Kenderaan yang ditahan di sekat pintas Pos Ular kerana membawa muatan 48 tong petrol untuk diseludup ke Thailand. - Foto PGA
Siti Rohana Idris
[email protected]
TUMPAT: Melihat laluan beberapa kampung masih digenangi air, seorang penyeludup yang membawa sejumlah petrol nekad untuk melalui sekat pintas Pasukan Gerakan Am (PGA).
Bagaimanapun, 'keberanian' lelaki berusia 19 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda akhirnya ditahan sepasukan anggota Batalion 9 PGA yang bertugas di sekat pintas Pos Ular pada jam 6.30 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi, berkata anggotanya menahan kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu dari arah Pengkalan Kubor menghala ke Jalan Kampung Simpangan.
"Lelaki itu diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum pemeriksaan tubuh dijalankan, namun tidak menemui sebarang barangan menyalahi undang-undang.
"Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 48 tong berisi 1,440 liter minyak disyaki petrol dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran menggunakan jalan tidak diwartakan.
"Suspek mengaku petrol dianggar bernilai RM2,563.20 itu akan dibawa ke Pangkalan Haram Pokleh sebelum diangkut dengan bot menyeberangi Sungai Golok bagi pasaran negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Azhari berkata, semua barang rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. |