Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah mengarahkan bot pemancing berpatah balik ke pengkalan kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian
Zuliaty Zulkiffli
[email protected]
ALOR SETAR: Tindakan beberapa bot melakukan aktiviti memancing di perairan Kuala Kedah mengundang padah apabila mereka diarah berpatah balik kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata aktiviti memancing tidak dibenarkan ketika PKP namun pemantauan hari ini mendapati masih ramai yang ingkar.
Ketika pemeriksaan pemancing memberi pelbagai alasan dan diarah berpatah balik dari kawasan itu kerana membabitkan jumlah yang ramai.
"Bot kami kemudian mengiringi beberapa bot pemancing terbabit hingga sampai ke pengkalan. Selepas ini, sekiranya masih ada lagi yang memancing ketika PKP ini, kami akan mengambil tindakan tegas," katanya ditemui melakukan pemantauan dan rondaan di perairan Kuala Kedah ke Tanjung Dawai, Yan, hari ini.
Maritim Malaysia turut melakukan tinjauan di beberapa pulau di kawasan perairan itu termasuklah Pulau Bidan, Pulau Telur dan Pulau Songsong.
Bagaimanapun, katanya, tahap pematuhan prosedur operasi standart (SOP) dalam kalangan nelayan amat memuaskan setakat ini. |