View: 10047|Reply: 41
|
CERMIN ( Cinta Seram )
[Copy link]
|
|
Post Last Edit by MUZRI at 24-3-2010 09:50
Karya : Hasrudi Jawawi
SINOPSIS:
Cermin berbingkai kayu berukir motif flora itu ada di dalam bilik baru Dewi, menarik perhatiannya. Di antara bilik-bilik yang ada di dalam banglo usang yang dibeli oleh ibunya itu, hanya bilik terakhir sahaja Dewi anggap cantik dan sesuai dengan jiwanya. Semenjak Dewi dan ibunya berpindah ke banglo usang di pinggir bukit itu, pelbagai kejadian misteri mula berlaku dalam hidup Dewi. Sesiapa yang menyebabkan hatinya tergores, insan itu akan menemui ajal. Awalnya, Dewi hanya menganggap apa yang berlaku hanyalah kebetulan.
Tetapi, selepas perkara yang sama berlaku berulang kali, adakah ia masih boleh dianggap kebetulan?
Apa yang ditakuti oleh Sem akhirnya terjadi. Siti, kawan baiknya sendiri menjadi mangsa sakit hati Dewi. Namun, Dewi juga teman baiknya. Sem dan Siti sama-sama sayangkan persahabatan mereka dengan Dewi. Lalu, Sem meminta tolong Hasrul yang mahir dalan hal-hal dunia mistik.
Selepas Hasrul mengkaji latar belakang banglo yang didiami oleh Dewi, rupanya banglo itu banyak menyimpan sejarah mistik. Cermin di dalam bilik Dewi adalah cermin Sri Muka yang mana jika dipuja, ia bisa menunaikan segala pemintaan si pemujanya dan akan mengundang padah pada si pemuja jika tidak menuruti kehendak cermin itu.
Adakah Dewi telah memuja cermin Sri Muka itu? Jika ya, apakah cermin itu mampu dimusnahkah demi menghapuskan sumpahan cermin itu? Dan Andy, lelaki yang menyayangi Dewi namun menggores luka di hati itu, ke manakah hilangnya? Adakah kehilangan Andy disebabkan sumpahan cermin Sri Muka atau akibat putus cinta?
Semuanya bakal terjawab di dalam novel CERMIN yang sarat dengan kisah misteri, semangat setiakawan dan keikhlasan cinta.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Prolog
KERETA yang dipandu oleh Azizah berhenti betul-betul di hadapan banglo lama yang baru sahaja dibelinya beberapa bulan lalu. Walaupun banglo itu kelihatan usang, namun keadaan banglo itu masih elok dan cantik strukturnya. Banglo lama yang terletak betul-betul di pinggir bukit ini cukup strategik sekali lokasinya. Selain dekat dengan kawasan hutan bukit, udara di sini juga segar. Jauh sekali daripada hiruk-pikuk bandar. Kawasan seperti inilah yang dicari oleh Azizah selepas dia memiliki cahaya mata 16 tahun lalu. Baru sekarang dia dapat miliki.
Dewi, anak tunggal perempuannya, sudah pun mencecah usia 16 tahun. Seorang remaja wanita yang sopan santun dan meminati muzik pop Melayu, sangat meminati artis kesayangannya, Dato’ Siti Nurhaliza. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia meminati artis wanita itu. Mungkin personaliti artis itu membuatkan dia meminatinya. Daripada album Adiwarna, sehinggalah album Transkripsi, dia sudah miliki kesemuanya. Lagu terbaru daripada idolanya yang menjadi kegemarannya masa ini adalah Siti Situ Sana Sini. Baginya, antara banyak-banyak lagu idolanya itu, lagu itulah yang paling menarik.
Ibu dan ayahnya sudah hampir sepuluh tahun bercerai. Jika tidak silap, ibu dan ayahnya bercerai ketika dia berusia lima tahun. Menurut ibunya, ayahnya meninggalkannya kerana perempuan lain. Tapi… entahlah, dia sendiri tidak tahu kesahihannya. Sungguhpun begitu, dia tidak pernah berpisah dengan ayahnya. Ayahnya selalu menjenguk bila tiba cuti sekolah dan setiap hujung minggu. Hanya ketika itu sahajalah ayahnya ada masa untuk menjenguk. Sedikit pun dia tidak merasakan kekurangan kasih sayang daripada seorang ayah.
Kebiasaannya jika dia bertemu dengan ayah, pasti ayahnya akan membawanya membeli-belah, menonton wayang dan bersiar-siar. Jika di musim cuti sekolah pula, kerap ayahnya membawanya bercuti ke tempat-tempat menarik. Tempat yang paling disukai adalah Genting Highlands. Dia suka ke kawasan tanah tinggi. Dia suka dengan kawasan yang beriklim sejuk. Jika boleh, satu hari nanti dia ingin ke Korea. Ingin merasai musim sejuk dan musim salji di sana.
Apa yang mengecewakannya, ibunya tidak pernah turut serta atau bersama-sama dia dan ayah keluar membeli-belah, tengok wayang atau bercuti. Ibunya selalu sibuk. Ibu adalah seorang usahawan kosmetik berjaya. Ibu kurang masa untuk diluangkan untuknya.
Cuti hujung minggu pun, kadangkala ibu terpaksa ke pejabat menguruskan perniagaannya. Bila ditanya mengapa ibunya perlu bekerja di waktu cuti, lekas ibunya menjawab, apa yang dia lakukan ini untuk kepentingannya dan suatu hari nanti ibu bakal mewariskan perniagaan kosmetiknya itu kepadanya. Tapi… Dewi kurang minat dengan dunia perniagaan. Dia lebih berminat menceburkan diri dalam dunia glamor.
Pernah suatu hari itu, Dewi memberi tahu ibunya, bahawa dia ingin menjadi seorang yang terkenal, seperti artis. Ibunya keras membantah. Menurut ibunya, dunia artis itu dunia yang penuh kepura-puraan dan penuh dengan kontroversi. Silap langkah boleh memakan diri sendiri.
Ibunya tidak sedar, dalam perniagaannya, tanpa artis sebagai duta produk syarikatnya, mungkin produk kecantikan ibunya itu tidak sepopular dan selaris sekarang. Nasib baik ada seorang artis yang bakatnya dicungkil daripada rancangan realiti TV mencari bintang nyanyian sudi menjadi duta produk syarikat ibunya. Jika tidak, sampai sekarang syarikat ibu tidak sepopular sekarang. Sekurang-kurangnya jika dia menjadi seorang yang terkenal, boleh juga melariskan produk ibu itu kelak.
“Dewi, apa termenung lagi tu? Cepatlah ambik beg-beg Dewi dalam bonet ni. Hari dah nak gelap ni, nanti tak sempat nak berkemas,” panggil Azizah kepada anak tunggalnya yang sedari tadi termangu di dalam kereta. Termenung entah apa-apa. Sedangkan dia sudah mula mengangkat bagasinya ke dalam banglo.
Dewi tersentak. Cepat sahaja dia membuka daun pintu kereta. Selepas keluar dari kereta, dia memandang ke arah banglo yang bakal menjadi rumah barunya. Nampak kusam dindingnya. Ada sebahagian daripada kawasan dinding sudah ditumbuhi lumut hijau. Dewi mengerutkan dahi dan mencebikkan bibir. Pelik perasaannya bila melihat keadaan banglo itu. Seperti rumah tinggal sahaja.
“Ibu, ini ke banglo yang bakal jadi rumah kita?” tanya Dewi seolah tidak percaya dengan apa yang dilihat. Matanya masih ke arah banglo yang tersergam di depan mata ketika ini.
“Ha’ah, kenapa?” tanya Azizah. Kerja-kerja mengeluarkan bagasi dan beg dari bonet keretanya tiba-tiba terhenti. Lekas dia memandang wajah anaknya yang masih melilau memandang keadaan sekeliling banglo itu.
“Macam pelik aje banglo ni, ibu. Dahlah buruk, jauh dari kawasan bandar pulak tu. Ibu pasti ke, ini banglo yang ibu beli?” tanya Dewi lagi, seolah tidak percaya.
Azizah tersenyum sambil menggelengkan kepala.
“Yalah, ini banglo yang ibu beli. Ibu tahu banglo ni nampak lama. Nanti kita catlah banglo ni, nampak barulah. Kenapa Dewi risau sangat ni?” Azizah hairan melihatkan perangai anak gadisnya itu. Sedari tadi memandang pelik banglo itu.
“Kenapa tak beli banglo baru aje?” tanya Dewi lagi. |
|
|
|
|
|
|
|
“Ibu sengaja beli banglo ni. Bukan sebab ia murah. Tapi lokasinya ibu suka. Jauh dari bandar. Boleh dengar bunyi unggas, cengkerik,” jawab Azizah beria sambil mengeluarkan barang-barang perhiasan yang sempat disumbat ke dalam bonet keretanya pagi tadi.
“Tapi, ibu, banglo ni jauh dari bandarlah. Jalan nak ke banglo ni pun kena lalu jalan kampung. Belakang banglo ni pulak hutan. Seram aje, ibu,” luah Dewi pada apa yang terbuku di hatinya sedari tadi. Dia tidak menyangka ibunya sanggup membeli banglo asing ini.
“Seram? Dah, jangan nak mengarut. Tak ada apa-apanya.” Azizah acuh tidak acuh menyambung semula kerjanya mengeluarkan bagasi.
“Puan, ada apa-apa boleh saya tolong?” Muncul seorang wanita tua yang boleh dianggarkan usianya dalam pertengahan 50 tahun di situ. Entah dari mana munculnya, tiba-tiba menyapa.
“Mak We, tolong bawa masuk barang-barang ni,” arah Azizah kepada wanita tua tadi.
Wanita tua tadi segera mengangkat bagasi dan beg-beg yang Azizah keluarkan tadi lalu dibawa masuk ke dalam banglo. Terkial-kial wanita tua itu mengheret bagasi yang sarat berisi pakaian itu. Kesian pula Azizah melihatkan keadaan wanita tua itu.
“Siapa tu, ibu?” tanya Dewi hairan.
“Perempuan tu namanya Mak We, orang gaji banglo ni. Dia dah bekerja di banglo ni sejak 20 tahun yang lalu,” jelas Azizah.
“Siapa penghuni asal banglo ni? Ke mana mereka semua pergi?” Ingin benar Dewi tahu siapa pemilik asal banglo ini.
“Kata penjual yang menjual banglo ni pada ibu, orang yang tinggal banglo ni dulu sebuah keluarga dari Indonesia, tapi, sejak sepuluh tahun lalu, mereka sekeluarga dah kembali ke Indonesia. Sampai sekarang mereka tidak balik-balik ke sini lagi. Sebab tu banglo ni dijual, sebab sudah terlalu lama tidak didiami,” jelas Azizah panjang lebar.
Dewi akur. Mengulum bibir, dahi berkerut, dia melihat banglo yang tersergam di hadapannya. Kehairanan nampak usang, tapi kawasan persekitarannya besar. Entah bagaimanalah keadaan di dalam banglo ini agaknya. Pasti menyeramkan.
Dewi melangkah ke belakang kereta. Dia mengeluarkan bagasi dan beg-beg yang berisi barang-barang peribadi dan pakaiannya. Diheret masuk ke dalam banglo yang dianggap menyeramkan itu. Sebelum melangkah masuk, sempat lagi dia melihat keadaan banglo itu dari luar. Ada sesuatu yang mengusik perasaannya setiap kali melihat banglo ini. Satu perasaan yang dia tidak tahu bagaimana hendak digambarkan.
Dewi mula menanamkan perasaan positif. Cuba menganggap tiada apa-apa yang bakal menyeramkan. Dia melangkah masuk dengan bersahaja. Sesampai sahaja di depan pintu, dia meletak bagasi dan begnya, melihat keadaan di dalam banglo itu. Sangat besar. Segala perabot sudah sedia ada.
Diteliti setiap sudut rumah itu. Semua perabot lama. Dia merasakan seolah-olah dia berada di Indonesia kerana konsep banglo itu ala-ala dari Indonesia. Dengan ukiran yang simbolik pada perabot dan lukisan-lukisan batik Indonesia menjadi hiasan dinding, menambahkan lagi keunikan banglo itu.
“Mak We, ini anak saya, nama dia Dewi.” Azizah tiba-tiba muncul dan memperkenalkan Dewi kepada pambantu rumah di banglo ini.
“Apa khabar, Mak We?” tanya Dewi ramah sambil menghulurkan salam.
Salam bersambut. Mak We hanya tersengih. Menampakkan barisan gigi tuanya yang kelihatan sudah mula membusuk. Dewi terkejut dengan sengihan Mak We. Wanita tua itu menyeramkan. Lirikan matanya tajam dan jelas sinis.
“Mak We, tolong bawa Dewi naik atas. Tunjukkan di mana bilik dia,” arah Azizah lalu melangkah keluar, mengambil barang-barangnya yang masih tertinggal di dalam kereta.
“Ayuh, Dewi. Mak We tolong tunjukkan bilik Dewi di atas,” ajak Mak We sambil mengheret bagasi ke tingkat atas.
Terkial-kial wanita tua itu mengangkat bagasi Dewi menaiki setiap anak tangga. Melihatkan keadaan itu, segera Dewi menolong.
Sambil menaiki anak tangga. Dewi melihat-lihat gambar yang digantung di sepanjang dinding menaiki anak tangga itu. Kesemua lukisan yang ada terlalu simbolik dan unik. Seolah lukisan conteng-conteng di atas kanvas. Sedikit pun dia tidak memahami maksud pada setiap gambar. Dewi mengabaikan perasaannya itu bila tanpa disedari dia telah pun sampai ke anak tangga yang terakhir.
Di tingkat atas itu ada lima bilik. Salah satu daripadanya menjadi bilik ibunya. Dan salah satu pula akan dijadikan biliknya. Tiga lagi bilik kosong yang tinggal, dibiarkan kosong. Kelima-lima bilik yang ada di aras ini semuanya mempunyai saiz sudut yang sama. Cuma kedudukan dan jenis perabot sahaja yang berlainan. Mak We memberi peluang kepada Dewi untuk memilih biliknya sendiri.
Bilik pertama sudah menjadi bilik ibunya. Dia masuk ke bilik yang kedua. Dia melihat keadaan bilik itu. Cantik. Tapi ia tidak menarik minat Dewi kerana bilik itu terlalu ringkas. Dia menggelengkan kepala ke arah Mak We, tanda tidak mahu bilik itu menjadi biliknya. Dia melangkah keluar, diekori oleh Mak We yang terhegeh-hegeh mengheret bagasi Dewi.
Dewi masuk pula ke bilik yang ketiga. Susunan katilnya sama seperti bilik nombor dua tadi. Cuma jenis katil sahaja berlainan. Jika bilik tadi katilnya diperbuat daripada kayu, bilik ini katilnya diperbuat daripada besi. Terlalu formal. Bilik ini mungkin sesuai bagi mereka yang baru berumah tangga. Dewi berandaian sendiri dalam hati. Dia melangkah keluar selepas melihat keadaan bilik itu tidak sesuai dengan jiwanya.
Sampai ke bilik yang keempat. Bilik ini kelihatan kosong. Hanya sekadar ada katil besi berkelambu, almari bercermin sahaja. Tiada aksesori bilik yang lain. Terlalu ringkas berbanding dengan bilik nombor dua tadi. Sekali lagi dia menggeleng kepada, tanda tidak mahu dengan bilik itu. |
|
|
|
|
|
|
|
Sampai di bilik yang terakhir. Dewi mengeluh. Dia berharap agar bilik yang terakhir ini dapat menarik perhatiannya. Jika tidak, terpaksalah dia berbincang dengan ibunya untuk membuat pengubahsuaian bilik selepas ini. Dengan perasaan sedikit terkilan, Dewi menguak daun pintu bilik terakhir itu. Dewi terkesima. Bilik terakhir itu nampak sangat cantik. Suasananya dapat mengusik jiwanya. Katil kayu berukiran, memang cantik dan kelihatan moden walaupun perabot itu perabot lama. Posisi katil yang menghadap tingkap membuatkan Dewi tertarik.
“Jadi macam mana, cik? Minat dengan bilik ni?” tanya Mak We yang kelihatan sudah letih mengheret bagasi Dewi sedari tadi. Kelihatan termengah-mengah.
“Mak We, Dewi suka bilik ni. Bilik ni cantik. Nyaman aje suasananya. Cahaya daripada tingkap ni pun redup,” jelas Dewi gembira sambil menghenyak punggung di atas katil.
Mak We akur lalu terus membuka bagasi Dewi untuk mengemas pakaian Dewi. Walaupun bilik itu sudah ditinggal kosong hampir sepuluh tahun, keadaannya terjaga rapi. Bersih. Tiada kesan habuk pun pada perabot.
“Mak We, siapa yang duduk banglo ni dulu ya?” tanya Dewi selepas puas berehat dia atas katil.
Mak We yang sedang mengemas pakaian Dewi tidak terus menjawab. Dia menyiapkan dulu kerja-kerjanya memindahkan pakaian Dewi, dari bagasi ke dalam almari.
“Sepuluh tahun dulu, keluarga yang duduk rumah ni adalah sebuah keluarga dari Indonesia,” jawab Mak We, mendatar nada suaranya. Dia kembali menyambung kerjanya.
“Siapa nama keluarga tu, Mak We?” tanya Dewi lagi. Teringin sangat untuk mengetahui siapa yang mendiami banglo ini sebelum ini.
