Lelaki Di China Bersenam Dengan Kasut Besi Seberat 150kg
Dalam banyak-banyak senaman di dunia, ada beberapa senaman yang sangat unik dan pelik serta jarang dilakukan. Tetapi senaman unik itu mempunyai jumlah pengikut mereka yang tersendiri. Seperti yang dilakukan oleh seorang lelaki di China ini yang melakukan senaman kasut besi atau iron shoe training untuk menjaga kesihatannya.
Apa yang mengejutkan, senaman ini memerlukan anda memakai kasut besi dengan berat yang sangat dahsyat. Contohnya, Zhang Enshun yang berusia 42 tahun ini memilih kasut besi seberat 150kg! Lelaki dari wilayah Guangxi, China ini telah melakukan senaman ini selama lima bulan dan mendapati dirinya membuat kemajuan yang menakjubkan.
Semuanya bermula apabila dia melihat laporan berita mengenai orang yang bersenam dengan menggunakan pemberat di kaki mereka. Selepas mendengar manfaat yang diperolehi mereka, Zhang kemudian berminat untuk mencubanya sendiri. Kalau anda nak tahu, senaman seperti ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri di China terutamanya dalam kalangan orang tua.
Pada mulanya, dia melekatkan satu plat keluli dengan berat sekitar 18kg pada setiap kakinya dan cuba berjalan dengannya. Walaupun susah untuk mengambil langkah demi langkah, dia akhirnya menunjukkan kemajuan dan kini berjaya berjalan dengan berat keseluruhan sebanyak 150kg kira-kira dua kali ganda dari berat badannya.
“Berat kasut ini lebih dari dua kali ganda berat badan saya tetapi saya dapat berjalan lebih dari 50 meter dalam masa 20 minit.”
Tidak hanya berjalan kosong sahaja, Zhang juga akan melakukan tai chi sambil berjalan dengan kasut besi ini. Dia juga turut berbangga apabila dapat mengangkat kakinya setinggi 2 sentimeter dari tanah dan kemudian meningkat kepada 20 sentimeter dengan setiap langkah. Tidak pasti apa manfaat yang diperolehi dari senaman ini tapi rata-rata yang melakukannya mengatakan ia membantu menguatkan otot mereka.
Begitu juga dengan Zhang yang mendakwa ia membantu menguatkan otot dan tulang kakinya, meningkatkan peredaran darah serta menjaga sendi-sendi badannya sihat. Tetapi pakar kesihatan mengatakan senaman yang sudah lama dilakukan di China ini mempunyai risikonya. Oleh kerana tekanan yang tinggi, ia boleh menyebabkan kecederaan yang serius.