Sumber Foto: Facebook Onny Hazwani
Mengagumkan, sangat memberi inspirasi dan dapat dijadikan contoh terbaik kepada orang lain!
Itu antara kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bangganya diri seorang anak apabila ayahnya yang berumur 69 tahun berjaya menggenggam segulung ijazah buat pertama kalinya.
Melalui cerita yang dikongsikan oleh Onny Hazwani melalui laman facebooknya, semangat ayahnya untuk menuntut ilmu sehingga berjaya di menara gading begitu kental sejak dari muda lagi.
Walaupun tidak berkesempatan menimba ilmu semasa muda kerana kekangan kewangan, ayahnya tidak putus asa dan telah mengambil MCE (sekarang SPM) ketika sudah mempunyai dua orang anak.
Selepas semua anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan bidang masing-masing, ayah Onny telah mendaftarkan diri untuk program ijazah jarak jauh untuk warga emas di USM.
Menurut Onny, disebabkan mengambil program jarak jauh (PJJ), kebanyakan 'assignment' perlu dihantar secara atas talian dan melalui e-mel.
Jadi, dialah yang mengajar ayahnya cara untuk menggunakan komputer riba, nak 'save', 'print', 'download', 'upload', 'e-mail', 'set password', dan banyak lagi. Kadang-kadang benda yang sama akan diajar berulang kali memandangkan ayahnya cepat lupa namun bagi Onny dia puas dan bangga kerana ayahnya kini sudah berjaya mencapai impiannya.
Netizen turut mengucapkan tahniah yang tidak putus-putus serta turut sama-sama berbangga dengan pencapaian yang dikecapi atuk yang mempunyai 12 orang cucu ini.
Kisah ini pastinya dapat menyuntik semnagat dan memberi dorongan kepada orang lain dan membuktikan yang umur bukanlah faktor penghalang untuk terus menimba ilmu.
Sebak bercampur bangga bila baca kisah-kisah yang berupa motivasi seperti ini, anda pula rasa bagaimana? -CARI |