“Keluarga Pak Makojiwo. Nama isterinya Ibuk Tatty. Mereka ada tiga orang anak. Dua orang anak lelaki dan sorang anak perempuan.” Mak We sedikit pun tidak memandang ke arah Dewi. Sibuk dengan kerjanya.
“Jadi, bilik ni… bilik anak perempuan dialah ya?” Dewi mengangak.
“Tak, bilik ini bilik kosong. Pak Makojiwo dan Ibuk Tatty duduk satu bilik. Bilik anak-anak lelakinya pula di bilik dua dan tiga. Bilik anak perempuannya pula, bilik sebelah. Jadi bilik ini di biarkan kosong,” jelas Mak We panjang lebar.
Dewi menggaru kepala memikirkan kata-kata Mak We.
“Mak We dah habis kemas baju-baju ni. Nak Mak We kemaskan barang di dalam beg ni pulak?” tanya Mak We sambil mengarahkan jari telunjuknya kepada beg Dewi yang masih belum dibuka.
“Tak apalah, Mak We. Barang-barang dalam beg tu biar Dewi kemaskan sendiri,” jawab Dewi mesra.
Mak We tanpa berlengah terus meluru keluar dari bilik itu. Seolah-olah lari daripada sesuatu. Dewi kehairanan namun dia mengabaikan perasaannya itu. Dewi mengeluh halus sambil memandang sekeliling bilik barunya itu. Dia terpandangkan satu gambar yang digantung betul-betul di atas kepala katil. Bila diteliti betul-betul, ia sebuah lukisan. Dia cuba memahami apa maksud yang tersirat di sebalik lukisan itu. Membingungkan. Diteliti betul-betul lukisan itu.
Dewi naik ke atas katil untuk melihat dengan lebih dekat lukisan itu. Bila diamati betul-betul, seolah lukisan sebuah cermin. Cermin yang memancarkan biasan cahayanya. Apa motif pelukis melukis sebuah cermin? Persoalan mula berputik di ruang benak Dewi. Sungguhpun begitu, lukisan itu nampak terlalu simbolik. Sekali imbas, tidak kelihatan apa yang ada di dalam lukisan itu iaitu hanya sebuah cermin yang membiaskan cahayanya.
Dewi meneliti gambar itu dekat-dekat. Di sudut bawah bahagian kiri gambar itu tertulis satu perkataan yang terlalu kecil. Dia terpaksa mengecilkan kelopak matanya untuk membaca ayat yang tertulis.
Cermin tidak bisa menipu.
Dewi kehairanan. Apa maksud sebenar di sebalik ayat itu? Ya, dia tahu cermin memang tidak boleh menipu sesiapa yang melihatnya. Apa yang diletakkan di hadapan cermin, itulah yang akan terpantul daripadanya. Dewi cuba menyentuh lukisan itu. Belum sempat dia berbuat demikian, kain yang menutupi meja solek yang berada betul-betul di sebelah katilnya tiba-tiba terselak.
Pandangan Dewi terkalih kepada cermin itu. Dia melangkah turun. Dia terkesima lagi. Cermin itu cantik. Ukiran pada bingkai cermin itu juga kelihatan sungguh unik. Bersimbolkan flora. Ukiran pada bingkainya nampak klasik dan antik. Sungguh unik dan cantik. Inilah kali pertama Dewi melihat cermin seindah itu. Cerminnya nampak bersih.
Dia berasa bangga kerana dapat mendiami bilik ini. Diteliti cermin itu dekat-dekat. Seni ukirannya sangat halus. Cermin yang berbentuk semacam lonjong itu memang strategik kedudukannya kerana menghadap tingkap. Dewi menyentuh seni ukiran pada bingkai cermin itu. Dia bangga dengan si pengukir bingkai tersebut. Teliti dalam ukiranya. Nampak sempurna. Tiada sedikit pun cacat cela.
Dewi mengambil sehelai tisu dari dalam bag galasnya. Lalu dilap permukaan cermin yang sedikit berhabuk itu. Dilap sehingga permukaan cermin bertambah jelas dan menampakkan wajahnya. Sedang asyik Dewi mengelap cermin itu, Dewi terlihat satu ayat pendek di sudut kiri atas cermin itu. Dia cuba membaca, tapi tidak jelas. Pencahayaan bilik itu yang redup menyebabkan keadaan bilik itu sedikit malap.
Dewi melangkah ke arah tingkap lalu diselak langsir seluasnya. Keadaan bilik menjadi terang-benderang. Dewi menoleh kerah cermin tadi. Mengejutkan. Cahaya dari tingkap yang menghala ke arah cermin itu terbias dan menerangkan lagi keadaan bilik itu. Dewi kehairanan. Dia kembali menghampiri cermin tadi dan cuba membaca ayat pendek yang terdapat pada sudut kiri atas cermin itu. Terjinjit-jinjit kakinya untuk membaca.
Dewi mengeluh apabila masih tidak dapat membaca dengan jelas ayat pendek itu. Diambil kerusi kecil yang menjadi kerusi meja solek itu lalu dipanjat perlahan-lahan. Diteliti ayat yang tertulis di sudut kiri atas cermin itu. Tertulis samar-samar…
Kuseru kuasamu… Datanglah kau kepadaku…
Dewi membaca dalam keadaan berbisik. Cuba memahami apa maksud ayat-ayat itu. Dibaca sekali lagi. Dia kehairanan. Apa maksud ayat-ayat itu? Dewi tertanya sendirian. Dia menyebut ayat itu lagi, buat kali ketiga. Tiba-tiba cermin itu bercahaya terang, menyilaukan pandangan. Sehinggakan Dewi terpaksa menutup mata.
Dewi cemas. Apa yang telah terjadi? Mengapa cermin itu bercahaya secara tiba-tiba? Dari manakah datangnya cahaya itu? Persoalan itu menujah-nujah benak fikirannya di saat tangan masih menutup mata dek kesilauan cahaya daripada cermin itu. Tanpa disedari, kerusi yang ditenggek Dewi tergolek. Dewi pula terus rebah di atas lantai.
Kepala Dewi pening. Pandangannya menjadi kabur. Cermin tadi masih bercahaya Dia dapat melihat seorang wanita muncul dari cermin itu dan tersenyum kepadanya dan dalam beberapa saat wanita itu menangis pula. Dewi cuba bangun untuk melihat siapa wanita itu. Tiba-tiba pandangannya semakin kabur, kabur, kabur dan… Gelap! |
|
|
|
|
|
|
|
1
DEWI melangkah membuntuti pengetua sekolah barunya. Sepanjang melangkah ke kelas baru, tidak lekang dia mendengar siulan daripada pelajar-pelajar lelaki dari kelas-kelas yang dilintas. Dewi mengabaikan semua itu dan hanya menganggap siulan itu hanyalah siulan nakal.
Pengetua sekolah yang bernama Puan Latifah itu terus melangkah laju, membawa Dewi ke kelas barunya. Ini hari pertama dia menuntut di sekolah yang boleh dianggap sekolah kampung baginya. Pelajar-pelajar lelakinya pantang melihat pelajar perempuan, pasti akan diusiknya.
Puan Latifah masuk ke dalam sebuah kelas. Dewi hanya tunggu di luar dan membiarkan Puan Latifah berbincang dengan guru kelas itu mengenai kemasukannya ke sekolah ini dan kelas itu. Dewi melihat papan tanda pada bahagian atas bingkai pintu. Tertera perkataan 4 Mutiara.
Sementara dia menunggu Puan Latifah berbincang dengan guru kelas 4 Mutiara, sempat dia menjengah ke dalam. Masing-masing kelihatan senyap dan fokus menyalin apa yang tertulis pada papan hitam. Tidak seperti kelas yang sebelum ini, riuh-rendah. Cikgu mengajar di depan, ada pelajar yang sibuk berborak di belakang.
Beberapa minit kemudian, Puan Latifah keluar lalu terus meninggalkannya sendirian di luar kelas.
“Dewi, masuklah,” pelawa cikgu yang ada di dalam kelas itu.
Dewi terpinga-pinga seketika lalu memberanikan diri melangkah masuk ke dalam. Perhatian semua pelajar tertumpu kepadanya. Masing-masing berwajah serius.
“Baiklah, pelajar-pelajar semua, hari ini kita ada pelajar baru.” Guru kelas itu memaklumkan.
Dewi mengukir senyuman yang dipaksa. Kekok bila masing-masing memandangnya serius.
“Baiklah, Dewi, sila perkenalkan diri pada kelas,” pinta cikgu kelas itu, yang masih belum diketahui lagi namanya.
Adus! getus Dewi sendirian. Perkara macam inilah yang dia kurang minat dan tidak suka. Memperkenalkan diri di khalayak ramai. Dia terasa kekok apabila berhadapan dengan ramai orang. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Cita-citanya ingin menjadi seorang yang glamor, tapi baru berhadapan dengan budak kelasnya sendiri yang tidak sampai 40 orang pun, sudah kecut perut dibuatnya.
“Nama saya Dewi Shafikah binti Abd Aziz. Saya berasal dari Johor Bahru. Saya anak tunggal. Ayah saya seorang jurutera dan ibu saya seorang usahawan berjaya,” jelas Dewi tersekat-sekat.
Masing-masing memfokuskan pandangan ke arahnya ketika ini. Kekok rasanya bila direnung dengan manusia seramai ini. Dewi rasa macam ingin sahaja terus duduk, daripada berdiri lama-lama di depan kelas itu.
“Ada siapa-siapa nak tanya mengenai Dewi?” Cikgu kelas itu membuka soalan kepada pelajar-pelajar lain.
Masing-masing senyap, tidak bersuara. Tiada soalan untuk ditanyakan kepada Dewi. Selepas 30 saat menunggu, masih tiada maklum balas daripada pelajar-pelajar lain, cikgu kelas itu yang bernama Ismail, seperti yang tertera pada tanda nama di poket bajunya, menyuruh Dewi duduk di sebuah meja kosong di bahagian tengah kelas. Bersebelahan dengan seorang pelajar perempuan yang agak berisi tubuhnya.
Dewi menghela nafas lega apabila dia tidak perlu menjawab soalan-soalan mengarut daripada sesiapa. Dengan sopan dia melangkah ke meja kosong yang dimaksudkan oleh Cikgu Ismail tadi. Sambil tersenyum, dia melabuhkan punggung di atas kerusi kosong itu.
Cikgu Ismail menyambung pengajaran yang tergendala tadi. Subjek yang diajar ketika ini adalah subjek Sains.
“BANGUN!” Ketua kelas mengarahkan semua pelajar 4 Mutiara bangun.
Serentak semua pelajar bangun. Dengungan bunyi kaki kerusi terseret pada lantai konkrit memenuhi ruang kelas itu.
“Terima kasih, cikgu,” ucap ketua kelas. Semua pelajar mengajuk kata-kata ketua kelas yang berbadan kurus itu.
Selepas sahaja Cikgu Ismail keluar dari kelas, masing-masing turut melangkah keluar menuju ke kantin sekolah. Sudah masuk waktu rehat. Sempat Dewi melihat jam di pergelangan tangannya, sudah pukul 10.30 pagi.
Tinggallah beberapa orang sahaja pelajar di dalam kelas itu. Rakan sekelasnya yang duduk di sebelahnya masih di situ. Dengan lambat-lambat dia menyusun bukunya ke dalam meja. Dewi cuba berkenalan gadis berbadan sedikit gempal itu.
“Hai, nama saya Dewi. Nama awak?” tanya Dewi bermanis mulut dan tersenyum mekar sambil menghulurkan salam.
“Saya Siti,” jawab kawan barunya itu mesra sambil menyambut salam Dewi tadi.
“Siti Nurhaliza?” Dewi mengusik.
“Boleh jugak kalau nak panggil nama tu. You tahu, I ni fanatik Siti Nurhaliza tau,” jelas Siti bangga dengan pengakuannya.
Dewi ternganga dalam senyumannya. Dia tidak menyangka mendapat kawan pertama yang mempunyai idola yang sama. “Really? Saya jugak.”
“Hei, ya ke? Nice to meet you. By the way, dalam album terbaru dia, lagu apa yang you suka?” tanya Siti seolah ingin menguji.
“To me, I like all songs from her. She is the best singer right? By the way, I like Siti Situ Sana Sini too much. How about you?”
“Saya suka lagu Biarlah Rahsia.”
“Banyak rahsialah ni ek?”
“Bolehlah.”
Mereka berdua berdekah ketawa.
“Amboi, Siti, ketawa sampai tak hengat dunia. Dari depan tu mak dengar tau.” Tiba-tiba pelajar lelaki merangkap ketua kelas 4 Mutiara itu datang menyapa.
Dewi terhenti daripada gelak. Tadi punyalah maco suara, tiba-tiba sahaja sekarang, jadi lembut semacam. Suara pula kontrol ayu. Hairan Dewi melihatkan personaliti ketua kelasnya yang tiba-tiba berubah karakter.
“Tak adalah. Aku tengah borak dengan budak baru kelas kita ni tentang kita orang punya idola. Dewi namanya,” jawab Siti sambil melentok-lentokkan tangannya dan menampar bahu lelaki lembut yang duduk di hadapannya.
“Oh, ya ke?” Lelaki itu akur. “By the way, may name is Sem. Just call me S.E.M. Sem,” sambung Sem lagi memperkenalkan diri kepada Dewi sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
“Dewi,” jawab Dewi sambil menyambut salam lelaki itu. Lembut dan halus tapak tangannya, seolah tidak pernah buat kerja berat. Bila dilihatkan betul-betul wajah Sem, kacak juga lelaki ini. Tapi dia tidak tahu mengapa Sem perlu jadi lelaki selembut sutera. Dibuat-buat atau semula jadi?
“Dewi asal dari JB, kan? JB di mana?” tanya Sem, sekadar ingin merapatkan lagi kemesraan mereka.
“Saya dulu duduk rumah teres aje di Taman Bukit Kempas,” jawab Dewi persis seorang artis menjawab pertanyaan daripada wartawan.
Sem akur dengan jawapan Dewi.
Bila ditatap lama-lama wajah Sem, memang terserlah kekacakannya. Lesung pipit dan kulit wajah yang putih bersih itu bisa buat hati Dewi cair. Dan hati Dewi sudah pun tertarik dengan Sem. Tapi malangnya lelaki itu lembut. Bernafsukah dia kepada wanita?
“Kau orang tak pergi kantin ke? Makan-makan?” tanya Sem lagi sambil membuat isyarat tangan sedang menyuap nasi ke mulut.
“Tak maulah. Aku tak makan hari ini,” jawab Siti.
“Kau tu, Siti, perlulah diet. Badan, dah macam kuih apam. Ramping sikit macam aku ni, baru vogue nyah!” perli Sem sambil bangun dan berpusing di hadapan Siti, persis seorang model terkenal.
Dewi hanya menahan gelak. Kelakar juga si Sem ni.
“Kau ni memang tau, mulut harus dicili sampai kembang,” bidas Siti sambil mencubit kuat tangan Sem. Ternganga-nganga lelaki itu menahan sakit.
Mereka bertiga berdekah bersama.
Dewi senang berkawan dengan Siti dan Sem. Dua-dua kepala gila-gila. Istilah lain, happy go lucky. Satu permulaan yang bagus bila dapat kawan yang baik dan jujur seperti mereka. Tidaklah Dewi terasa tersisih di dalam kelasnya sendiri. Sekurang-kurangnya dia sudah ada kawan yang sudi berkawan dengannya.
“Eh, apasal masa aku baru masuk kelas ni tadi, semua budak kelas ni senyap aje ek? Semua fokus pada papan hitam. Skema gila,” tanya Dewi selepas agak lama memendamkan kemusykilannya itu. |
|
|
|
|
|
|
|
“Kau, nyah, memang kurang asam jawa betul. Kau kata kita orang ni skema? Suka-suka skema jawapan kau aje perli kita orang ek?” Sem menujah-nujah jari telunjuk ke arah Dewi. Manakala tangan kiri mencekak pinggangnya dan kepalanya diteleng-telengkan. Kurang setuju dengan kenyataan Dewi.
“Bukan apa. Sepanjang aku melangkah dengan pengetua sekolah yang macam singa tu ke kelas ni tadi, aku rasa dah macam buat lawatan sambil belajar ke Zoo Negara. Masing-masing bersiul, macam nampak Miss World cat-walk kat karpet merah. Sampai kelas ni senyap pulak. Tu yang hairan tu,” sambung Dewi lagi, cuba mengubah persepsi Sem terhadapnya.
“Amboi, bajet kau tu Miss World ke? Kau ni kan, Dewi memang kuat berangan tau. Mulut kau pun boleh tahan jugak ek, tak ada insurans. Mulut laser lagi. Mak suka, nyah, dengan cara kau,” jelas Sem seolah memuji Dewi sambil membentuk-bentuk bibir.
“Biasalah, Dewi. 4 Mutiara ni kelas paling tinggi. Kelas untuk budak-budak pandai. Jadi, classmatenya pun mestilah berperangai mengikut kebijaksanaannya. Kelas hujung-hujung tu memanglah perangai macam kera di hutan. Suruh belajar tak nak. Layaklah masuk kelas tercorot,” jelas Siti pula, seolah merendahkan pelajar-pelajar yang kurang pandai daripadanya.
“Ya ke? Tak tahu pulak aku ini kelas budak pandai. Patutlah skema semacam aje,” perli Dewi lagi.
