang mengadakan majlis perkahwinan itu tahun depan namun kematian nenek Mew Choo menyebabkan mereka perlu menyegerakan kerana adat resam kaum Cina yang memestikan perkahwinan diadakan dalam tempoh 100 hari selepas kematian keluarga terdekat.
“Jika tidak mereka perlu menanti tiga tahun lagi untuk bersatu dan Chong Wei tidak mahu atas faktor usia,” kata Chong Hoon.
Majlis perkahwinan pada 9 November ini dikhaskan buat 1,000 tetamu kehormat termasuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menteri Kabinet serta rakan korporat, manakala majlis makan malam keesokan harinya khas buat 1,500 jemputan terdiri daripada keluarga dan kenalan. |
|