[size=10.6667px]Jalil Ibrahim merupakan wakil Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) yang ditugaskan untuk menyiasat skandal BMF di Hong Kong pada 1983
Skandal BMF (Bumiputra Malaysia Finance Ltd) sekali lagi mendapat tempat dimedia massa setelah Agensi Penyiasatan Antarabangsa (CIA) Amerika Syarikat mendedahkan keterlibatan Tun Dr Mahathir Mohamad didalam jenayah kleptokrasi itu menerusi dokumen enam halaman yang didedahkan bagi rujukan umum.
BMF yang merupakan anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) telah menyalurkan dana berbilion ringgit kepada spekulator hartanah Hong Kong Carrian Investment Limited (Carrian Group) yang akhirnya hilang tanpa punca.
Dan disebabkan pendedahan oleh CIA ini juga, nama Jalil Ibrahim yang merupakan Pembantu Pengurus Besar BBMB disebut semula ekoran motif pembunuhannya dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal tersebut.
Sebuah program televisyen pada 2011 menyebut Jalil bertemu dengan seorang ahli perniagaan warganegara Malaysia berbangsa Cina, Mak Foon Tan di salah sebuah hotel di Hong Kong sebelum beliau dibunuh.
Pembunuhan berkenaan dilakukan oleh Foon Tan sebelum menyumbat mayat Jalil ke dalam beg pakaian dan membuangnya di salah sebuah ladang pisang di sebuah daerah Hong Kong.
Mayat Jalil ditemui pihak berkuasa dengan kesan jerutan dileher, tanpa sebarang kad pengenalan diri kecuali beberapa duit syiling mata wang Malaysia ditemui didalam kocek seluarnya.
Siasatan lanjut polis Hong Kong menemui sepucuk surat yang belum habis ditulis Jalil kepada isterinya menyatakan ada pihak atasan cuba mengganggu tugasnya.
Jalil dihantar BBMB ke Hong Kong pada 1983 bagi menjalankan audit BMF ekoran skandal menggelapkan dana bank oleh Pengarah BMF Hong Kong, Datuk Hashim Shamsuddin bernilai USD137 juta disamping menerima rasuah HK$15 juta.
Hashim didapati bersalah bersekongkol dengan Ketua Pegawai Eksekutif Carrian, George Tan - warganegara Malaysia berbangsa Cina - dan dijatuhi hukuman penjara 4 tahun enam bulan sebelum hukuman ditambah kepada penjara 10 tahun.
Sepanjang tempoh skandal berkenaan berlangsung, Carrian juga mendapat dana daripada bank lain, namun suntikan oleh BBMB menerusi BMF adalah sumber kewangan terbesar iaitu RM2.5 bilion.
Akibat daripada penyaluran kepada BMF terlalu besar, BBMB terpaksa meminta suntikan dana daripada Petronas berjumlah RM1 bilion untuk mengimbangi akaunnya.
Pada waktu Jalil tiba di Hong Kong untuk menjalankan audit, Carrian berada diambang bankrap dan berdepan masalah aliran tunai.
Sebuah Jawatankuasa Siasatan Khas ditubuhkan dianggotai tiga individu, teraju Ketua Audit Negara Tan Sri Ahmad Nordin bagi menyiasat skandal rasuah melibatkan BBMB dan BMF.
Laporan akhir siasatan setebal 300 muka surat itu mendakwa terdapat kes prima facie mengaitkan tiga bekas pengarah serta tiga lagi pegawai BMF terlibat secara langsung dalam skandal berkenaan.
Individu berkenaan adalah bekas Pengerusi BMF, Lorrain Esme Osman, bekas Pengarah Hashim dan Rais Sanima.
Pegawai bank yang terlibat terdiri daripada Pengurus Besar BMF Ibrahim Haafar, bekas Pembantu Pengurus Henry Chin dan bekas penjual pasaran mata wang BMF, Eric Chow.
Laporan berkenaan mendapati kesemua mereka beserta ahli keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung menerima imbuhan daripada George sebagai balasan kepada pinjaman tanpa cagaran bernilai RM1 bilion.
Prosiding mahkamah civil di Hong Kong itu merupakan antara yang paling lama dalam sejarah - 17 tahun - selain kos termahal iaitu HK$210 juta.
Sewaktu perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan dan defendan mengakui keterlibatan Perdana Menteri Dr Mahathir, Timbalannya Tun Musa Hitam serta Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.
Pemimpin pembangkang Lim Kit Siang yang merupakan musuh Dr Mahathir pada waktu itu menggesa siasatan semula oleh Ahmad Nordin disebabkan oleh sebutan tiga individu berkenaan didalam mahkamah.
Persoalan kini timbul samaada Kit Siang akan menggesa musuh-jadi-kawannya, Dr Mahathir, disiasat selepas pendedahan oleh CIA yang menjadi petunjuk terbaru keterlibatan bekas Perdana Menteri itu didalam skandal BMF.
Pemergian Jalil disusuli dengan anugerah Pingat Gagah Perkasa namun sehingga kini, setelah lebih 34 tahun sejak pembunuhannya di Hong Kong, motif jenayah berkenaan kekal misteri.
Apa yang pasti, pada malam Jalil dibunuh, George hadir di BMF bersama sepucuk surat sokongan daripada Pengerusi BBMB menuntut Pembantu Pengurus BMF untuk meluluskan sebuah lagi pinjaman.
Henry Chin yang menerima panggilan telefon terakhir daripada Jalil menerima arahan agar pinjaman itu tidak diluluskan sambil meminta untuk menunggu arahan dari pihak atasan.
- Malaysian Digest
|