“Amboi mulut kau, harus dicili.” Sem bercekak pinggang lagi. Panas dengan statement Dewi tadi.
Terburai ketawa Dewi.
PETANG itu, selepas waktu sekolah, Dewi mengajak Siti ke rumahnya. Pak Mat, pemandu Dewi, setia menjemput dan menghantar Dewi pergi balik dari sekolah.
“Terima kasih, Pak Mat,” ucap Dewi selepas dia dan Siti melangkah keluar dari kereta BMW milik ibunya itu.
Siti terpaku melihat banglo yang tersergam di hadapannya itu. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke banglo ini. Sebelum ini dia tidak pernah pun ke banglo ini, hanya sekadar pernah mendengar cerita mengenai kewujudannya. Banglo yang kelihatan usang itu membuatkan hatinya seram.
“Siti, kenapa tercegat kat luar tu? Jomlah masuk,” ajak Dewi selepas melihat Siti masih terpaku melihat banglonya.
Siti tersentak. Teragak-agak dia melangkah menghampiri Dewi.
“Jom masuk,” pelawa Dewi.
Siti mengabaikan perasaannya lalu mengangguk perlahan. Dia terus melihat keadaan sekeliling banglo itu. Nampak usang. Cat pada dindingnya pun ada yang sudah terkopek-kopek. Ada juga bahagian dinding yang mula ditumbuhi lumut dan rumput menjalar. Dia tidak menyangka Dewi sanggup duduk di banglo usang begini.
“Argh!” Siti menjerit sekuat hati apabila sebaik menoleh sahaja ke hadapan terpacul wajah Mak We. Dia tidak tahu dari mana munculnya wanita tua itu.
“Siti, kenapa?” tanya Dewi cemas lalu melangkah mendapatkan Siti. Dia menghela nafas lega. “Ini Mak Welah, Siti. Pembantu rumah ni.”
Wajah Siti pucat, terkejut benar dengan kemunculan Mak We secara tiba-tiba. Mak We hanya tersengih sumbing lalu berlalu masuk ke dalam banglo usang itu semula.
“Kenapa ni, Siti? Terkejut dengan Mak We ke?” tanya Siti sambil meletak tangan di bahu Siti dari belakang.
“Dia mengejutkan aku tadi. Alih-alih muncul,” jawab Siti tersekat-sekat. Jantung berdegup laju ketika ini. Terasa seperti ingin pitam.
“Dahlah. Tak ada apa-apalah. Mak We tu memang macam tu. Pendiam sikit. Suka muncul di mana-mana. Tapi dia bukanlah hantu.” Dewi sekadar mengusik lalu membawa kawannya itu naik ke biliknya.
Sempat Mak We bertanya kepada Dewi, kalau dia ingin makan tengah hari. Dewi menjawab tidak, kerana dia sudah makan tengah hari bersama Siti di luar tadi. Dewi kemudiannya menjemput Siti masuk ke dalam biliknya. Sepertimana Dewi semalam, Siti juga mengalami situasi yang sama. Tertegun dengan keadaan bilik Dewi yang nyaman. Walaupun tingkap bilik tertutup rapat, tapi dia dapat rasa seolah-olah ada angin sepoi-sepoi bahasa bertiup ke seluruh ruang bilik itu.
“Kenapa? Kau terkejut dengan suasana bilik aku ni ke?” tanya Dewi cuba mengagak.
Siti tidak menjawab. Dia terus tertegun sambil melilau biji mata melihat keadaan bilik Dewi. Entah mengapa dia rasa tenang saja ketika berada di dalam bilik ini. “Bestnya bilik kau ni, Dewi. Rasa aman aje bila duduk dalam bilik ni.”
“You know what… Ada surprise lagi tau,” jelas Dewi gembira lalu menyelak langsir tingkap biliknya.
Cahaya matahari dari luar terus memenuhi seluruh ruang bilik itu. Biasan pencahayaan daripada cermin meja solek bersebelahan dengan katil Dewi menambahkan lagi keserian dan kecerahan cahaya di dalam bilik itu.
Siti menoleh ke arah cermin solek itu. Dia tertegun melihat kecantikan cermin itu. Dia melangkah menghampiri cermin itu. Dilihat ukiran pada bingkainya. Cukup indah sekali. Sehinggakan dia hilang kata-kata.
“Kenapa, Siti? Kau tertarik dengan cermin tu ke?” tanya Dewi, sudah boleh mengagak Siti pasti akan tertegun melihat kecantikan ukirannya.
“Cantiklah cermin ni. Nampak klasik. Cemburu aku dengan kau sebab kau ada cermin ini,” jelas Siti sambil memegang permukaan cermin. Ditatap wajahnya sendiri melalui cermin itu. Dia tersenyum kepada bayangannya sendiri.
Dewi menghempas tubuh di atas katil. Merehatkan tubuhnya yang terasa sedikit letih. Dilihatnya Siti asyik melihat cermin soleknya sambil membelek-belek mukanya di hadapan cermin itu.
“Eh, dah lama ke kau kenal Sem tu?” tanya Dewi, sekadar ingin tahu.
“Sejak sekolah rendah lagi. Kalau tak silap aku, sejak darjah empat,” jawab Siti ingat-ingat lupa.
“Dia tu memang mat lembut dari dulu ke?” tanya Dewi musykil.
“Masa di sekolah rendah dulu tak. Siap wakil sekolah lagi dalam bola sepak.” Berkobar-kobar Siti memuji Sem semasa di sekolah rendah dulu.
Memang dia tidak nafikan, semasa di sekolah rendah dulu, Sem memang aktif dalam sukan. Selain aktif dalam pasukan bola sepak, dia juga aktif dalam olahraga. Kalau tidak menang piala semasa sukan sekolah, jangan dipanggilnya Sem. Pemegang pingat emas untuk larian 100 meter tiga tahun berturut. Namun, selepas menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah, Sem mula lembap dalam sukan. Dia mula jadi seorang yang anti bersukan. Tapi kalau tengok atlet bersukan memang dia suka.
“Ya ke? Habis tu kenapa dia jadi lembut sekarang ni?” tanya Dewi masih musykil dengan jawapan Siti.
“Entah, aku ada tanya pada dia kenapa dia jadi semakin ‘sotong’ bila masuk sekolah menengah. Kau tahu dia jawab apa?”
“Apa?” Lekas sahaja Dewi bertanya, ingin tahu jawapan daripada Siti. Mesti jawapannya akan menggelikan hati.
“Dengan selamba dia cakap dengan aku, ‘Biasalah, nyah, mak dah mula datang bulan, sebab tu makin girl sekarang ni.’ Wek!” jawab Siti sambil mejolok jari telunjuk ke dalam mulut lalu duduk di hujung katil.
Seperti yang dijangka Dewi, jawapannya menggelikan hati. Terburai gelaknya, memenuhi ruang bilik.
“Kau ni asyik tanya pasal Sem aje ni, kenapa? Kau suka pada dia ek?” tanya Siti sekadar meneka-neka.
“Mana ada, aku tanya aje.”
“Kalau kau suka pada dia, apa salahnya. Cakap aje. Aku tahu dia handsome gila, kan? Ramai perempuan minat pada dia. Dia aje buat tak tahu. Kau tahu, sampai sekarang, dia masih terima surat-surat layang daripada peminat dia,” jelas Siti.
Dewi hanya tersenyum sambil melirik. |
|
|
|
|
|
|
|
2
HARI ini genap seminggu Dewi berada di sekolah barunya. Dia sudah tahu selok-belok sekolah barunya itu. Di mana makmal sains, di mana makmal kemahiran hidup, ada berapa tandas di sekolah ini dan nama-nama guru yang mengajar kelasnya. Semuanya dia sudah tahu. Selain itu kehadirannya di dalam kelas 3 Mutiara itu juga disenangi oleh semua pelajar, cuma ada beberapa pelajar sahaja yang kurang senang dengan kemunculannya.
“Hei, perempuan! Kau ni macam bagus aje ek masuk kelas ni. Budak-budak kelas lain kata kau berlagak. Betul ke?” Salina, salah seorang rakan sekelasnya tiba-tiba datang tanpa memberi salam, terus menyembur yang bukan-bukan.
Dewi yang sedang sibuk membuat laporan amali Sains buat-buat tidak dengar. Malas benar dia mahu melayan perangai Salina yang semenjak beberapa hari ini seolah tidak puas hati terhadapnya. Dewi bukan tidak mahu melawan. Dia malas. Dulu masa di sekolah lamanya, di bukannya tidak pernah dipanggil oleh pengetua sekolah kerana membelasah budak perempuan di dalam tandas. Semua itu dia sudah merasa, cuma dia bertekad selepas masuk sekolah baru ini dia ingin berubah. Berubah daripada perangai negatif sebelum ini.
“Kau tengok minah ni, aku cakap dengan dia, dia buat bodoh aje,” kata Salina kepada dua lagi kawan baiknya yang sama-sama menyimpan niat untuk membuli Dewi.
Salina merampas pen yang dipegang oleh Dewi. Dewi buat tidak tahu lalu mengambil pen lain dari bekas penselnya. Dia kembali menulis. Salina merampas lagi pen yang ada di tangannya. Dewi buat tidak tahu juga. Dilihat Siti di sebelahnya sedikit pun tidak mahu menolong. Cuak sungguh wajah Siti ketika ini. Mungkin dia takut dibuli sama agaknya, Dewi beranggapan.
Dewi menutup buku dan selamba duduk sambil merewangkan pandangan, mengulum bibir. Seolah-olah Salina dan rakan-rakannya di situ tidak wujud. Salina terus membuli Dewi dengan melontarkan kata-kata yang bukan-bukan. Dewi mula bosan dan tertekan, lalu bangun daripada duduknya. Salina terkejut. Takut Dewi tiba-tiba menyerangnya. Bersiap sedia dia memasang kekuda untuk mempertahankan diri. Dewi memandang Salina dengan senyuman sinis. Jelek rasa hatinya melihat minah kampung yang ingin berlagak seperti minah gengster sekolah itu.
Selepas berdengus halus, Dewi menjeling sinis kepada Salina dan rakannya lalu melangkah meninggalkan kelas itu untuk ke tandas. Semasa Dewi melintas hadapan Salina, Salina memacak tumit kakinya, menghalang langkah Dewi. Dewi tidak perasan lalu tersadung. Mukanya terkena bucu meja.
“Dewi!” jerit Siti selepas mendapati kawannya itu telah pun tersungkur di atas lantai sambil memegang dahi.
“Kau tak apa-apa ke, Dewi? Ya Allah, dahi kau berdarah,” jerit Siti lagi sambil memapah Dewi bangun lalu dibawa ke tempat duduknya.
Salina dan kawan-kawannya mentertawakan Dewi segalaknya.
“Hei, apa semua ni? Ya Allah… darah! Siapa yang buat kau macam ni, Dewi?” Bertubi-tubi Sem bertanya selepas pulangnya dari tandas. Cemas benar wajahnya.
Dewi masih lagi memegang dahinya yang berdarah. Siti pula hanya memandang benci kepada Salina dan rakan-rakannya yang terus galak mentertawakan Dewi yang dalam kesakitan. Segera Sem kembali ke mejanya untuk mengambil beberapa helai tisu. Kemudian dihulurkan kepada Dewi untuk mengelap darah yang mengalir di dahinya.
“Weh, Salina, kau buat apa pada Dewi ha?” tanya Sem tegas tapi lembut.
“Mana ada aku buat apa-apa? Dia yang jalan tak betul. Lepas tu jatuh. Jangan nak salahkan aku ek,” jawab Salina sambil membentuk-bentuk bibir, sengaja tidak mahu mengaku bersalah.
“Alah, girls, I bukan tak tahu you all ni. Minah buli. You all tak mengaku pun I tahu you all yang buat.” Jelak Sem dengan Salina dan rakan-rakannya. Bukan dia tidak tahu, sudah banyak kali dia terlihat Salina dan rakan-rakannya membuli budak junior di tandas. Mengugut agar diberi duit.
“Dah tahu tu, buat apa tanya lagi?”
“Benci kat you all!” bentak Sem lalu mendapatkan Dewi semula.
“Benci kat you all!” Salina mengajuk kata-kata Sem. Seraya itu mereka bertiga terburai mentertawakan gelagat Sem yang sedikit gedik.
“Tengok, gang, mat sotong bantu minah lembik,” kata Salina lagi lalu mereka bertiga menyambung gelak semula.
Dewi hanya menjeling sinis kepada Salina. Benci benar dia kepada Salina ketika ini. Ikutkan hati, ingin sahaja dia menghenyak muka Salina semahunya. Siti terus menenangkan Dewi agar bersabar. Sem pula tidak habis-habis risau dengan darah yang sudah berhenti mengalir di dahinya.
“SABAR ajelah, Dewi. Salina tu memang macam tu. Kaki buli,” jelas Siti sekadar ingin menenangkan Dewi.
Dewi tidak terus menjawab. Dahinya yang berplaster dipegang-pegang. Lukanya masih berdenyut. Perasaan marahnya dan bencinya kepada Salina masih membuak-buak. Ikutkan hati ingin sahaja dia melawan Salina tadi.
“Hey, you all… Tak pergi makan ke?” Tiba-tiba Sem muncul dari belakang.
“Kau ni, Sem, dah tak reti nak beri salam ke?” herdik Siti dalam nada berbisik. Dia tidak mahu suaranya mengganggu pelajar-pelajar lain yang ada di perpustakaan itu.
“Assalamualaikum.” Sem memberi salam. Dijawab oleh Siti dan Dewi dalam hati.
“You know, right… I’m on diet. Kenapa tanya lagi?” sambung Siti sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Okey, I lupa. Sorry. By the way, macam mana dengan luka di kepala kau tu, Dewi?” tanya Sem tiba-tiba menukar topik perbualan.
Dewi tidak terus menjawab. Dia mula perasan, ada seorang budak lelaki yang duduk di hadapan mejanya sedang memerhatikannya. Budak lelaki itu sedari tadi tersenyum-senyum kepadanya. Dia sendiri tidak tahu kenapa.
“Nyah, mak tanya kau, dah macam mak tanya patung Oscar aje.” Selepas melihat Dewi khusyuk melihat seseorang di belakangnya, Sem melarikan pandangan mengikut arah anak mata Dewi.
“Nyah, jantan tu namanya Andy. Dia tu boyfriend Salina,” jelas Sem seolah tahu apa yang tersirat di sebalik hati Dewi ketika ini.
“Handsome, kan? Budak ragbi yang menjadi kegilaan budak perempuan sekolah ni.” Siti pula mencelah.
“Really?” tanya Dewi sinis. Satu rancangan terangka dalam fikirannya ketika ini.
“Amboi, nyah, kau tengok aku sinis benar. Mesti kau simpan niat nak rampas Andy tu daripada Salina, kan? Nak balas dendam ke, nyah?” Sem meneka-neka.
“Wait and see,” jelas Dewi lalu bangun daripada duduknya dan melangkah menuju ke meja Andy.
“Kau nak buat apa, Dewi? Kau jangan nak buat kerja gila.” Siti cemas.
“Kau ingat aku nak buat apa? Aku tak akan buat apa-apa. Aku hanya akan buat budak lelaki tu suka pada aku secara sendirinya,” jelas Dewi yakin sambil mengarahkan pandangan ke arah Andy.
“Kau tak ada perasaan marah pada Salina ke? Dah buat dahi kau sampai berdarah-darah ni?” Sem mengubah topik perbualan. Malas benar dia ingin berbual mengenai budak lelaki yang bernama Andy itu. Lelaki perasan yang berlagak peria terhebat di sekolah ini.
“Mananya aku tak marah. Ikutkan hati, aku nak heret muka dia kat tengah jalan raya tu, biar hancur muka dia,” jawab Dewi. Sinis benar nada suaranya.
“Amboi, nyah. Kejam juga kau ni ek?” tempelak Sem.
Siti hanya tergelak.
“Aku gurau ajelah. Lantaklah si Salina tu. Aku sikit pun tak takut pada dia,” jelas Dewi selamba. |
|
|
|
|
|
|
|
Mereka bertiga meneruskan perbualan. Sepuluh minit kemudian loceng berbunyi, menandakan sudah tamat waktu rehat.
SAMPAI di rumah, Dewi terus menghempaskan tubuh di atas katil. Luka pada dahinya dipegang. Masih berdenyut-denyut. Dia bangun lalu melangkah ke cermin solek, melihat bekas luka itu.
“Bodoh punya Salina. Kau buli aku ya? Tengoklah, hari ni hari kau. Tak lama lagi kau pulak kena buli. Masa tu aku ketawakan kau aje.” Dewi bercakap sendirian. Melepaskan kemarahannya terhadap Salina di depan cermin kesayangannya.
Dewi menatap lagi wajahnya, dalam-dalam. Tiba-tiba, bayangannya seolah-olah tersenyum kepadanya. Sepantas kilat dia terganjak ke belakang. Selepas matanya berkelip, bayangannya pada cermin itu kembali seperti biasa. Jantungnya berdegup laju. Apa yang dilihatnya tadi seolah benar-benar berlaku. Dia melarikan pandangan ke arah barang-barang peribadinya yang ada di atas meja soleknya lalu kembali menatap bayangnya melalui cermin. Tiada apa-apa yang berlaku.
“Mungkin ilusi aku saja,” bisik Dewi sendirian, sekadar ingin menyedapkan hati. Dia mengeluh halus lalu mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik air.
