MUNGKIN nak cepat ‘kaya’, sekeping gambar resit pembayaran yang dikeluarkan oleh sebuah kedai makan di ibu kota menggenakan harga tidak munasabah tersebar di laman Facebook sejak semalam.
Berdasarkan gambar resit tersebut yang bertarikh 14 Disember, kedai makan Pak Din Sajian Melayu yang terletak di Kompleks Membeli Belah Sogo telah menggenakan harga RM34.70 bagi hidangan ‘nasi campur’.
Jumlah harga makanan itu melibatkan dua jenis lauk yang mana berdasarkan gambar adalah seekor ikan bawal ‘kurus kering’ berharga RM7.50 dan dua ekor udang bersaiz sebesar ‘ibu jari’ dengan harga RM12 setiap seekor.
Jika mengikut logik, lauk hidangan yang diambil oleh pemilik resit itu tidak sepatutnya mencecah harga tersebut, melainkan saiz atau jenis udang yang diambil olehnya adalah besar dan diketahui mahal.
Selepas membuat semakan di laman sosial, rata-rata pengguna Facebook mendakwa kedai berkenaan memang menggenakan harga ‘cekik darah’ dan terlampau mahal untuk hidangan biasa lauk nasi campur.
“Kedai ni memang mahal nak mampus kalau nak tau. Tapi kedai lain tak semahal kedai ni. Sebab pernah kakak mkan kat sni, ambik nasi dengan ayam telur masin kena RM10,” tulis pengguna Facebook Noor Imamah Nasir.
|