Edited by Aking at 14-1-2021 12:54 PM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - FOTO BERNAMA
Berita Harian
Safeek Affendy Razali
[email protected]
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melancarkan operasi besar-besaran ke atas penunggang motosikal melakukan kesalahan lalu lintas, dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu akan menumpukan motosikal berkuasa tinggi dan bawah 150cc.
Beliau berkata, ia akan memfokus kepada penunggang yang melakukan pengubahsuaian terhadap motosikal sehingga mengganggu ketenteraman awam.
"Ramai orang mengadu bahawa golongan itu mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi ekzos terlalu bising apabila menghidupkan motosikal yang diubah suai.
"Golongan terbabit juga didakwa mengganggu lalu lintas sehingga menyebabkan pengguna jalan raya lain terpaksa memberi laluan kepada mereka kerana berkonvoi dalam jumlah yang ramai," katanya pada sesi wawancara khas, di sini, hari ini.
Malah, Abdul Hamid menegaskan, penunggang motosikal menyumbang angka kemalangan yang tertinggi di negara ini.
"Sudah-sudahlah mereka memulas pendikit motosikal yang diubah suai sehingga mengganggu orang ramai dengan bunyi bising itu.
"Saya sudah mengarahkan JSPT untuk melancarkan operasi besar-besaran. Tiada kompromi lagi.
"Motosikal yang diubah suai akan dirampas, dan pihak terbabit mesti mengubah kenderaan mereka itu seperti asal semula," katanya. |