Namun, bayangannya di dalam cermin itu masih tertinggal. Bayangannya itu sedang tertawa sinis ke arah Dewi yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik air di dalam bilik itu. Dewi langsung tidak menyedarinya dan beberapa saat kemudian bayang itu hilang.
Selesai mandi, Dewi melangkah keluar dari bilik air sambil mengeringkan rambutnya dengan menggunakan tuala. Dia menuju ke meja solek. Ditatap wajahnya di dalam cermin itu. Tiba-tiba dia terasa dingin, seolah ada angin bertiup perlahan dari arah belakang. Cepat-cepat dia menoleh. Bayangnya pada cermin tidak menoleh, sebaliknya tersenyum sinis ke arahnya.
Dewi kembali memandang wajahnya pada cermin, kehairanan. Angin apa yang bertiup tadi? Tiba-tiba dia terlihat langsir tingkap biliknya berkibar-kibar perlahan. Segera dia melangkah menuju ke arah tingkap bilik. Dikuak langsir. Tingkapnya terbuka. Angin dari luar berhembus perlahan ke muka. Terasa amat dingin sekali.
Dia kehairanan. Siapa pula yang membuka tingkap biliknya? Dia menoleh ke arah tombol pintu bilik. Berkunci. Takkanlah Mak We masuk sebentar tadi? Dewi bertanya sendirian. Mustahil. Sejak dia berpindah ke banglo ini, Mak We hanya sekali sahaja menjejak kaki ke bilik ini, pada hari pertama dia masuk ke bilik ini. Selepas itu Mak We tidak pernah masuk ke bilik ini lagi. Jika ingin memanggilnya di dalam bilik, Mak We hanya sekadar memanggilnya dari luar pintu bilik saja.
Dewi kembali ke arah tingkap biliknya tadi. Cuba mengabaikan perasaannya. Dia menutup daun tingkap bilik semula. Biliknya betul-betul menghadap ke arah bandar dan di sebelahnya pula pemandangan sebuah bukit. Indah pemandangannya.
Dewi kembali ke katil lalu menghempaskan tubuh ke atas katil. Merehat-rehatkan diri. Dia mencapai alat kawalan jauh mini hi-finya lalu ditekan butang play. Lagu Situ Sana Sini serta-merta memenuhi ruang bilik itu. Dia melayan perasaan, mengenangkan Andy. Terdetik satu perasaan di hati. Dia tersenyum sendirian.
JAM di tangan menunjukkan pukul 11.00 malam. Tetapi Andy dan Salina masih duduk melepak dengan kawan-kawan mereka di sebuah pusat membeli-belah yang kebanyakan kedainya sudah pun tutup.
“Andy, jom balik, dah lewat ni,” rayu Salina mula bimbang. Jika dia balik selepas pukul 12.00 malam, dia bakal dimarahi oleh ayahnya.
“Relakslah, sayang. Awal lagi. Kita balik kejap lagi ek?” pujuk Andy sambil menyedut baki rokoknya dalam-dalam lalu dihembuskan asapnya keluar dari mulut dan hidung. Berkepul-kepul asap berlegar-legar di ruang udara.
“Dah pukul 11.00 ni. I takut ayah I balik kerja awallah malam ni. Kalau kantoi, masak I kena belasah dengan ayah I,” rayu Salina.
“Kejap lagilah, sayang. Setengah jam lagi ek?” pujuk Andy sambil memeluk pinggang Salina.
Salina terpujuk dengan perlakuan Andy itu. Dia memang sayang sangat kepada Andy. Dia juga rasa bangga sebab dapat memiliki Andy yang digelar peria terhebat di sekolahnya. Ramai budak perempuan suka kepada Andy, termasuk junior-juniornya sendiri. Akhirnya, dia juga yang berjaya memiliki Andy. Kerana sayang, dia ikutkan sahaja kehendak Andy itu.
“Andy, I nak ke toilet kejap.” Salina meminta diri.
“I ikut boleh?” usik Andy sambil mencuit hidung Salina.
“Gatal,” dengus Salina manja sambil mencubit perlahan perut Andy lalu berlalu, meninggalkan Andy berborak bersama rakan-rakan mereka.
“Kau pernah nampak tak budak baru yang sekelas dengan Salina tu? Cun siot!” celah seorang lagi kawan Andy.
“Kenapa dengan dia?” tanya Andy. Tahu benar dia siapa budak perempuan yang dimaksudkan oleh kawannya itu. Sudah semestinya Dewi.
“Budak tu kalau jadi awek aku, gerenti aku setia dengan dia sampai mati,” jawab kawannya tadi.
“Ah, sudahlah kau, Helmi. Awek keliling pinggang ada hati nak setia,” tempelak Andy.
Mereka yang ada di situ terbahak-bahak mentertawakan Helmi.
Selesai membuang air, Salina melangkah ke singki. Dicuci tangannya. Sambil itu dia membelek-belek wajahnya di cermin. Tiba-tiba ada bayangan hitam melintas di belakangnya. Salina terkejut. Hatinya berdebar-debar. Cemas. Dia memberanikan diri untuk menoleh ke belakang.
Kosong, tiada apa-apa di belakangnya. Hanya kedengaran bunyi air mengisi tangki pengepam tandas sahaja. Salina kembali menghadap cermin. Dipusing kepala pili, berhenti air itu daripada mengalir. Dilibas-libas tangannya perlahan-lahan, untuk mengeringkannya. Dia kembali menatap wajahnya pada cermin.
“Argh!!!” Salina menjerit lalu menutup mata dengan tangan. Wajah seorang perempuan yang sedang tersengih tiba-tiba muncul di hadapan cermin. Dia ketakutan. Mata masih ditutup. Agak lama kemudian, dia beranikan diri untuk membuka kelopak matanya semula. Bayangan wanita tadi hilang. Lekas-lekas dia melangkah keluar meninggalkan tandas itu.
“Andy, jomlah balik. I takut,” rayu Salina sekembalinya dari tandas. Cemas benar wajahnya.
Andy kehairanan melihat keadaan Salina itu.
“Jomlah balik, Andy. Cepat!” Beria Salina merayu. Tangannya kuat memegang lengan Andy.
“Kenapa ni, Salina? Kalau ya pun, sabarlah sekejap. I nak pakai jaket I dulu. You ni macam takut semacam aje, kenapa? You baru nampak hantu tandas ke kat toilet tadi?” Andy sekadar mengusik.
Kawan-kawan Andy yang lain hanya tersengih melihat keadaan Salina yang pucat lesi itu.
Andy menghidupkan enjin motosikalnya. Selepas memakaikan Salina topi keledar, Salina diarah naik ke atas motosikal. Terasa tangan Salina terketar-ketar memegang pinggangnya.
“You ni kenapa, Salina?” tanya Andy agak risau melihatkan keadaan Salina itu. Tangan Salina sejuk tiba-tiba.
“Hantar I balik cepat, I nak balik. Please… please…” rayu Salina ketakutan. Apa yang dia lihat di tandas tadi seolah sedang mengekorinya dari belakang.
Andy mula menunggang motosikal. Salina memeluk pinggang Andy sekuat yang boleh. Dia dapat rasakan wanita yang dilihat di cermin tandas tadi seolah sedang berterbangan mengekorinya dari belakang. Dia menutup mata. Tidak mahu melihat apa yang bakal dilihat. Apa yang ada di mindanya ketika ini, dia ingin cepat sampai ke rumah.
Andy memecut motosikal selaju yang dia suka.
Salina sudah tidak menghiraukan keadaan itu. Selalunya jika Andy menunggang laju, pasti dia akan membebel di belakang. Menyuruh Andy memperlahankan motosikal. Tetapi hari ini, dia sendiri tidak tahu mengapa, dia merasakan perjalanannya ke rumahnya terlalu jauh. Jarak dari pusat membeli-belah tadi ke rumahnya hanya memakan masa sepuluh minit sahaja. Tapi dia rasakan seolah sepuluh jam.
Kedinginan malam seolah tidak dapat menyejukkan tubuh Salina. Perasaan cemas membuatkan tubuh badannya terasa panas. Peluh sudah membasahi tubuh. Bulu roma tengkuk meremang. Dia merasakan seolah wanita yang dilihat di cermin tandas tadi sudah menghampirinya. Terlalu hampir sangat.
Andy terus memecut laju. Keadaan jalan raya sudah mula lengang. Sedang asyik dengan pemanduannya, tiba-tiba muncul kelibat seorang wanita, berdiri betul-betul di tengah jalan. Andy mengelak. Motosikalnya tidak dapat dikawal lagi. Meluncur laju tanpa hala tujuan. Andy menekan brek. Serta-merta motosikal terseret ke depan. Salina di belakangnya masih memeluknya.
Sesaat kemudian dia terhumban ke bahu jalan. Salina sudah pun tertiarap di tengah jalan. Topi keledarnya entah ke mana. Pandangannya kabur… gelap! |
|
|
|
|
|
|
|
Wow cite baru nih... best muzri... rajin2 lah sambung banyak2 pun tak pe...;););) |
|
|
|
|
|
|
|
uisshhhh seramnyeeee.. meremang bulu roma ku........... |
|
|
|
|
|
|
|
serammnya... |
|
|
|
|
|
|
|
3
SATU sekolah heboh. Salina ditimpa kemalangan teruk malam tadi. Akibat kecederaan teruk di muka, dia terpaksa dimasukkan ke ICU dan masih tidak sedarkan diri. Kecederaan di mukanya dikhabarkan serius akibat terseret pada permukaan jalan. Walau bagaimanapun, Andy sebagai pembonceng motosikal tidak pula mengalami kecederaan yang serius. Sekadar cedera ringan sahaja.
Dewi masih terkejut dengan perkhabaran yang didengar daripada rakan sekelasnya pagi tadi. Pelbagai cerita mengenai kemalangan yang menimpa Salina malam tadi terus diperbahaskan. Ada khabar yang mengatakan ia balasan akibat Salina sering membuli pelajar junior. Ada yang kata balasan sebab buat maksiat dengan Andy dan macam-macam lagi spekulasi yang bukan-bukan.
Wajah Dewi pucat. Dia tidak menyangka, apa yang dikatakan kepada Siti dan Sem semalam di perpustakaan seolah benar-benar terjadi. Di kegelisahan. Tidak tahu bagaimana ingin menggambarkan perasaannya ketika ini. Tidak semena-mena dia berasa bersalah pula kepada Salina.
“Nyah, kau dengar tak berita tergempar tu?” Tiba-tiba Sem menyapa.
Dewi terkejut. Wajahnya pucat.
“Kau kenapa, Dewi? Pucat semacam aje?” tanya Sem hairan.
Siti yang duduk di sebelah Dewi menoleh ke arah Dewi. Bimbang melihat wajah Dewi pucat lesi tidak semena-mena.
“Aku… aku tak ada apa-apa. Aku okey,” jawab Dewi tersekat-sekat.
“Tak sangka, kan? Apa yang kau cakapkan semalam seolah jadi kenyataan.” Sem tersenyum sambil melirik Siti.
“Ha’ah, Dewi. Semalam kau kata kau rasa macam nak aje heret muka dia kat tar jalan, kan? Malam tadi jugak Tuhan bayar dia, atas kejahatan dia membuli kau semalam. Dekat dunia dah dapat balasan dulu,” kata Siti beria. Benci benar kepada Salina.
Dewi tidak menjawab apa-apa. Mukanya masih pucat. Perasaannya masih di awang-awangan. Berita kemalangan Salina tadi masih terngiang-ngiang.
“Kau ni kenapa, Dewi? Gelisah semacam aje?’ Sem risau. Dewi tidak menjawab. Dia terus berlari menuju ke tandas. Sem dan Siti terpinga-pinga melihat keadaan kawan baik mereka itu. Sedari tadi kelihatan gelisah. Wajahnya pula pucat lesi.
Di dalam tandas, Dewi terus menatap wajahnya di cermin. Apa yang menimpa Salina buat dia kesal.
“Kenapa ni, Dewi?” tanya Siti yang tiba-tiba muncul.
Dewi terus memeluk kawan baiknya itu. Dia menyesal kerana melepaskan kata-kata yang tidak sepatutnya semalam. Dia rasa betul-betul bersalah.
“Menyesal aku kata yang bukan-bukan pasal Salina semalam. Hari ni, apa yang aku kata berlaku betul-betul,” luah Dewi sedih dan mula menangis.
“Jangan mengarutlah, Dewi. Apa yang terjadi ni secara kebetulan aje,” pujuk Siti sambil mengusap belakang Dewi.
Dewi diam. Memikirkan kembali kata-kata kawan baiknya itu. Mungkin apa yang berlaku kepada Salina adalah secara kebetulan sahaja. Bukan kerana kata-katanya. Dia cuba mengabaikan perasaannya itu.
ANDY dan Helmi duduk melepak di koridor kelas mereka sambil berborak kosong. Kelasnya betul-betul berhadapan dengan tandas pelajar perempuan. Memang sudah menjadi kebiasaannya, mereka berdua melepak di koridor tingkat dua bangunan Blok B itu sementara menunggu cikgu yang mengajar subjek seterusnya masuk.
“Macam mana dengan keadaan Salina?” tanya Helmi.
Andy tidak terus menjawab. Dia yang hanya mengalami cedera ringan di dahi, hanya mengeluh halus. Dia tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaannya ketika ini. Apa yang dilihatnya malam tadi sangat aneh. Termasuk Helmi, sudah hampir 30 orang menanyakan soalan yang sama sejak pagi tadi.
“Entahlah. Lepas aku call ambulans malam tadi, aku tak jenguk pun lagi dia di hospital. Sempat jugaklah aku tengok muka dia di tempat kejadian malam tadi. Berlumur darah. Sampai aku tak nampak wajah dia yang sebenar,” jawab Andy dengar tidak dengar. Apabila teringat kembali peristiwa malam tadi, tiba-tiba hatinya dan nalurinya seolah dicengkam ketakutan dan seram.
“Macam manalah kau boleh accident? Kau kan peria terhebat dalam sukan dan menunggang motosikal? Macam mana mat rempit macam kau ni boleh jatuh motosikal ek?” tanya Helmi bertujuan mengusik kawannya itu sambil meletak tangan di bahu Andy.
Andy menepis tangan Helmi. Tidak selesa. Dia sendiri sangsi untuk menceritakan hal yang sebenarnya dan apa yang telah dialami malam tadi. Takut ceritanya bakal tidak dipercayai oleh Helmi. Takut dia digelakkan oleh Helmi. Hatinya runsing bukan kepalang. Tidak tahu kepada siapa harus dia ceritakan apa yang telah dialami malam tadi.
“Aku cuba mengelak sesuatu,” jawab Andy acuh tidak acuh. Dia berharap agar Helmi tidak bertanya lanjut.
Helmi berkerut dahi. Pelik dengan jawapan Andy. Dia merenung wajah Andy dalam-dalam. Cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh Andy melalui raut wajahnya.
“Mengelak sesuatu? Apa yang kau cuba elak?” Terluah juga apa yang terbuku di hati Helmi.
Andy mengeluh halus. Dia sudah mengagak, Helmi pasti akan bertanya lagi. Dia bingung. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Takut dirinya digelar tidak betul. Terpengaruh dengan filem seram. Ya, Andy memang peminat filem seram. Tapi, dia tidak menyangka kejadian ini menimpa dirinya. Ini kali pertama dia mengalami situasi sebegini.
“Bendalah.” Andy cuba berdalih. Tidak mahu menjawab soalan Helmi secara terperinci.
“Aku tahulah. Benda apa? Pokok ke… lembu ke… anjing hutan ke… hantu ke?” seloroh Helmi masih tidak puas hati dengan jawapan Andy.
Andy kegelisahan. Tiba-tiba badannya rasa panas. Peluh jantan mula berketul halus di dahi. Kejadian malam tadi benar-benar menyeramkan dan menakutkannya. Sebelum ini dia sendiri mengaku tidak percaya pada hantu. Namun, selepas kejadian malam tadi, tiba-tiba persepsinya berubah.
“Entahlah, aku tak nampak benda apa malam tadi. Yang aku tahu aku mengelak orang yang tengah berdiri kat tengah jalan,” jawab Andy jujur dalam cemas. Dia juga risau jika Helmi mentertawakannya.
Helmi kehairanan. Cepat dia menangkap pandangan ke wajah Andy yang kelihatan serba salah dan serba tidak kena. Jawapan Andy mencurigakan.
“Berdiri kat tengah jalan? Malam-malam buta? Kau pasti ke itu orang?” tanya Helmi hairan.
“Yalah, aku nampak benda tu orang. Seorang perempuan,” jawab Andy yakin apabila melihat Helmi seolah-olah tidak boleh menerima ceritanya.
“Cantik tak?” tanya Helmi serius.
Andy menjeling Helmi sinis. Benci benar dia melihat muka Helmi ketika ini. Ikutkan hati, ingin sahaja dilayangkan penumbuk ke muka Helmi. Dia tahu, Helmi tidak mempercayai ceritanya dan akan mentertawakannya sebentar lagi.
“Dahlah! Malas aku nak cakap dengan kau,” bentak Andy lalu melangkah masuk ke dalam kelas. Bengang betul dia dengan Helmi kerana cuba memperlekehkan ceritanya.
Dia menoleh ke arah Helmi sekilas. Terkekek-kekek kawannya itu mentertawakannya.
