Ikan koi bagus dipelihara dalam kolam atau tempat yang besar agar ia dapat membesar dengan baik. (Gambar Rawpixel)
Ikan koi adalah antara ikan hiasan terbaik sebagai pemeliharaan. Ini mungkin kerana sifatnya yang cantik dan penjagaannya juga mudah. Koi juga ikan yang jinak malah dipercayai boleh membawa keuntungan kepada pemiliknya.
Nama koi sendiri berasal dari bahasa Jepun iaitu Nishikoi yang bererti ikan air tawar bersulam emas dan perak. Sisik ikan ini pada umumnya memiliki corak berwarna cerah, seperti putih, oren, emas, dan perak.
Bagi mereka yang ingin memelihara ikan koi, berikut adalah beberapa tips memelihara ikan koi untuk permulaan.
1. Menyediakan kolam ikan
Ikan koi paling bagus dipelihara di dalam kolam kerana ia dapat membesar dengan baik di dalam tempat yang besar.
Anda boleh membela koi di dalam akuarium untuk jangka waktu yang singkat, namun perlu dialihkan ke dalam tempat yang lebih besar seperti kolam agar ia mendapat perkembangan yang optimal.
2. Gunakan air bersih di dalam kolam
Setelah menyediakan kolam, isi kolam tersebut dengan air bersih dan biarkan sekurang-kurangnya selama tiga hari bagi menghilangkan bau klorin dari air tersebut dan sisa cat atau simen dari kolam.
3. Kuarantin ikan sebelum dimasukkan ke dalam kolam
Selepas membeli ikan koi, masukkan ke dalam satu bekas yang besar terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke dalam kolam. Jangan letakkan jumlah yang banyak dalam satu bekas.
4. Memindahkan ikan ke dalam kolam
Setelah kolam siap diisi dengan ikan, pindahkan ikan Koi dari bekas ke dalam kolam. Masukkan seekor atau dua ikan dahulu sebelum memasukkan jumlah yang banyak. Ini adalah untuk melihat keserasian ikan tersebut dengan air dan kolam.
Namun, jangan lupa masukkan sekali air dari dalam bekas ke dalam kolam agar ikan tidak merasa takut dan mudah beradaptasi dengan habitat barunya.
5. Bersihkan kolam secara rutin
Setelah melepaskan ikan ke dalam kolam, perkara yang perlu dilakukan adalah menjaga kebersihan kolam. Anda sebaiknya membersihkan kolam setidaknya dua minggu sekali.
Selain itu, pantau perubahan warna air atau kondisi ikan Koi Anda. Menambahkan tanaman air seperti algae atau teratai juga boleh dilakukan untuk mempercantik kolam. Sementara itu, untuk membantu menjaga kebersihan air, boleh juga menggunakan penapis air yang berfungsi menyaring air di kolam agar selalu bersih.
6. Memberi makan secara rutin
Selain menjaga kebersihan kolam, memberikan makan ikan koi merupakan rutin yang perlu dilakukan dengan jumlah yang tidak terlalu banyak. Beri makan dua kali sehari pada pagi dan malam hari.
Jenis makanan ikan koi yang boleh diberikan adalah palet atau makanan ikan. |