|
Peminat serbu finalis AIM14
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Acara kemuncak penganugerahan karyawan muzik negara pada 28 April di Dewan Merdeka PWTC
TINGGAL beberapa hari saja lagi sebelum Anugerah Industri Muzik ke-14 (AIM14) mendedahkan siapakah di kalangan penggiat muzik tanah air yang mampu berbangga apabila nama mereka diumumkan sebagai terbaik bagi penghasilan karya sepanjang tahun 2006.
Acara kemuncak AIM 2007 akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada Ahad ini, mulai jam 8.30 malam. Majlis yang mengumpul ramai penyanyi, komposer, penulis lirik serta ramai lagi penggiat seni tanah air itu akan disiarkan secara langsung menerusi Saluran Ceria Anda, ntv7.
Bagi menyemarakkan lagi AIM tahun ini, siri persembahan jelajah di beberapa bandar utama negara ini turut diadakan, membabitkan finalis dan penyampai anugerah. Selepas Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Alor Star, siri jelajah promosi AIM14 akhirnya singgah di Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 22 April lalu.
Kira-kira 3,000 peminat membanjiri ruang legar pusat beli-belah terkenal di ibu negeri Selangor itu apabila 14 artis terkenal muncul di pentas persembahan pada acara yang bermula sekitar jam 3 petang berkenaan.
Finalis yang tidak ketinggalan memeriahkan persembahan ialah Mawi, Jaclyn Victor, Farhan, Izwan Pilus, Fazli Zainal, Chobib, FTG, Sofaz, Nikki, Bob, Sasi the Don dan Kristal. Turut beraksi pada siri jelajah terbabit ialah dua bintang baru yang akan turut menaiki pentas Dewan Merdeka sebagai penyampai pada malam kemuncak, Nita dan Dina Malaysian Idol.
Lalu, pada Ahad lalu, kedengaran banyak lagu popular di plaza berkenaan termasuk Angan Dan Sedar, Kian, Indah Lelapku, Harapan, Kembali Senyum, Janjiku, Salahku, Ceritera Cinta, Still Got the Blues dan banyak lagi, dendangan barisan penyanyi serta kumpulan yang menghangatkan persembahan.
Mawi yang muncul sebagai artis terakhir mengadakan persembahan tidak menghampakan apabila dia mengalunkan lagu rancak terbaru ciptaan sifu M Nasir, Angan Dan Sedar, serta lagu popular petikan album pop pertama, Kian. Kemunculan bekas juara Akademi Fantasia 3 ini cukup dinanti ribuan peminat, yang nyata terhibur dengan gaya nyanyiannya.
Paling beruntung tentunya seorang peminat cilik yang naik ke pentas dan mencium pipi penyanyi lelaki paling popular itu. Peminat lain usah cemburu!
Pada AIM14, Mawi akan bersaing dengan Ahmadi Hassan, Firdaus, Hijjaz dan Raihan dalam kategori Album Nasyid Terbaik, melalui albumnya yang berjudul Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu. Dia juga akan turut mengadakan persembahan pada malam anugerah nanti, bersama-sama beberapa artis dan kumpulan terkenal lain termasuk Anuar Zain, M Nasir, Rabbani, Ramli Sarip, Reshmonu, Samsons, Sean Ghazi dan Sofaz.
Sofaz yang kini muncul antara kumpulan muzik tempatan paling diminati, ketika ditanya mengenai harapannya pada anugerah kali ke-14 itu berkata, mereka tidak meletakkan harapan menggunung untuk memenangi kategori yang dicalonkan. Apatah lagi saingan mereka bukan calang-calang nama.
Album kedua kumpulan itu, Janjiku, dicalonkan merebut trofi Album Pop Rock Terbaik, iaitu kategori yang turut menyenaraikan nama besar seperti M Nasir (album Sang Pencinta), Kristal (Analogi), Saleem (Epigoni) dan Chobib (Gorr... Renng Jer).
Farhan yang dicalonkan dalam dua kategori - Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) mengaku dia agak 憈akut |
|