PELAJAR 4 Mutiara berpusu-pusu melangkah keluar dari kelas. Loceng yang menandakan tamatnya waktu persekolahan untuk hari ini baru sahaja berbunyi seminit yang lalu. Siti yang berada di sebelah Dewi masih menyusun buku-bukunya ke dalam beg dengan lambat-lambat.
Dewi pula seolah tiada semangat untuk pulang ke rumah. Dia masih dalam perasaan serba salah atas apa yang menimpa Salina. Tiba-tiba telefon bimbit Dewi bergetar. Lama telefon bimbitnya bergetar, barulah dia perasan. Dilihat pada skrin telefon bimbitnya. Nombor telefon pemandunya tertera. Lekas-lekas dia menekan butang accept. |
|
|
|
|
|
|
|
“Assalamualaikum.” Dewi memulakan bicara.
“Cik Dewi ke?”
“Ha’ah.”
“Pak Mat nak minta maaf sebab mungkin Pak Mat datang jemput Cik Dewi lambat sikit. Kereta ada masalah. Pak Mat di bengkel ni,” pohon Pak Mat. Sayup-sayup sahaja suaranya dari sebelah sana.
“Oh, ya ke, Pak Mat? Kalau macam tu, tak apalah, Pak Mat. Dewi boleh balik naik teksi aje,” jelas Dewi, malas untuk menunggu. Baginya, penantian itu satu penyeksaan.
“Tak apa ke?”
“Tak apa.”
“Maaf sekali lagi ya, Cik Dewi.”
Panggilan ditamatkan. Dewi mengeluh.
“Kenapa, Dewi? Macam bosan aje muka kau?” tanya Siti sambil menyandang beg pada bahu.
“Pak Mat tak dapat jemput aku,” jawab Dewi hampa.
“Dah tu, kau balik macam mana?”
“Naik teksi kut.” Dewi tidak yakin dengan jawapannya. Dia memang tidak tahu di mana dia boleh mendapatkan teksi di kawasan ini. Semenjak dia berpindah ke sekolah barunya ini, yang terletak di sebuah pekan, jarang dia melihat teksi lalu-lalang di kawasan pekan kecil ini.
“Teksi? Berjamlah kau menunggu kat bus stop nanti,” jelas Siti sambil tergelak kecil.
“Kenapa?”
“Kat pekan ni jarang ada teksi. Kalau ada pun kadang-kadang. Itu pun tengok nasiblah,” jawab Siti yakin.
“Dah tu, ada bas ke, nak ke rumah aku tu?” Dewi mula risau. Jika tiada bas, terpaksalah dia menunggu kereta siap dibaiki lalu menyuruh Pak Mat datang menjemputnya. Dia sendiri tidak tahu bila kereta itu boleh siap dibaiki.
“Bas banyaklah. Tapi kalau bas untuk ke rumah kau tak adalah. Bas cuma hantar sampai depan kampung aje. Lepas tu kau kenalah menapak sendiri masuk ke rumah kau tu,” jawab Siti panjang lebar.
“Macam mana ek?” Dewi mengeluh. Malang sungguh nasibnya hari ini.
“Kau tunggu aje teksi kat bus stop depan sekolah tu. Manalah tahu rezeki kau hari ini. Ada teksi lalu kat situ,” jelas Siti sambil menghalakan muka ke depan sekolah. Sengaja mahu buat hati Dewi tenang.
“Kau balik naik apa, Siti?” Giliran Dewi pula bertanya.
“Naik bas.”
“Kita tunggu di bus stop sama-sama ek, Siti?” pinta Dewi.
Siti bersetuju. Tetapi dia hanya boleh menemankan Dewi selagi bas yang ingin dia naiki belum tiba. Selepas itu, dia terpaksa meninggalkan Dewi.
Keadaan perhentian bas agak sesak dengan pelajar-pelajar yang masih menunggu bas. Dewi dan Siti mengeluh lalu berdiri di belakang palang yang ada di perhentian bas itu. Mata masing-masing tertumpu ke jalan dari arah bandar. Keadaan jalan di hadapan mereka ketika ini agak sesak. Maklumlah, waktu pulang dari sekolah. Banyak kenderaan ibu bapa pelajar yang turut memarkir di tepi jalan kawasan itu untuk menjemput anak masing-masing.
Dari jauh sudah kelihatan bayang bas yang ditunggu-tunggu oleh Siti dan pelajar-pelajar lain di situ. Ada beberapa orang pelajar sudah mula berdiri dan bersiap-siap untuk menaiki bas tersebut.
“Okeylah, Dewi. Bas aku dah sampailah. Aku balik dulu ek?” Siti bersalaman dengan Dewi, pipi bertemu pipi.
“Alah… nampaknya tinggal aku sorang ajelah ek,” rungut Dewi.
“Tak apa. Aku doakan kau cepat dapat teksi ek.”
“Thanks.”
“Jaga diri tau. Kalau ada orang yang kau tak kenal kacau kau, kau call polis tau. Jangan telefon bomba pulak.” Sempat Siti mengusik sebelum melangkah naik ke atas bas.
Selepas melambai kepada Dewi, bas pun berlalu meninggalkan Dewi sendirian di perhentian bas itu.
Dewi melangkah untuk duduk pada palang besi yang dijadikan sebagai tempat duduk di perhentian bas itu. Dia mengeluh halus. Matanya sekejap-sekejap menangkap jalan. Menanti teksi untuk melalui jalan itu. Dari jauh Dewi terlihat sekumpulan pelajar lelaki sedang menunggang motosikal. Dia buat tidak tahu.
Bila kumpulan pelajar itu melintasi perhentian bas itu, salah seorang daripada mereka terpandang akan kewujudan Dewi di situ. Dalam beberapa saat kemudian, kumpulan pelajar lelaki itu membuat pusingan U suka-suka mereka sahaja. Mujurlah kenderaan yang melalui jalan itu ketika ini tidak banyak. Jika tidak, pasti berlaku kemalangan yang tidak dijangka.
“Hai, cik adik, sorang aje ke?” tegur salah seorang daripada mereka selepas memberhentikan motosikal kapcainya di hadapan Dewi.
Dewi buat-buat tidak tahu. Malas benar dia ingin melayan mat-mat rempit yang sekolah belum habis ini. Kerek gila. SPM pun belum lepas, ada hati nak mengurat anak dara orang. Misai belum tubuh lagi, sudah pandai nak menggatal.
“Amboi, sombongnya cik adik ni.” Budak lelaki tadi terus mengusik.
Dewi masih buat-buat tidak nampak akan kewujudan empat budak lelaki bermotosikal yang sedang cuba menjual minyak di hadapannya. Benci benar perasaan Dewi ketika ini. Ikutkan hati, ingin sahaja dia menapak, jalan kaki ke rumah.
Budak lelaki tadi turun dari motosikal. Dewi mulai cemas. Takut budak lelaki tadi buat perkara yang bukan-bukan kepadanya. Budak lelaki itu duduk di sebelah Dewi. Dewi mengengsotkan punggung, menjauh. Jelingan sinis menerkam pandangan budak lelaki itu.
“Hai, saya Aliff. Nama awak siapa?” Budak lelaki itu memperkenalkan diri lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Dewi hanya mendengus halus dan menjeling benci kepada Aliff. Kalau dia punya kuasa sakti seperti Catwoman, sudah pasti dia akan mencakar-cakar wajah budak lelaki yang berlagak poyo ala jantan termaco ini.
“Amboi, sombongnya.” Galak Aliff mengusik sambil mencuit-cuit bahu Dewi. Kawan-kawannya yang lain hanya tersengih di atas motosikal.
“Hisy, apa ni?” Tepis Dewi. Dia dapat mengagak, pasti Aliff ini ketua mereka. Sebab itu yang lain tidak berani mengacau sama
Aliff terus mengusik dan mentertawakan Dewi. Semakin Dewi melawan, semakin galak Aliff dan kawan-kawannya mengusik Dewi. Ikutkan hati Dewi, ingin sahaja dia humban setiap seorang ke dalam tasik. Biar lemas terus!
“Woi!” Aliff dan rakannya berhenti daripada terus mengusik Dewi. Masing-masing tertumpu kepada suara itu.
“Kau orang ni budak tingkatan berapa ek?” tanya suara tadi.
Aliff dan rakan-rakanya tiba-tiba cemas. Nampak sangat masing-masing tengah kecut perut bila berhadapan dengan tuan punya suara tadi.
“Baik kau orang berhambus. Kau orang budak form two, kan? Baru form two dah nak tunjuk samseng ek?” tengking suara itu lagi.
Kelam-kabut Aliff dan kawan-kawannya mendapatkan motosikal masing-masing. Bila tuan punya suara tadi melangkah menghampiri, lekas-lekas mereka memecut motosikal masing-masing dengan laju. Macam lipas kudung.
“Awak tak apa-apa?” tanya tuan punya suara tadi.
Dewi hanya tersenyum sambil membetul-betulkan bajunya yang ditarik-tarik oleh Aliff dan kawan-kawannya tadi.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih sebab halau budak poyo tu,” ucap Dewi tersipu-sipu.
“Andy.” Tuan punya suara tadi memperkenalkan diri.
“Dewi, kan?” Andy sengaja menyoal. Hakikatnya dia memang sudah tahu nama Dewi sebelum ini.
“Mana tahu nama saya?” tanya Dewi hairan sambil menyambut salam Andy.
Andy hanya tersenyum. “Nak ke mana ni?”
“Nak balik.”
“Rumah kat mana?”
“Banglo yang kat tepi bukit tu,” jawab Dewi Sambil mengarah telunjuk ke arah bukit yang agak jauh di hadapan.
“Mehlah saya hantar awak dengan motor saya,” pelawa Andy.
Dewi gagap.
“Mehlah, saya bukan budak jahat.” Andy menggesa.
Dewi serba salah. |
|
|
|
|
|
|
|
4
ANDY memasuki pekarangan banglo lama itu. Dia memberhentikan motosikalnya betul-betul di hadapan anjung. Dewi menyuruh Andy menghantarnya sampai di hadapan pintu pagar luar rumahnya sahaja. Tapi Andy berdegil mahu menghantarnya sehingga ke dalam.
Dewi melangkah turun dari motor Andy. Di cuba membuka tali topi keledar yang masih tersarung di kepala. Tapi tidak berjaya. Terkial-kial dia membukanya. Semakin dia cuba untuk membuka, semakin ketat pula tali topi keledar itu.
“Sini saya bukakan,” pinta Andy.
Dewi menghampiri Andy yang masih di atas motosikal. Andy melonggarkan tali topi keledar Dewi lalu membukanya.
“Thanks sebab hantar saya ek?” ucap Dewi sambil membetul-betulkan rambutnya.
Andy hanya tersenyum. Dilihat keadaan banglo yang didiami oleh Dewi. Dia hairan, bagaimana Dewi boleh mendiami banglo seusang ini.
“Awak tinggal di banglo ni?” tanya Andy seolah tidak percaya.
“Ha’ah, kenapa?”
“Tak ada apa-apa, saja tanya.”
Diam.
“Okeylah, awak, saya minta diri dulu. Lain kali kalau awak nak balik bagi tahulah saya. Mungkin saya boleh hantar,” pelawa Andy lagi.
“Oh, thanks. Hari ni aje kot, sebab kereta pemandu saya rosak, sebab tu pemandu saya tak dapat nak datang jemput. Kalau tak, saya tak tunggu teksi tadi,” jawab Dewi tersekat-sekat. Gagau benar bila bertentangan mata dengan Andy.
Andy akur. Dia mencapai sesuatu dari dalam poket seluarnya, dikeluarkan secebis kertas dan pen.
“Awak ada handphone?” tanya Andy.
Dewi hairan. “Kenapa?”
“Baleh saya minta nombor awak?”
Awalnya Dewi serba salah untuk memberi nombor telefon bimbitnya. Takut benar jika nombor telefon bimbitnya bakal dijaja. Tapi apabila dipujuk oleh Andy, bahawa dia tidak berniat jahat, tapi hanya sekadar ingin berkenal-kenalan sahaja, akhirnya diberi juga.
“Nanti saya call awak ek?” kata Andy sambil menekan gear satu lalu motosikalnya mula meluncur meninggalkan pekarangan banglo itu.
Dewi tersenyum sendiri. Dia tidak tahu apa yang membuat jantungnya berdebar-debar seolah nak tercabut ketika ini. Selepas beberapa saat melayan perasaannya, sehingga kelibat Andy hilang daripada pandangan dia melangkah masuk ke dalam banglo. Sesampai di dalam bilik, Dewi terus menghempaskan tubuh di atas tilam. Hatinya terasa sangat bahagia. Berbunga. Tidak tahu kenapa. Seolah ada sesuatu yang menggembirakannya. Wajah Andy sedari tadi memenuhi ruang minda. Dia tersenyum sendirian.
Entah mengapa, kebaikan Andy menolongnya menghalau budak nakal di pondok bas tadi membuatkan hatinya bangga. Renungan Andy membuatkan sukmanya bahagia. Kegarauan suara Andy membuatkan jiwanya berdetak dan menggetarkan satu rasa yang belum pernah dirasai. Tanpa sedar niat asalnya mempermainkan perasaan Andy untuk membalas perbuatan Salina sebelum ini hilang begitu sahaja. Yang ada hanyalah rasa rindu yang mula menggamit jiwa.
Dia bangun, melangkah ke meja solek. Ditatap wajahnya di cermin sepuas-puasnya. Tersenyum gembira persis seseorang yang dilanda gila bayang. Dia menyikat rambutnya. Dilepaskan rambut lalu ia beralun mengikut rentak kepala. Disikat rambutnya perlahan-lahan sambil menatap penuh wajahnya di cermin. Tiba-tiba dia teringatkan wajah-wajah lelaki yang membulinya di perhentian bas tadi. Benci benar dia dengan Aliff dan rakan-rakannya. Wajah benci tiba-tiba terukir.
Dewi merenung wajahnya sendiri pada cermin. Perasaan marahnya kepada Aliff dan rakan-rakan seolah membuak-buak. Seolah ada satu perasaan yang wujud, menambahkan lagi nyalaan marahnya. Tiba-tiba, bayangannya sendiri tertawa sinis dari dalam cermin.
Dewi terkejut. Terganjak badannya sedikit ke belakang. Selepas mata berkelip, bayangan itu hilang. Kembali seperti biasa. Tiba-tiba dia merasakan seolah ada sesuatu sedang memandangnya. Dewi memandang sekeliling ruang bilik, cuba mencari kehadiran sesuatu yang dapat dirasa. Sunyi dan senyap. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Semasa Dewi sedang melilaukan bola matanya ke seluruh sudut bilik, bayangnya pada cermin hanya memandangnya sambil tertawa sinis.
Dewi kembali menoleh, menghadap bayangnya.
“Argh!!!” Dewi menjerit sekuat hati. Terkejut apabila melihat bayangnya sendiri tersengih memandangnya. Tangannya secara automatik menutup mata. Takut untuk melihat bayangannya sendiri.
Sudahnya Dewi membuka matanya perlahan-lahan. Dilihat bayang pada cermin soleknya, seperti biasa. Wajah sinis tadi sudah tiada. Hatinya cemas. Jantungnya berdegup pantas. Apakah yang dia lihat tadi? Bayangannya tersengih kepadanya? Dia mula tidak tentu arah. Mungkin ilusinya sahaja. Dia cuba berfikiran positif. Dia berpaling dari cermin lalu mencapai tuala di penyidai.
Bayangnya tertinggal. Bayangannya di cermin memandang sinis kepada Dewi, tanpa Dewi sedari.
Dewi melangkah masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri. Semasa ingin menguak daun pintu bilik air, dia terasa seperti ada angin di belakangnya. Seolah-olah ada sesuatu melintasi belakangnya. Segera dia menoleh ke belakang. Tiada apa-apa. Dia pandang ke arah tingkap, tertutup rapat. Langsir tidak bergerak. Dia musykil. Beberapa saat kemudian, dia melangkah masuk ke dalam bilik air, tidak menghiraukan perasaannya tadi.
Beberapa minit kemudian.
Dewi melangkah keluar dari bilik air, dia merasakan biliknya nyaman sekali. Sejuk. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup-tiup halus. Terasa kedinginan menyentuh kulit. Dewi kehairanan. Dari mana datangnya angin ini? Dia menoleh ke tingkap biliknya. Dia terkejut.
Tingkap biliknya terbuka!
ALIFF dan rakannya duduk sekumpulan di sebuah taman permainan. Mereka sedang menunggu seseorang. Dia perlu menuntut upahnya selepas kerja yang diberi selesai dilaksanakan.
“Poyolah mamat tadi tu,” kata salah seorang kawan Aliff yang berbadan gempal.
“Tulah, berlagak macam hero dalam cerita Hindustan pulak,” jawab Aliff sambil menyedut rokoknya dalam-dalam.
Mereka semua baru berusia 14 tahun, tetapi merokok mengalahkan orang dewasa. Satu hari mesti habis sekotak. Mereka hisap rokok sembunyi-sembunyi, tidak diketahui oleh ibu bapa. Jika ibu bapa mereka tahu, mahu kena rotan atau dikejar keliling kampung.
“Cun jugak minah tu tadi ek,” kata seorang lagi kawan Aliff yang berbadan kurus kerempeng.
“Tulah, kalau jadi awek aku pun, okey jugak, kan?”
“Ah, sudahlah kau. Muka macam tenuk tertelan jering, ada hati nak kat budak perempuan tu.” Semua yang ada di situ mentertawakan Aliff.
