Edited by NormanJB at 31-3-2017 02:52 PM
Foto: Facebook HASRAT seorang pengguna untuk menikmati makanan sardin dalam tin yang dibelinya di sebuah kedai serbaneka tidak kesampaian apabila mendakwa menemui sarung tangan di dalam makanan segera tersebut.
Insiden menjijikkan itu dikongsi seorang pengguna Facebook bernama Abiey Putra di laman Facebook IRDK (Kelantan), meluahkan perasaan terkejut selepas sardin yang dibelinya di sebuah kedai menjual barangan murah RM2 mengandungi ‘pakej tambahan’ iaitu sarung tangan.
“Beli sardin dekat kedai RM2 tapi dalam tin bukan setakat ada sardin, siap ada pakej sarung tangan lagi,” demikian katanya, sambil menambah maklumat terkini berhubung insiden berkenaan akan dimaklumkan di laman Facebooknya.
Berdasarkan beberapa keping gambar yang dikongsi oleh Abiey, sarung tangan tersebut ditemui sebaik sahaja tin tersebut dibuka dan berada bersama isi ikan sardin. Bagaimanapun, lokasi kedai sardin tersebut dibeli tidak dinyatakan dan sejauhmana kebenaran kejadian itu setakat ini tidak dapat dipastikan.
Semakan di laman Facebook Abiey juga tidak memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung insiden berkenaan. Sehingga kini, kemas kini tersebut telah mendapat perkongsian lebih 105 pengguna Facebook.
Namun, rata-rata pengguna Facebook memberikan reaksi pelbagai terhadap pendedahan yang dibuat Abiey, yang mana ada menyatakan ia sebagai jijik dan mengecam tindakan pengeluar jenama sardin berkenaan yang didakwa cuai.
“Eii, gelinya tengok,” tulis Cheroobiah Abdulrahman.
“Itu yang kita nampak, yang kita tak nampak lagi kotor daripada ini,” tulis Ali Baba.
Sebahagian netizen pula menyarankan supaya pengguna tidak membeli makanan segera seperti sardin secara sesuka hati dan tidak berkualiti.
“Nama (jenama) pun tak pernah dengar. Lain kali beli yang biasa ada di kedai runcit. Kena peka juga,” kata Watie Adamie.
“Beli lagi di kedai RM2. Brand (jenama) entah didaftar ke tidak tak tahu,” tambah Mohd Nidzar Nidzar.
Insiden penemuan haiwan atau ‘bendasing’ di dalam produk yang dibeli oleh pengguna bukan pertama kali berlaku, malah sebelum ini pernah tular di laman sosial dakwaan penemuan cicak dan bangkai tikus di dalam sos cili.
|