Remaja Palestin ditembak mati selepas serang polis
November 18, 2021 @ 1:24pm
Polis Israel menutup pintu gerbang Damsyik selepas kes serangan menggunakan pisau di Kota Lama Baitulmaqdis. - Foto EPA
BAITULMAQDIS: Pasukan keselamatan Israel menembak mati seorang penyerang remaja yang menikam dan mencederakan dua pegawai polis di Kota Lama Baitulmaqdis.
Menurut polis Israel, pegawai itu mengalami kecederaan ringan berikutan serangan oleh seorang penduduk Baitulmaqdis timur berusia 16 tahun berhampiran 'yeshiva' atau sekolah agama Yahudi.
Sekolah berkenaan dikaitkan dengan pertubuhan Ateret Cohanim, yang memiliki dana besar di mana sebahagian besarnya digunakan untuk membiayai sebarang usaha atau misi meramaikan penduduk Yahudi di Baitulmaqdis.
Anggota kecemasan berkata, serangan yang berlaku di kawasan penduduk Islam itu turut menyebabkan seorang lelaki dan wanita cedera, yang dibawa ke hospital.
Polis Israel, dalam satu kenyataan, berkata penyerang sudah 'dineutralkan' dan jurucakap polis mengesahkan kepada AFP bahawa remaja terbabit sudah dibunuh.
Kota Lama yang terletak di bahagian timur Baitulmaqdis adalah sebahagian daripada Israel, namun Palestin mendakwa ia sebagai ibu kota negara masa depan mereka.
Sementara itu, serangan yang menyasarkan pasukan keselamatan Israel adalah perkara biasa di Kota Lama.
Kes terbaru berlaku pada akhir September lalu apabila seorang wanita cuba menikam pegawai di jalan yang menghala ke masjid Al-Aqsa sebelum ditembak mati. - AFP
|