Peralatan dan perabot rumah rosak memenuhi di Kampung Melayu Benta selepas dilanda banjir. - Foto ihsan pembaca
Roselan Ab Malek
[email protected]
LIPIS: Banjir di negeri ini khususnya di Benta disifatkan lebih besar berbanding pada 1971 dan 2014 kerana semua rumah di sini tidak terlepas daripada dinaiki air.
Banjir bukan sahaja menenggelamkan penempatan di Kampung Melayu Benta yang biasa dinaiki air, bahkan Taman Teratai, Taman Benta Jaya dan Sekolah Menengah Benta.
Penduduk Kampung Melayu Benta, Ahmad Huzairi Haron, 41, berkata penduduk sama sekali tidak menjangka kampung mereka dilanda banjir besar.
"Pada 1971 dan 2014, hanya rumah rendah ditenggelami air tetapi tahun ini, tiada yang terhindar.
"Sungai Lipis melimpah dengan cepat berikutan hujan lebat berjam-jam hingga menyebabkan penduduk bergegas menyelamatkan diri.
"Ibu saya mengusahakan gerai makan berhampiran stesen bas Benta turut terjejas kerana premisnya rosak teruk," katanya.
Ahmad Huzairi berkata, beberapa hari lalu, tanah runtuh berlaku di belakang kedainya dan pihak berkuasa menyatakan ia tidak selamat lagi.
Katanya, rumah di kampung itu, berada di bawah air selama beberapa hari dan hanya bumbung dapat dilihat.
Pada minggu ini, katanya, mangsa banjir perlu membersihkan rumah terutama membersihkan lumpur tebal dalam rumah.
"Selepas air surut, saya dapati lantai rumah ditutupi lumpur tebal, manakala lebih 80 peratus barang dan perabot terpaksa dibuang kerana rosak teruk.
Ahmad Huzairi berkata, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu penduduk membersihkan kediaman, semalam dan hari ini.
Sementara itu, mangsa, Kamisah Alias, 50, berkata proses pembersihan akan sangat memenatkan kerana ia bukan banjir biasa.
"Penduduk kampung hilang banyak barang dan saya sendiri tidak pasti bagaimana kami akan menanganinya. |