Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini timbul kekhuatiran dalam kalangan warga kotanya. Ia diluahkan dalam portal-portal berita Kota Palu dan oleh NGO-NGO Islam tempatan. Kekhuatiran itu mengenai bercambahnya aktiviti songsang kaum Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) di situ.
Tanda-tanda kemaksiatan LGBT sudah dibincangkan hangat. Malah TV Palu pada Mac lalu juga membincangkan fenomena LSL atau “Lelaki Suka Lelaki” di kota itu.
Maka, ekoran gempa itu, ramailah netizen yang menghebahkan siaran TV Palu itu dengan mesej:
“Kota Palu, Sulawesi. Sasaran Tsunami Merupakan *Kota LGBT*. Boleh saksikan video tentang berita itu yang bertarikh 6 March 2018. *5 bulan selepas berita itu Allah turunkan bala di kota Palu.*
*Mohon ampun pada Allah. Mohon dijauhkan bala seumpamanya di bumi Malaysia ini. Ayuh, kita tentang LGBT hingga ke akar umbi!!!!*”
Jika kita berfikiran liberal maka kita akan katakan ia sebagai ‘suatu kebetulan’. Adakah apa yang diutuskan oleh Allah SWT suatu kebetulan?
Sebenarnya Allah SWT telah memberi petunjuk kepada umatnya sejak ribuan tahun lalu, sejak zaman para Ambiya lagi, namun aktiviti pro-LGBT semakin rancak berlaku. Semakin banyak pula sokongan terhadap gerakan LGBT. Siapa yang menentangnya dianggap kuno, ketinggalan zaman, walaupun zaman itu sendiri pernah menghukum para pengamalnya.
Slogan LGBT semakin gah dilaungkan kononnya atas nama kebebasan hak asasi manusia. Saya tidak mahu bercerita lebih daripada itu. Soal moral cukup penting, waima memilih pemimpin sekali pun, ia teramat penting.
Malah di Amerika Syarikat (AS) walaupun LGBT itu adalah budaya, soal pemilihan calon Hakim Mahkamah Agung AS, Brett Kavanaugh beberapa hari lalu menjadi riuh kerana dia didakwa terlibat dalam keganasan seksual di zaman sekolah tingginya pada 1982.
Maka sebuah tribunal dibentuk untuk `mengadili’ Kavanaugh. Seorang kawan saya yang tinggal di AS menghantar Whatsapp kepada saya semasa siaran langsung tribunal itu. Katanya: “Soal moraliti mengatasi segala-galanya di sini. Pemilihan seseorang pemimpin harus mengatasi soal itu.”
Oleh itu, soal moral amat penting. Tetapi apa yang dipersoalkan ke atas Kavanaugh adalah mengenai serangan seksual, bukannya LGBT. LGBT bagi rakyat Amerika ialah soal peribadi, naluri kehendak seksual, bukan jenayah.
Namun, dalam masyarakat Timur, kita ini, adakah budaya LGBT yang songsang itu boleh diterima? Lebih-lebih lagi jika kita mengaku bangsa Melayu yang kuat dengan keIslamannya? Adakah masyarakat Kota Palu yang rata-rata Islam pun boleh menerima cara hidup sebegitu?
Seperti yang saya katakan, ia sudah semakin menjadi budaya di sini. Adakah kita kisah? Adakah kita bermati-matian akan mempertahankan budaya itu? Adakah apa yang berlaku di Kota Palu itu, bukan disebabkan oleh “hukuman Allah” tetapi lebih kepada “kebetulan”?
Allahualam. Simpati kita semua kepada mangsa korban Kota Palu. Sebagai pedoman kita yang hidup, marilah kita ikuti ceramah mengenai musibah ini oleh pendakwah terkenal Indonesia, K.H Muhammad Arifin Ilham: BILA kami mahu menghancurkan suatu negeri, maka kami amanahkan kekuasaan, kekayaan kepada para pemimpin mereka, pemimpin negeri itu.
Tapi ternyata mereka mengkhianati Allah, mereka mengkhianati Kami, maka, terjadilah seperti kaum terdahulu - Kaum Ad, kaum Tsamud, kaum Luth, kaum Nuh - kami datangkan bencana demi bencana. Dengarkan dengan iman, sekarang bencana terjadi bukan lagi secara teguran, bukan lagi tempelengan —tapi tamparan yang sangat hebat.
Surah At-Taubah ayat 126: “Tidakkah mereka orang-orang munafik memperhatikan, Kami datangkan musibah hebat sekali, kemudian dua kali, dalam satu tahun, tapi mereka tetap tidak mahu mengambil pelajaran dan tidak pernah mahu bertaubat.” Ini teguran, ini peringatan, ini ujian bagi hamba-hamba Allah yang soleh solehah — kerana kita munafik.
Kita senang ibadah tapi berzina dibiarkan, kita berangkat haji tapi korupsi terus dilakukan. Allahuakbar di masjid, Allahuakbar di mushola, Allahuakbar di atas sejadah tapi di kantor (pejabat), di hotel, di lapangan... nafsu akbar — kelakuan kita munafik, ini yang mengundang bala bencana dari Allah SWT.
Dengarkan dengan iman, kemalangan-kemalangan terjadi, musibah-musibah terjadi, krisis demi krisis terjadi kerana kelakuan dosa keterlaluanmu kepada Allah.
Langit bumi punya Allah, hati keadaan semua punya Allah. Tidak ada kebetulan di muka bumi ini. Orang yang menyebut kebetulan orang yang tidak bertuhan. Teguran ini sudah hebat, wahai Wakil Rakyat. Teguran ini sudah hebat. Selamatkan negara kita. Allahuakbar!