Rakaman kucing yang diselamatkan menjadi tular di Rusia.
Moscow: Seekor kucing yang terperangkap dalam beg plastik dan diselamatkan oleh pekerja kilang pemprosesan sampah di Rusia dilantik sebagai pembantu Menteri Alam Sekitar Wilayah negara itu.
Rakaman kucing itu diselamatkan menjadi tular di Rusia selepas video pengawasan di kilang itu tersebar di media sosial.
Portal Moscow Times melaporkan dalam video tular berkenaan memaparkan kucing itu diselamatkan dalam beg plastik diikat tali oleh seorang pekerja kilang.
Doktor haiwan yang merawat kucing itu mengatakan haiwan berkenaan sihat dan diberi makan dengan baik.
Menteri Rusia Gulnara Rakhmatulina berkata, sekiranya pemilik tidak dapat memelihara binatang di rumah, mereka perlu menyerahkannya ke tempat perlindungan.
Kementerian Hal Ehwal Alam Sekitar wilayah Ulyanovsk mengatakan mereka akan menjaga kebajikan kucing yang diselamatkan dan akan menjadikannya 'wakil kehormat' perlindungan hidupan liar.
Malah, kementerian itu juga mengumumkan mereka akan mengadakan pertandingan untuk menamakan kucing yang diselamatkan itu.
Bagi pekerja yang menemui dan menyelamatkan kucing itu, Mikhail Tukash, dia diberikan surat penghargaan daripada kementerian itu.
Mikhail mengatakan, kucing itu hanya diam dan tidak bergerak dalam beg plastik ketika dia menemuinya.
"Saya perlu memotong beg untuk menyaringnya daripada logam. Saya hanya menjalankan tugas saya," katanya. |