“Kurang asam jawa kau orang. Gelakkanlah aku. Sekor-sekor aku seligi karang,” bentak Aliff seolah mengugut.
Dari jauh dia ternampak kelibat Andy menunggang motosikal ke arah mereka. Cepat sahaja Aliff turun dari motosikal sebaik Andy sampai ke kawasan mereka.
“Weh, ini habuan kau orang,” jelas Andy sambil menghulurkan sekeping not RM50 ringgit.
“Thanks, bro. Kalau ada kerja-kerja sampingan untuk kita orang buli budak perempuan lagi, panggillah ek. Kita orang akan berkhidmat untuk bro,” jelas Aliff sambil meletakkan tangan di bahu Andy yang masih di atas motosikal.
Cepat Andy menepis tangan Aliff. Dia memang tidak suka orang meletak tangan di bahunya.
“Aku harap apa yang kita buat ni jadi rahsia kita okey? Jangan sampai aku dengar cerita ni tersebar. Sekor-sekor aku cari tau.” Andy memberi amaran keras sambil memandang seorang demi seorang konco-konco Aliff. Dia tidak mahu rancangannya diketahui sesiapa. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang dia telah mengupah Aliff dan rakan untuk mengusik Dewi, bertujuan untuk merapati Dewi.
Aliff dan rakan-rakannya mengangguk tanda faham.
Andy berlalu meninggalkan Aliff dan rakan-rakannya.
SELESAI sahaja Dewi solat maghrib, dia terus melangkah turun, menuju ke ruang makan. Perutnya sudah lapar. Dapat dilihat di atas meja, sudah terhidang lauk-pauk untuk makan malam. Sempat dia menjengah ke luar rumah sebelum melangkah ke meja makan.
“Mak We, ibu belum balik ke?” tanya Dewi sambil meletak telefon bimbitnya di atas meja lalu menarik kerusi dan kemudian duduk.
“Balum lagi, Cik Dewi. Mungkin kejap lagi puan baliklah,” jawab Mak We sekadar mengagak-agak.
Dewi mengeluh halus. Hampir setiap hari dia terpaksa makan malam sendirian. Ibunya sering balik lewat malam. Esoknya, awal-awal pagi lagi sudah ke pejabat. Kadangkala tidak sempat untuk bersarapan dengan ibunya. Nak berborak dan bermanja dengan ibunya juga bukan main susah lagi dek dibatasi kesibukannya.
Memandangkan lokasi banglo ini agak jauh dan terpencil, ayahnya tidak pernah lagi melawatnya semenjak berpindah ke banglo yang dianggap usang ini. Sampai sekarang dia masih musykil, mengapa ibunya sanggup membeli banglo usang ini.
“Mak We, marilah makan sekali dengan Dewi. Bosanlah makan sorang-sorang. Ajak Pak Mat sekali,” pelawa Dewi. |
|
|
|
|
|
|
|
“Tak apalah, Cik Dewi. Mak We ada banyak kerja lagi di dapur tu. Pak Mat pun baru aje sampai dari bangkel, penat lagi tu,” jawab Mak We. Dia memang terasa janggal untuk duduk makan bersama dengan Dewi satu meja. Padanya, majikan dan pekerja tidak layak untuk duduk satu meja.
Walhal, Dewi tidak pernah fikirkan begitu. Pada Dewi, manusia semuanya sama darjatnya di sisi Allah, tidak perlu dibeza-dibezakan. Dewi akur dan hanya menjamah makan malamnya sendirian. Itulah rutin makan malamnya setiap hari. Makan tanpa ibu di sisi.
Selesai makan, Dewi terus meminta diri untuk ke biliknya. Selepas Dewi hilang daripada pandangan, segera Mak We muncul dari dapur untuk mengemas meja makan. Beberapa minit kemudian, Dewi muncul semula dari biliknya.
“Cik Dewi!” panggil Mak We tergesa-gesa selepas melihat Dewi mula melangkah untuk ke luar rumah. “Cik Dewi nak ke mana malam-malam ni. Kalau Azizah balik nanti, apa Mak We nak jawab padanya?”
Dewi tidak terus menoleh. Mak We pula terus menanti jawapan sahih daripada Dewi. Masuk malam ini, sudah dua malam berturut-turut Dewi keluar malam. Masa yang sama seperti malam tadi. Dewi menoleh ke arah Mak We. Sinis benar renungannya. Bongkak benar senyumannya. Dia memandang Mak We rendah. Jelingan benci menujah-nujah anak mata Mak We sehinggakan Mak We terpaksa menundukkan kepalanya.
“Mengapa kau perlu kacau aku? Ini bukan urusan kau. Kau tidak perlu ambil tahu,” jawab Dewi sinis sambil melangkah menghampiri Mak We.
Mak We terkejut dengan nada dan kata-kata itu.
“Jangan ganggu aku!” bentak Dewi lalu meninggalkan Mak We sendirian di situ.
Mak We terpaku.
“Mak We? Kenapa dengan Mak We ni?” tanya Dewi dari arah belakang. Hairan bila melihat Mak We tercegat sendirian di ruang tamu.
“Tak ada apa-apalah, Cik Dewi,” jawab Mak We cemas lalu melangkah ke ruang makan untuk menyambung kerja dapurnya yang tergendala tadi.
Dewi kehairanan.
ALIFF dan dua lagi rakannya asyik berbual di sebuah restoran. Restoran yang diberi nama Restoran Hazliza itu adalah restoran yang paling popular di pekan itu. Selain masakan asam pedasnya yang di khabarkan sedap, sup tulang di restoran ini juga adalah salah satu daya penarik.
“Erk…” Aliff sendawa. Mengeluarkan angin dari dalam badannya. Tanda perutnya sudah kenyang.
“Macam mana, sedap tak, Abu?” tanya Aliff kepada kawannya yang berbadan gempal yang duduk di hadapannya.
“Mestilah sedap, lagi-lagi kalau orang belanja,” jawab Abu sambil menghirup saki -baki kuah sup tulangnya. Sampai berpeluh-peluh dia menghabiskan sup tulangnya.
“Kau pulak, Mail? Cukup tak? Kalau tak cukup pergilah oder lagi,” kata Aliff kepada kawannya yang berbadan kurus, sekadar menduga-duga.
“Isy, dah full, beb!” jawab Mail sambil mengusap perutnya yang kelihatan sedikit membuncit.
“Jadi , lepas ni nak pergi mana?” tanya Aliff lagi.
“Apa lagi, lepaklah kat tempat biasa.” Mail menyedut habis teh O aisnya.
“Abang, kira!” panggil Aliff kepada salah seorang pelayan di restoran itu sambil memusingkan jari telunjuk berbentuk bulatan ke arah meja.
Selepas membuat pembayaran, Aliff, Abu dan Mail mendapatkan motosikal masing-masing. Aliff membetul-betulkan cermin sisi motosikalnya, agar dia boleh melihat kenderaan di belakang. Sedang dia mengerak-gerakkan cermin sisi itu, tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang perempuan di tempat duduk belakang, sedang memandangnya sambil tersenyum. Lekas-lekas dia menoleh ke belakang. Tiada!
Dia melihat kembali kelibat wanita tadi melalui cermin itu. Kelibat itu sudah tiada. Dia kehairanan. Tiba-tiba dia terasa dingin, seolah ada angin bertiup dari belakang. Meremang bulu tengkuknya. Cepat-cepat dia mengusap tengkuknya. Tiba-tiba sahaja terasa seram sejuk.
“Aliff, race jom. Siapa sampai dulu. Dia menang,” ajak Mail sambil memulas-mulas minyak motosikalnya. Bunyian ekzos motosikalnya membingitkan suasana.
Aliff seolah terpaku. Masih kehairanan. Siapa gadis yang dilihatnya tadi? Dia cuba mengabaikan perasaannya itu.
Abu dan Mail memecut laju meninggalkan Aliff di belakang. Aliff rasa tercabar. Dia juga terus memulas minyak motosikal sehingga habis. Motosikalnya meluncur laju di atas jalan raya. Segala kenderaan di hadapan dielak ke kiri dan ke kanan. Mencelah selagi ada ruang memuatkan tubuh dan motosikal. Ditinggalkan Mail dan Abu jauh di belakang. Aliff terus memecut laju, lebih kurang 500 meter di hadapan. Dia rasa puas apabila dapat meninggalkan dua lagi kawannya itu. Perasaan tercabarnya sudah bertukar menjadi perasaan bangga.
Dia terus memecut laju sehinggalah dia sampai ke kawasan jalan raya yang agak sunyi. Jalan yang membawa banyak cerita mistik. Banyak kisah telah diceritakan mengenai jalan yang sedang Aliff lalui ketika ini. Jalan yang dihimpiti dusun durian ini terasa seram tatkala menjelang waktu malam. Walaupun hanya lebih kurang 200 meter sahaja jalan sunyi ini, tetapi Aliff merasakan perjalanannya jauh sekali. Seolah dia berpusing-pusing di jalan yang sama.
Dia tidak berani untuk memberhentikan motosikal. Dia terus memecut laju dan berharap agar cepat melepasi lembah jalan sunyi ini. Kelibat Abu dan Mail entah di mana. Rasanya sudah jauh ditinggalkan di belakang. Tiba-tiba motosikalnya terasa berat, seolah ada yang menumpang di tempat duduk belakang. Bulu romanya meremang.
Dia memandang dari cermin sisi, melihat siapa yang duduk di belakangnya. Awalnya dia agak takut-takut. Bila merasakan motornya semakan berat, walaupun minyak sudah habis diperah, dia memberanikan diri untuk melihat. Hairan. Tiada sesiapa. Tapi motosikalnya berat sangat. Seolah dia sedang membawa dua lagi manusia, menumpang di belakang.
Dia mengabaikannya. Pelbagai andaian terus di ruang mindanya. Dia memecut laju.
Selepas sahaja menoleh kembali ke depan jalan, dia terlihat kelibat seorang wanita sedang melangkah perlahan melintas jalan raya. Menggelabah, Aliff mengelak. Motosikalnya terus hilang kawalan. Dia terhumban ke bahu jalan, tercampak di pagar besi berduri yang ada di tepi jalan itu. Mukanya tercakar pada pagar besi berduri itu lalu terhumban ke dalam parit yang berhampiran.
Dia dihempap oleh motosikalnya sendiri, menyebabkan dia sukar untuk timbul semula ke permukaan air. Dia meronta-ronta, meminta tolong. Semakin dia meronta, semakin banyak air masuk ke dalam mulutnya. Terasa lumpur melintasi anak tekak. Dia semakin hilang kawalan. Pandangannya gelap.
Beberapa minit kemudian, Abu dan Mail muncul beriringan di jalan yang sama. Mereka berdua juga mengalami situasi yang sama. Mereka berdua hilang kawalan dalam pemanduan motosikal masing-masing akibat mengelak daripada seorang wanita yang tiba-tiba muncul di tengah jalan.
Mereka berdua berlanggar sesama sendiri dan terseret di atas jalan raya sejauh 100 meter ke hadapan sebelum terhumban ke dalam parit berhampiran. Mereka tidak tahu berenang. Akibat kecederaan yang parah di kaki, mereka terkapai-kapai di permukaan air. Tenggelam timbul, tiada siapa yang perasan. Dan akhirnya, mereka tenggelam. Hanya tinggal buih-buih di permukaan air dan kemudian buih itu hilang sedikit demi sedikit. |
|
|
|
|
|
|
|
5
HARI baru menjelma. Hari ini hari Sabtu. Sudah menjadi kebisaan bagi Dewi untuk bangun sedikit lewat. Selepas sahaja selesai solat subuh, Dewi menyambung semula tidurnya. Jam 8.00 pagi baru dia kembali bangkit daripada lenanya. Selesai membersihkan diri, dia terus melangkah turun ke ruang makan. Mengejutkan apabila dilihat ibunya sedang bersarapan pagi sambil membaca surat khabar.
Dewi tersenyum gembira. Tidak sangka dapat bersarapan pagi bersama ibunya hari ini.
“Assalamualaikum, ibu. Selama pagi,” ucap Dewi manja sambil menarik kerusi kosong bersebelahan dengan ibunya. Dihenyak punggung ke kerusi itu.
“Hai, sayang, selamat pagi. Lambatnya anak ibu bangun pagi hari ni,” perli Azizah seolah terkejut dengan kemunculan anak gadisnya itu.
“Ibu tak ke office?” tanya Dewi kehairanan.
Ibunya tersenyum sebelum menjawab, Hari ni ibu masuk office lambat sikit.” Fokusnya masih pada akhbar di tangan.
“Oh, ya ke?” Dewi menyenduk beberapa senduk nasi goreng yang telah disediakan oleh Mak We ke dalam pinggan.
“Dewi ke mana malam tadi?” tanya Azizah. Fokusnya masih pada akhbar di tangan.
Dewi kehairanan. Dia menjeling ke arah ibunya. Berkerut dahinya kerana cuba memahami apa maksud sebenar pertanyaan ibunya itu.
“Malam tadi? Dewi mana ada keluar pergi mana-mana?” tanya Dewi kehairanan. Dalam masa yang sama Mak We tiba-tiba muncul dari dapur. Dewi merenung wajah Mak We yang kian berkedut seribu. Adakah Mak We yang buat-buat cerita ini?
“Betul ke?” tanya Azizah seolah tidak mempercayai jawapan anaknya tadi.
“Betullah. Kenapa, ibu ada nampak Dewi di mana-mana ke malam tadi?” Dewi cemas. Takut benar dia jika ibu melenting kepadanya, padahal dia tidak lakukannya.
“Bukan apa… malam tadi, masa ibu baru balik dari office, ibu perasan Dewi meluru masuk ke bilik macam lipas kudung. Macam takut ibu tahu Dewi keluar malam.”
“Pukul berapa ibu balik malam tadi?” Dewi semakin musykil.
“Pukul 11.00 malam,” jawab Azizah tidak serius sambil menyelak-nyelak akhbar di tangan.
Dewi berfikir sejenak. Setahunya, dia tidur awal malam tadi. Apa yang pasti dia tidak ke mana-mana sepanjang malam tadi. Hanya menghabiskan masa di ruang tamu sambil menonton TV dan melayan muzik di dalam bilik tidur kemudiannya.
“Malam tadi, pukul 10.00 Dewi dah tidur, bu. Kalau tak percaya, tanya Mak We.” Dewi menggunakan Mak We sebagai bukti yang sahih untuk jawapannya.
“Mungkin perasaan ibu aje kut…”
“Ibu nampak Dewi meluru masuk ke bilik masa ibu balik kerja?” tanya Dewi lagi, ingin memastikan.
“Ha’ah. Kalau Dewi tak keluar malam tadi, mungkin apa yang ibu nampak tu, cuma perasaan ibu aje. Maklumlah, tengah penat,” jelas Azizah lagi cuba untuk tidak memikirkan hal yang bukan-bukan.
Tiba-tiba Dewi terasa seram sejuk. Dia memandang sekeliling isi banglo itu. Seolah merasakan ada sesuatu yang pelik pada banglo yang didiami ketika ini. Mendengarkan penjelasan ibunya tadi, menambahkan lagi persepsinya tentang banglo yang dianggap ada misterinya ini. Lagi-lagi selepas kejadian tingkap biliknya sering terbuka sendiri walaupun tingkap itu sudah dikunci.
“Dewi rasa lain macam ajelah, bu, pasal banglo ni,” jelas Dewi. Matanya masih melilau ke seluruh sudut ruang banglo itu.
“Lain macam apa?” Lekas sahaja Azizah menyangkal. Fokusnya kepada akhbar di tangannya tadi terus hilang, diberikan sepenuhnya kepada anak gadisnya. Direnung Dewi, menginginkan penjelasan yang seterusnya.
Dewi terkulat-kulat bila direnung dengan tenungan yang cukup serius itu. Kata-katanya tadi membuatkan ibunya tiba-tiba berubah emosi.
“Tak ada apa-apalah,” jawabnya tersekat-sekat. Langsung terus dipendam apa yang menjadi kemusykilan.
“Dewi jangan nak fikir benda yang bukan-bukan ek. Benda-benda mistik tu tak ada di sini,” bentak ibunya serius lalu menghirup kopi panasnya yang sudah suam sehingga habis.
“Okeylah, ibu nak pergi office. Jaga diri baik-baik okey?” pesan ibunya lalu mencium dahi Dewi.
Dewi menyalam tangan ibunya lalu mengucupnya hormat. Ibunya berlalu meninggalkan dia sendirian di ruang makan. Sudah lali dengan situasi itu. Ditinggalkan sendirian di rumah.
Dewi mencapai akhbar yang ada di atas meja. Dicari cerita atau berita menarik untuk isu hari ini. Bosan, tiada apa yang dapat menarik perhatiannya. Dia terus menyelak-nyelak. Tiba-tiba selakannya terhenti. Tertumpu pada satu berita yang mengejutkan. Berita mengenai tiga remaja mati lemas selepas ditimpa kemalangan jalan raya malam tadi. Mengejutkan Dewi lagi apabila dia melihat gambar ketiga-tiga mangsa. Aliff dan dua rakannya. Alif pula, sebelum terhumban ke dalam parit dan lemas, dipercayai mukanya telah tercakar pada pagar besi berduri.
Jantung Dewi tiba-tiba berdegup pantas. Tidak menyangka apa yang diniatkan semalam menjadi kenyataan. Dewi cemas. Segera dia mencapai telefon bimbitnya.
