Berbeza dengan kura-kura air, kura-kura darat seperti spesies kura-kura Afrika (Sulkata Tortoise) sebenarnya alah terhadap cuaca sejuk.
Keadaan suhu persekitaran yang sejuk boleh menyebabkan kura-kura itu sakit dan tidak aktif.
Bagi Muhamad Zaki Md Sheh, 33, meskipun keadaan suhu persekitaran perlu sentiasa dipantau namun ia tidak menjejaskan minatnya terhadap haiwan eksotik itu.
Kata Muhamad Zaki, dia memiliki sepasang kura-kura Afrika dari spesies Sulkata Tortoise dan Leopard Tortoise sejak dua tahun.
"Kura-kura yang diberi nama Jaafar dan Laila ituadalah hadiah daripada isteri tersayang,Siti Aishah Ahmad, 30, sempena ulang tahun kelahirannya.
"Ini kerana sebelum ini saya ada membela ular dan musang namun terpaksa melepaskannya selepas berumah tangga," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Muhamad Zaki, haiwan eksotik itu tidak boleh dibela sesuka hati kerana iamemerlukan permit dan lesen daripada Jabatan Perhilitan.
Katanya, biarpun agak mahal haiwan itu mudah dijaga dan kos makanannya juga murah.
"Betik, timun, lobak merah, daun mulberi, salad, kacang panjang adalah antara makanan utamanya.
"Namun yang paling ia gemari adalah daun bunga raya, jadi tidak membabitkan kos makanan yang tinggi apatah lagi kura-kura ini hanya makan sekali sahaja sehari.
"Secara purata, kos penjagaan dan makanan dua ekor kura-kura itu adalah sekitar RM100 sahaja sebulan," katanya.
Mengulas lanjut, kakitangan Ranhill SAJitu berkata, tempat khas untuk menyimpan kura-kura itu (Tortoise enclosure) turut dipasangkan lampu untuk memastikan kawasan sekitar sentiasa panas.
Katanya, suhu yang sesuai untuk kura-kura terbabit adalah 30 darjah selsius ke atas.