TENGAH hari itu, Dewi menghubungi Siti dan Sem untuk bertemu di Old Town White Coffee yang terdekat. Ada sesuatu yang ingin Dewi ceritakan kepada dua orang sahabat baiknya itu. Sesuatu yang mencemaskannya. Seawal jam 12.15 tengah hari, Dewi sudah tercongok di dalam restoran itu.
Dewi kebengangan. Dia membuat janji untuk bertemu di restoran ini dengan Siti dan Sem jam 12.00 tengah hari. Namun, sampai sekarang kelibat dua orang sahabatnya itu masih tidak muncul-muncul lagi. Dia terus sabar menanti dengan perasaan berkobar-kobar. Beberapa minit kemudian, dari jauh dia sudah terlihat Siti sedang melangkah ke mejanya. Dewi merengus halus. Bosan rasanya kerana terpaksa menunggu. Dia menanti Siti menghampiri mejanya dengan sabar.
“Sorry, Dewi, aku lambat. Maklumlah, susah dapat bas. Nak ke shopping mall ni aje aku terpaksa naik bas dua kali tau,” jelas Siti sambil duduk di depan Dewi sebelum sempat Dewi menghamburkan kemarahan.
Dewi memang menyimpan niat untuk memarahi Siti. Namun, selepas mendengarkan alasan Siti itu, dia cuba bersikap bertimbang rasa. Dia tahu, Siti terpaksa menaiki bas. Tidak sepertinya, ingin ke mana-mana cakap sahaja, pasti Pak Mat akan hantarkan. |
|
|
|
|
|
|
|
“Ada apa kau nak jumpa aku ni?” tanya Siti lagi sambil mencapai buku menu yang dihulur oleh pelayan di sisi kirinya. Tercegat.
Dewi tidak terus menjawab. Dia membiarkan Siti membuat pesanan terlebih dahulu. Terasa kekok pula apabila ada pelayan di situ. Dewi melihat Siti terkial-kial membuat pesanan. Memilih makanan yang paling murah agaknya.
“Pesan aje apa-apa pun, aku belanja,” jelas Dewi dapat mengagak.
Siti tersengih lalu membuat pesanan dengan pantas. Selepas membuat pesanan, pelayan tadi terus beredar dari meja itu.
“Thanks, Dewi. Sebab nak belanja,” ucap Siti sambil tersengih sumbing.
Dewi hanya tersengih paksa. Kemudian, dia menghulurkan akhbar yang menyiarkan kisah Aliff dan rakan-rakannya mati lemas tidak jauh dari kawasan bandar.
Siti terpinga-pinga. Termangu seketika.
“Bacalah…” saran Dewi sambil menunjuk jari telunjuk pada akhbar yang ada di hadapan Siti ketika ini.
Siti membaca dengan khusyuk sekali. Sekali-sekala, berkerut dahinya. “Eh, ini budak sekolah kita, kan?”
Dewi beria mengangguk.
“Kesiannya dia orang ni. Tulah, siapa suruh race motor? Kan dah jadi macam ni,” kata Siti lagi dengan nada yang penuh simpati.
“Hi, girls. Sorrylah, mak lambat sikit, nyah. Maklumlah nak bersiap tadi, memakan masa sikit.” Tiba-tiba Sem muncul, menyergah.
Lekas Dewi menyuruh duduk. Seorang pelayan datang dengan buku menu lalu dihulur kepada Sem.
“Ya Allah, mahalnya makanan kat sini. Air kat sini dibancuh dengan air mata duyung ke?” getus Sem tanpa ada perasaan malu. Merah padam muka pelayan yang berdiri di sebelahnya.
“Oder ajelah, Sem, aku belanja.” Cepat Dewi berkata sebelum Sem mengomen lebih banyak.
“Really? Thanks, Dewi,” ucap Sem lembut gigi daripada lidah sambil tersenyum sumbing, lantas mula membuat pesanan. Selesai sahaja, pelayan tadi terus berlalu pergi.
“Apa kena-mengena kau dengan cerita ni, Dewi?” tanya Siti hairan, kembali pada topik asal pertemuan mereka.
“Kalau kau nak tahu, semalam budak-budak ni kacau aku kat bus stop,” jawab Dewi serba salah.
“Apa? Dia orang kacau kau? Apa dia orang buat pada kau?” tanya Siti cemas.
“Tak ada apa-apa. Cuma usik-usik aje.”
Siti lega selepas mendengar jawapan Dewi itu. “Jadi apa masalahnya?”
“Semalam, masa dia orang kacau aku tu, aku memang marah gila pada dia orang. Aku pun maki hamunlah dia orang. Secara tak sengaja, aku terlepas cakap, mereka bakal ditimpa kemalangan lepas tu masuk parit dan lemas,” jelas Dewi panjang lebar dengan perasaan berkobar-kobar.
“Jadi?” Siti masih tidak dapat menangkap apa yang cuba Dewi sampaikan.
“See…” Dewi menunjuk jari telunjuknya pada akhbar tadi yang masih ada di tangan Siti. “Apa yang aku cakap tu terjadi kenyataan.”
Siti mengetap bibir. Kemusykilan mula berputik di dalam hatinya. Ada juga perasaan takut.
“Seolah, apa yang aku niat pada orang yang aku benci tu terkabul,” jelas Dewi lagi serba salah.
Siti menelan air liur.
“Apa yang you all cerita ni? Ceritalah pada aku?” tanya Sem terpinga-pinga. Satu potong ayat pun dia tidak dapat faham.
“Sebelum ni, kau pernah alami kejadian seperti ini?” tanya Siti lagi. Sedikit pun tidak mengendahkan pertanyaan Sem.
“Tak,” jawab Dewi sepatah.
“Apa kau orang ni? Tak nak cerita pada aku ke? Kekwat dengan aku ke, girls? Kalau macam ni, baik aku balik aje.” Merajuk Sem apabila kehadirannya di situ seolah tidak diendah. Kekwat bermaksud berlagak.
Dewi dan Siti tersentak. Dewi mengeluh. Kasihan pula melihat Sem terpinga-pinga di situ. Dia menceritakan apa yang telah dialami sejak berpindah ke kawasan itu.
“Oh, ya ke? Seramlah, nyah, aku dengar cerita kau ni,” jelas Sem sambil memeluk tubuh sendiri, seolah dalam ketakutan.
Beberapa minit kemudian, pelayan membawa makanan yang telah dipesan oleh Sem dan Siti tadi. Cerita tergendala seketika.
“Mungkin secara kebetulan aje kut?” Siti mengagak. Cuba memberi persepsi positif selepas pelayan berlalu pergi.
“Mungkin juga.” Dewi masih ragu-ragu dengan jawapan itu.
“Kau pernah alami apa-apa ke semenjak kau pindah di banglo tu?” tanya Siti lagi, seolah ingin menyiasat punca sebenar perkara itu berlaku.
“Entah, tak pernah pun,” jawab Dewi ragu-ragu.
“Nyah, mak seramlah dengar cerita kau ni. Macam cerita seram dalam filem. Macam cerita Kuntilanak yang dilakonkan oleh Julie Estelle dengan Evan Sanders tu. Siapa yang buat hal pada heroin cerita tu, pasti esoknya mati kepala terpusing ke belakang,” sampuk Sem sambil mencubit-cubit mufin coklatnya lalu disumbat ke dalam mulut.
“Hisy, kau ni, mengarutlah,” tempelak Siti seolah ingin menjaga hati Dewi supaya tidak bertambah gelisah.
Dewi terdiam sejenak. Adakah apa yang berlaku ke atas dirinya ada kaitan dengan perkara mistik? Atau ia hanya berlaku secara kebetulan sahaja? Buat setakat ini, dua perkara yang sama telah berlaku. Sebelum ini kepada Salina. Dan malam tadi kepada Aliff dan rakan-rakannya. Dewi kerunsingan. Kata-kata Sem tadi terngiang-ngiang, untuk dipertimbangkan minda.
“Aku ada kawan yang mahir bab-bab kisah mistik ni,” jelas Sem walaupun tidak ditanya.
“Nak buat apa? Dewi bukannya kena sampuk atau kena rasuk hantu,” tempelak Siti cepat.
“Kita cuba tanya pada dia aje, sama ada kejadian yang menimpa Dewi ni ada kaitan dengan perkara mistik ataupun tidak,” jelas Sem.
“Mengarutlah, Sem,” bentak Siti sambil menunjal kepala Sem.
“Aku cama cadangkan ajelah. Kalau tak nak dah ah, tak payah nak marah-marah, nyah,” rungut Sem menggedik.
Dewi tersenyum hambar melihat gelagat dua orang kawannya itu. Kata-kata Sem masih cuba dipertimbangkan. Apakah kejadian ini ada kaitan dengan banglo yang didiami sekarang? Jika ya, mengapa dia yang alami kejadian ini? Sedangkan, ibunya tidak pernah mengalami situasi yang dialaminya ketika ini. |
|
|
|
|
|
|
|
6
ANDY bertemu kawan-kawannya di sebuah pusat membeli-belah. Memang sudah menjadi kebiasaannya, setiap hari Sabtu dan Ahad dia akan bersama kawan-kawannya. Susah sangat untuk dia ingin duduk di rumah. Celik sahaja mata, terus dia menghadap kawan-kawan sejatinya. Menghabiskan masa tanpa buat apa-apa benda berfaedah.
Dari jauh, sudah kelihatan Helmi, Fairus dan Ridzwan duduk di koridor pusat membeli-belah terbesar di bandar sambil berborak kosong. Duduk melepak membuang masa sambil menghisap rokok yang sudah menjadi teman sehidup semati mereka sejak mereka menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah. Bimbingan daripada rakan sebaya membuatkan gejala ini semakin menular di kalangan remaja-remaja ini.
"Hai, Andy. Datang sorang aje ke?" sapa Fairus sambil menyambut salaman Andy.
"Kau dah lupa ke? Awek dia kan masih kat hospital, tak sedarkan diri," celah Ridzuan sambil tergelak. Sengaja mengusik kawan baiknya itu.
Andy duduk di sebelah Helmi. "Rokok sebatang?"
Helmi menghulur kotak rokoknya kepada Andy. Andy mencapai lalu dikeluarkan sebatang rokok dari kotak itu dan diketip pada bibir. Andy kembalikan kotak rokok tadi kepada Helmi semula. Diminta pula pemetik api. Selepas dibakar hujung rokok, berkepul-kepul asap dihembuskan, berawangan di udara.
"Apa cerita awek kau, Andy?" tanya Fairus selepas dilihat Andy sudah selesa dengan keadaannya ketika ini.
Andy tidak terus menjawab. Disedut rokok dalam-dalam lalu dihembus asapnya keluar dari mulut dan hidungnya. Berat untuk dia menjawab pertanyaan Fairus itu. Dia sendiri tidak tahu apa perkembangan terbaru Salina di hospital.
Semenjak Salina terlantar di hospital, sekali pun dia tidak pernah melawat Salina. Dia takut. Takut dibelasah oleh ayah Salina yang merupakan seorang pesara askar. Kemalangan itu berlaku disebabkan dia. Jadi, mana mungkin dia berani untuk berhadapan dengan keluarga Salina. Sudah pasti keluarga Salina menyalahkannya ketika ini.
"Entahlah, aku tak melawat dia lagi di hospital," jawab Andy acuh tidak acuh.
"Hisy, apalah kau ni, Andy. Salina accident pun dengan kau. Sampai hati kau tak tengok dia di hospital. Apa punya pakwelah kau ni," perli Ridzwan seolah kesal dengan sikap Andy yang mementingkan diri.
Andy terasa hati. Ingin sahaja dia membelasah Ridzwan, tapi perasaan itu ditahan. Dia tidak mahu disebabkan perkara kecil ini, dia bermusuhan dengan kawan baiknya sendiri.
"Aku bukan tak nak pergi melawat dia. Kau pun tahu, kan? Kalau bapak dia tahu aku yang buat anak dia macam tu, tak ke niaya aku kena tembak dengan senapang patah bapak dia tu," jawab Andy cuba menjelaskan.
Semua yang ada di situ akur dengan jawapan Andy itu. Dilihat Andy seolah tiada mood. Jadi, masing-masing malas untuk mempertikaikan lagi hal itu. Takut bakal mengubah mood Andy yang sememangnya sudah tidak baik.
"Jadi, macam mana dengan awek cun yang kita pertaruhkan pada kau tu?" tanya Fairus serta-merta mengubah topik perbualan.
Andy tidak terus menjawab. Disedut dalam-dalam saki-baki rokoknya lalu dihembus asapnya keluar berawangan. Puntung rokok dicampak ke lantai lalu dipijak dengan hujung kasut sehingga terpadam bara api rokoknya itu.
"Okey," jawab Andy sepatah.
"Takkan okey aje? Takkanlah kau tak dapat nak tackle minah bandar tu? Kau kan peria terhebat sekolah. Muka handsome macam kau ni takkan sekadar okey aje?" tanya Fairus sangsi dengan jawapan yang diberi Andy.
"Okeylah. Apa lagi kau nak aku jawab? Aku dalam proses mendekati dia." Andy mengeluarkan secebis kertas dari poket seluaranya.
"Kertas apa tu?" tanya Ridzwan selepas Andy menayang kertas itu kepada mereka bertiga.
"Nombor telefon dia," jawab Andy ambil tersengih mengejek.
Fairus cuba merampas cebisan kertas itu. Cepat Andy menepis.
"Woi, apa ni?" tanya Andy.
"Bagilah kat aku jugak," pinta Fairus.
"Banyak cekadak kau. Aku mintak dia penat-penat, sampai berhabis duit, kau nak mintak macam tu aje? Boleh blah," bidas Andy lalu menyimpan semula cebisan kertas tadi ke dalam poket seluarnya.
"Eleh, kedekut," rungut Fairus.
"Ingat ek taruhan kita. Selepas aku berjaya dapatkan dia, kau orang kena bayar aku 50 ringgit setiap seorang." Andy mengingatkan semula taruhan mereka sebelum ini.
Helmi, Fairus dan Ridzwan mencabarnya untuk mendapatkan cinta Dewi beberapa hari lalu. Jika dia berjaya buat Dewi tergila-gilakannya kemudian meninggalkannya tanpa belas kasihan, mereka bertiga akan membayar RM50 setiap seorang. Jika tidak berjaya, Andy pula terpaksa membayar RM50 kepada Helmi, Fairus dan Ridzwan.
"Tengok kakilah. Siapa tak kenal Andy peria terhebat, jantan termaco ni? Dua minggu dari sekarang, kau orang semua akan dapat tengok aku dengan Dewi duduk semeja dalam library. Wait and see," jawab Andy bangga dan yakin sambil tersengih sinis kepada mereka bertiga.
Kepalanya ketika ini sedang merangka rancangan baru untuk menekati Dewi lalu mebuatkan Dewi sukakannya.
Helmi hanya mendiamkan diri. Dia menyesal bersetuju dengan pertaruhan ini. Kalau tidak kerana egonya, sudah pasti dia tidak akan terjebak. Namun, sehingga kini dia hanya mampu berdiam diri. Egonya masih kuat menguasai diri agar tidak membantah. Jika dia membantah sudah pasti akan disindir oleh kawan-kawannya. Dia tidak sanggup melalui keadaan itu.
"THANKS, friends, kerana sudi jumpa aku hari ini dan sudi dengar luahan hati aku," ucap Dewi selepas dia, Siti dan Sem puas menjelajah segenap kedai yang ada di pusat membeli-belah itu. Istilah lain, window shopping.
"Alah, Dewi, janganlah cakap thanks. Kita kan kawan. Kalau tak kawan yang tolong kawan, siapa lagi, kan?" jelas Siti ikhlas.
"Ha’ah, Dewi. Sekurang-kurangnya dengan kehadiran kau ni, bertambahlah jugak kawan aku. Kalau tak, asyik menghadap Siti ni aje. Naik muak aku," celah Sem sambil meneleng-nelengkan kepalanya.
"Eleh, macamlah aku tak muak tengok muka kau, kan?" tempelak Siti, bengang.
"Dahlah tu. Asyik nak bertekak ajelah kau orang ni," keluh Dewi sengaja mencelah untuk meleraikan pertengkaran mulut antara Sem dan Siti.
Mereka meneruskan perjalanan menuju ke arah pintu keluar pusat membeli-belah itu. Sudah penat rasanya menjelajah setiap ruang yang ada. Seronok bila dapat menghabiskan masa bersama-sama kawan-kawan. Kadangkala, Dewi juga rindukan kawan-kawannya di tempat lama dulu. Mujurlah ada Siti dan Sem, terubatlah sikit kerinduan itu.
"Dewi, pasal kejadian pelik yang kau alami tu, kau jangan fikirkan sangatlah. Mungkin secara kebetulan aje tu." Siti memujuk perasaan Dewi.
"Tapi, kalau betul apa yang aku alami ni ada berkaitan dengan perkara mistik macam mana?" tanya Dewi musykil.
"Tak apa, nanti aku tanyakan hal kau ni pada kawan aku yang tahu pasal benda-benda pelik ni. Okey?" celah Sem sekadar mencadangkan.
"Jangan mengarutlah, Sem." Siti menyiku perut Sem. Merengek kesakitan Sem dibuatnya.
"Kau jangan dengar cakap Sem ni. Sekarangkan zaman moden. Dah lebih 50 tahun merdeka. Benda-benda mistik ni, dah ketinggalan zamanlah." Siti tidak mempercayai hal-hal yang berkaitan dengan dunia mistik dan misteri.
Dewi akur dan hanya mengangguk lemah dengan penjelasan Siti.
Tanpa disedari, dari arah belakang, empat pasang mata memerhati tas tangan yang disandang oleh Siti di bahunya. Dua orang lelaki bermotosikal itu sedari tadi memerhati Siti dari jauh. Hanya menunggu masa sahaja untuk meragut tas tangan yang disandang Siti itu.
Beberapa minit kemudian, bila masa yang ditunggu oleh dua lelaki itu tiba, kawannya yang memandu motosikal itu terus memecut laju ke arah Siti yang berjalan betul-betul di bahu jalan. Dengan pantas, lelaki yang duduk di tepat duduk belakang terus meragut tas tangan Siti sekuatnya, lalu memecut laju, siti tersentap ke depan.
"Pencuri! Tolong!" jerit Siti apabila tas tangannya berjaya diragut oleh dua lelaki tadi.
Dewi dan Sem terpinga-pinga. Kejadian itu terlalu pantas berlaku sehinggakan mereka berdua tidak sempat untuk melakukan apa-apa.
"Pencuri!" jerit Siti lagi sambil terloncat-loncat di tempatnya. Ingin cuba dikejar pencuri itu, tapi dia tidak berdaya. Meminta tolong pula, rasa seperti anak tekaknya ingin tercabut. Namun, tiada siapa yang mengejar peragut tadi. |
|
|
|
|
|
|
|
"Kurang ajar punya jantan. Tak ada kerja lain ke? Nak duit, kerjalah!" teriak Sem pula kepada dua lelaki tadi yang entah ke mana hilangnya.
Siti kesedihan. Segalanya-gala tentang dirinya ada di dalam tas tangan itu. Kad pengenalan dan duit. Bagaimana dia ingin balik ke rumah, sedangkan lima sen pun dia tidak ada sekarang ini? "Macam mana aku nak balik?"
"Kau jangan risau, Siti, Pak Mat akan hantar kau balik. Okey?" pujuk Dewi sambil menenangkan.
"Bodoh punya pencuri. Kau jangan risau. Aku pasti, kau akan dapat tas tangan kau tu esok dan tak ada apa-apa yang akan hilang," jelas Dewi yakin dengan kata-katanya.
"Mana kau tahu?" tanya Siti kehairanan.
"Aku pasti," jawab Dewi teragak-agak.
Siti kehairanan apabila Dewi benar-benar yakin tas tangannya bakal dapat semula esok. Dia mula sangsi dengan kejujuran kawannya itu. Adakah pencuri itu dan Dewi ada konspirasi sendiri? Persoalan itu terus bermain-main di ruang mindanya.
LEBIH kurang pukul 9.00 malam, barulah Dewi sampai ke rumah. Dia terpaksa menghantar Siti pulang sebelum balik ke rumah. Kasihan hatinya dengan nasib Siti. Diragut tas tangannya oleh pencuri yang entah dari mana. Mencari kesenangan dengan memilih jalan yang mudah.
"Cik Dewi, Cik Dewi, dah makan malam?" tanya Mak We dari dapur selepas terlihat kelibat Dewi yang baru sahaja melangkah ke tingkat atas.
"Tak apalah, Mak We. Dewi dah makan dengan Siti tadi. Mak We sahajalah makan dengan Pak Mat ya," jawab Dewi lembut lalu melangkah masuk ke dalam biliknya.
Mak We akur lalu melangkah semula ke dapur.
Sampai di dalam bilik, Dewi terus bersiap untuk mandi. Dia menghadap cermin soleknya. Dilihat wajahnya pada cermin. Perlahan-lahan dia membuka ikatan rambutnya. Dilibas-libas perlahan rambutnya. Dibelek mukanya yang sedikit berminyak itu di hadapan cermin. Wajahnya nampak penat. Hampir seharian dia menghabiskan masa bersama Siti dan Sem.
Peristiwa tas tangan Siti diragut petang tadi terbayang di ruang mindanya. Benci benar dia kepada dua pencuri itu. Dia sendiri tidak tahu, mengapa dia begitu yakin memberi tahu Siti bahawa tas tangannya bakal dipulangkan semula esok. Tiada bukti untuk jaminan itu. Jika perkara itu betul-betul berlaku, bagaimana?
Lamunan Dewi terhenti apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Nombor telefon yang tidak dikenali tertera pada skrin telefon bimbitnya. Lekas dia menekan butang hijau.
"Assalamulaikum." Dewi memulakan bicara.
"Waalaikumussalam. Dewi ke?" Kedengaran suara lelaki dari sebelah sana.
"Siapa ni?" tanya Dewi kehairanan. Tidak pernah dia menerima panggilan daripada lelaki selain Sem sebelum ini.
"Andy."
"Oh, awak…" Tiba-tiba sahaja jantung Dewi berdegup pantas tatkala mendengar nama Andy. Gugup tak semena-mena.
"Dah nak tidur ke? Awal lagi ni…"
"Belumlah. Baru balik dari rumah kawan. Baru nak mandi."
"Oh, ya ke?"
"Awak kat mana tu?" tanya Dewi, sekadar ingin memanjangkan perbualan.
"Dekat bandar. Lepak dengan kawan-kawan."
Tanpa disedari Dewi, cermin soleknya tiba-tiba bergerak-gerak dengan sendiri.
"Lepak dengan kawan-kawan? Tak ada homework ke?" Sengaja Dewi mengusik.
"Alah, esok kan ada lagi satu hari cuti. Boleh buat. Malam minggu, kan? Lepaklah dengan kawan-kawan… bosanlah duduk rumah."
"Oh, ya ke?"
"Okeylah, Dewi, saya ada hal ni. Saya call ni pun sebab nak pastikan aje, betul ke nombor telefon ni nombor telefon awak."
Dewi senyap.
"Okey, jumpa di sekolah Isnin nanti ek."
"Okey."
Panggilan ditamatkan. Dewi tersenyum sendiri. Satu perasaan yang luar biasa tiba-tiba menyelinap masuk ke ruang hatinya. Tidak pernah dia merasakan perasaan ini. Sebelum ini dia bersekolah di sekolah perempuan. Jadi, ingin bertemu pelajar lelaki mustahil sekali. Semenjak pindah ke sekolah baru ini, awalnya dia terasa janggal bercampur dengan pelajar lelaki.
Kawan lelaki pertamanya adalah Sem. Tapi itu pun sukar untuk dia menganggap Sem itu lelaki. Fizikalnya sahaja lelaki, tapi jiwanya perempuan. Andy lelaki pertama yang berani ingin medekatinya. Langsung, membuatkan dia tidak tentu arah. Apakah perasaan ini? Adakah ia cinta? Ah! Sekadar cinta monyet. Tiba-tiba terasa tidak sabar untuknya menunggu hari Isnin.
Dewi bersiap untuk mandi. Dia mencapai tuala lalu melangkah ke bilik air.
"Dewi…" Seseorang memanggil namanya. Sayup-sayup sahaja kedengaran di hujung pendengarannya.
Dewi terhenti daripada terus melangkah. Dia kehairanan. Suara siapakah itu? Suara itu hilang. Dia mengabaikan perasaannya itu.
"Dewi…" Kedengaran lagi namanya dipanggil. Sayup. Seolah tuan punya suara berada sangat jauh daripadanya.
Langkah Dewi terhenti lagi. Tiba-tiba bulu di tengkuknya meremang. Lekas dia mengusap tengkuk. Terasa seram dalam keadaan begitu. Muncul suara misteri yang entah dari mana. Dewi melihat sekeliling biliknya. Tiada apa-apa. Tingkap biliknya pun masih tertutup rapat. Dia mengabaikan perasaannya itu lalu masuk ke dalam bilik air. |
|
|
|
|
|
|
|
Perasaan bahagianya selepas mendapat panggilan daripada Andy serta-merta hilang. Hanya perasaan cemas dan takut menguasai diri ketika ini. Dia cuba bersikap bersahaja. Tidak mahu menganggap yang bukan-bukan. Mungkin ia hanya mainan perasaan sahaja.
Selesai mandi, Dewi terus menghadap cermin soleknya. Dilap rambutnya sambil melihat wajahnya pada cermin. Tiba-tiba dia terasa dingin. Seolah ada angin sepoi-sepoi memenuhi ruang bilik. Cepat-cepat dia melihat tingkap biliknya melalui cermin di hadapannya. Langsir berkibar-kibar perlahan. Dia menoleh ke arah tingkap. Bayangannya pada cermin tidak ikut menoleh, sebaliknya memandang sinis kepada Dewi sambil tersengih.
Dewi melangkah menuju ke tingkap. Terkejut! Tingkap biliknya ternganga luas. Dia kehairanan. Masuk kali ini, sudah tiga kali kejadian tingkap biliknya terbuka dengan sendirinya. Tidak tahu siapa yang membukanya. Mustahil Mak We, kerana pintu biliknya berkunci sedari tadi. Dilihat barang-barangnya, tiada yang hilang. Mustahil juga jika yang membuka tingkap itu adalah pencuri.
Dewi menutup semula tingkap biliknya dan mengabaikan perasaannya itu. Dia kembali menghadap wajahnya di cermin. Kemusykilan terus menguasai perasaannya. Apa sebenarnya telah berlaku di rumah ini? Adakah rumah ini berpenunggu?
AMAT dan Dolah mengeluh berat. Amat tidak henti-henti memaki hamun Dolah semahunya. Rancangan mereka petang tadi, walaupun berjaya, namun tidak membuahkan hasil. Sekadar mendapat penat dan cemas sahaja kerana takut diburu polis. Lima sen pun mereka berdua tidak dapat.
"Tulah, Dol. Aku cakap perempuan tu sengkek kau tak percaya," maki Amat lagi kepada Dolah yang sedang asyik dengan telefon bimbitnya.
"Mana aku tahu perempuan tu tak ada duit. Kalau aku tahu, tak adalah aku nak copet bag budak tu," bidas Dolah benci bila terus dipersalahkan oleh Amat sedari tadi.
Petang tadi mereka berdualah yang telah meragut tas tangan Siti. Apa yang mengecewakan, tiada sesen pun dalam tas tangan itu. Sekadar kad pengenalan sahaja. Mereka berdua tersangat hampa.
Amat mencampakkan tas tangan Siti ke atas meja kayu yang ada di hadapan mereka. Masing-masing kelaparan. Mereka berdua belum makan malam lagi. Perut masing-masing berlagu keroncong. Mereka ingatkan mereka bakal makan yang sedap-sedap malam ini kerana berjaya meragut beg petang tadi. Tapi, apa yang berlaku sebaliknya.
"Amat…" Kedengaran nama Amat dipanggil. Sayup-sayup kedengaran di hujung pendengaran. Lekas-lekas Amat memandang ke arah Dolah yang kelihatan monyok, menahan kelaparan.
"Kau panggil aku ke?" tanya Amat serius. Dia tidak suka dipermain-mainkan oleh kawan baiknya itu.
Dolah menjeling Amat sinis. Gila ke apa mamat ni? Dah depan mata, buat apa nak panggil-panggil lagi? desisnya dalam hati lalu menggeleng.
Amat kehairanan. Mungkin cuma perasaannya sahaja. Dia kembali mengelamun. Mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan duit bagi membeli makan malam mereka.
Sejak setahun lalu Amat dan Dolah sudah duduk bersama. Rumah peninggalan nenek Amat menjadi tempat tinggal mereka. Ibu bapa Amat sudah lama meninggal dunia, sejak dia kecil lagi. Dia tiada adik-beradik. Dia anak tunggal. Dari kecil dia dijaga oleh neneknya. Selepas neneknya meninggal dunia lima tahun lalu, dia seolah hilang arah tujuan hidup. Malas bekerja, suka melepak dan buat benda-benda yang tidak berfaedah.
Selepas habis tingkatan lima, dia hidup dengan disara oleh neneknya. Dia tidak bekerja tetap sehingga kini. Neneknya meninggal dunia disebabkannya. Suatu hari, bila neneknya tidak memberi sejumlah duit yang diminta, Amat meragut rantai emas neneknya yang masih tergantung di leher neneknya tanpa belas kasihan. Akibat terkejut, neneknya terus meninggal. Selepas neneknya dibedah siasat didapati neneknya meninggal dunia disebabkan serangan jantung.
Sungguhpun begitu, Amat masih tidak mahu berubah walaupun orang kampung sudah memandang serong kepadanya. Dia tetap menebalkan muka. Tiada sedikit pun perasaan malu.
Semenjak dia berkawan rapat dengan Dolah, dia semakin berani merompak, menyamun dan meragut. Dengan cara itu sahaja mereka bisa mendapatkan sumber duit untuk keperluan makanan. Puas sudah mereka mencari kerja, tapi tiada siapa yang ingin mengambil mereka bekerja disebabkan latar belakang pendidikan yang kurang memuaskan.
Pernah sekali mereka bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai runcit di pekan. Semenjak mereka bekerja di kedai runcit itu, banyak barangan runcit dilaporkan hilang. Selepas disiasat, merekalah yang telah mencuri barang-barang itu hampir setiap hari. Akibatnya, mereka dibuang kerja. Sehingga sekarang tabiat mencuri masih tidak dapat dibendung.
Amat melangkah ke dapur, mencari sesuatu yang boleh dimakan. Sekadar ingin mengisi perut yang kosong. Dikuak peti sejuk, kosong. Tiada apa-apa yang boleh dimakan. Rumah mereka hanya diterangi oleh cahaya pelita sahaja. Memandangkan bil elektrik sudah lama tertunggak dan tidak berbayar sehingga kini. Mereka berdua terpaksa bergelap. Hanya air paip sahaja yang masih keluar, itu pun atas simpati orang kampung, membenarkan mereka menggunakan air paip di balai raya.
"Dolah…" Nama Dolah pula diseru.
Cepat-cepat Dolah menoleh ke arah dapur. Tiba-tiba dia berasa seriau. Meremang semua bulu roma. Suara yang memanggilnya sayup-sayup sahaja. Seolah sedang dibisikkan ke telinganya.
"Kau panggil aku ke?" tanya Dolah tiba-tiba terpacul di muka pintu yang menghubungkan ruang dapur dan ruang depan rumah.
"Gila apa aku nak panggil kau? Bukannya aku dapat makanan pun kalau aku panggil kau," bidas Amat lalu melangkah semula ke ruang tamu.
"Amat…" Nama Amat pula dipanggil. Lekas dia memandang ke arah Dolah yang membuntutinya.
"Kau panggil aku?" tanya Amat kehairanan.
Dolah menggeleng cepat. Jelas wajahnya ketakutan. Mereka duduk di ruang tamu tanpa berkata apa-apa. Masing-masing senyap.
"Dolah… Amat…" Suara itu memanggil lagi nama mereka berdua serentak.
Amat dan Dollah berpandangan. Perasaan takut dan cemas berbaur menjadi satu. Mata bertembung tajam. Pelbagai persoalan menujah-nujah ruang benak mereka mengenai kewujudan suara misteri itu.
"Kau dengar apa yang aku dengar?" tanya Amat kepada Dolah yang sudah mula cuak.
Dolah mengangguk perlahan.
"Kembalikan beg itu kepada tuannya semula," bisik suara itu lagi.
Sepantas kilat Dolah dan Amat berpelukan, ketakutan. Masing-masing menutup mata, cemas. Takut untuk bertentang mata dengan tuan punya suara.
"Kembalikan beg itu kepada tuannya semula!" Suara itu semakin kuat kedengaran.
Pelukan mereka semakin erat.
"Kembalikan semula beg itu kepada tuannya…" Suara itu mengulangi kata-kata itu, daripada nada perlahan sehingga ke nada kuat.
Amat dan Dolah semakin kecut perut. Berpeluh-peluh dibuatnya. Masing-masing melilaukan anak mata, cuba mencari dari mana datangnya suara itu.
"Kembalikan semula bag itu kepada tuannya!" Suara itu membentak kuat, mengejutkan Amat dan Dolah.
"Baik, kami akan pulangankan segera," jawab Amat ketakutan. Jelas tergetar-getar nada suaranya.
Suara itu hilang. Keadaan senyap semula.
Amat dan Dolah saling berpandangan. Jatung masing-masing berdegup laju. Bagai ingin tercabut. Amat mencapai pantas tas tangan Siti yang ada di atas meja.
"Jom kita pulangkan balik beg ni. Beg ni berpuaka," jelas Amat lalu menarik Dolah keluar rumah.
"Nak ke mana ni?" tanya Dolah terpinga-pinga.
"Nak makan seafoods," jawab Amat serius.
"Kau ada duit ke? Kenapa tak cakap dari tadi? Tak adalah aku nak tahan lapar macam ni," jelas Dolah gembira.
"Kepala otak kau," bidas Amat bengang sambil menunjal kepala Dolah kuat. "Kau tak dengar hantu tadi tu suruh kita pulangkan dompet ni ke?" Amat menunjukkan tas tangan Siti di tangannya.
Dolah mengangguk. "Macam mana kita nak pulangkan? Kita mana tahu budak perempuan tu di mana?"
"Kat IC dia kan ada alamat, Dol. Bangang betullah kau ni. Cepat naik."
Amat menghidupkan enjin motosikal. Selepas Dolah naik di tempat duduk belakang, dengan pantas dia memecut laju. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|