Rohana ditinggalkan di tadika dua puluh tahun yang lalu kerana ibunya terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.
Menerusi perkongsian oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Aweeff di Twitter, cerita tentang Rohana telah menarik perhatian netizen.
Mari kita sama-sama ikuti kisah Rohana dan Hoi Lan yang telah menyentuh hati rakyat Malaysia.
Waktu itu, usia Rohana Abdullah baru dua bulan namun kerana kebaikan hati seorang wanita berbangsa Cina, dia dijaga seperti anak sendiri sehinggalah sekarang. Wanita itu ialah Chee Hoi Lan.
Dia merupakan seorang guru tadika di mana ibu Rohana bekerja sebagai cleaner dan mengenangkan nasib bayi terbabit selepas ibunya terpaksa pulang ke Indonesia, dia mengambil keputusan menjaganya seperti anak sendiri.
Hoi Lan berkata, dia sedar perbezaan agama akan menjadi masalah dan kerana itu, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana sebagai seorang Muslim dan tidak kisah menggunakan wangnya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).
Selain itu, Hoi Lan juga akan memastikan Rohana belajar perkara asas mengenai Islam menerusi pengajian langsung di sekolah dan didikan daripada kenalannya.
"Saya sayangkan dia seperti anak sendiri. Sejak kecil, saya pastikan dia makan makanan halal dan melakukan ibadat sebagai seorang Muslim sehinggalah hari ini.
"Cuma sebelum saya mati, saya mahu lihat dia berkahwin, bekerjaya dan bahagia. Saya lega kerana selama hayat saya, saya pastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim, dia akan kekal begitu sampai bila-bila,"
"Saya tahu ada benda yang dia tidak boleh makan. Saya tahu ada masanya dia perlu solat dan itu langsung tidak menjadi masalah.
"Saya mengambil tanggungjawab sebagai ibu, saya didik, saya asuh dia seperti mana sepatutnya. Yang membezakan kami adalah budaya dan agama," katanya.
Rohana yang kelihatan sayu sepanjang sesi temu bual bersama Harian Metro berkata, dia akan terus menyayangi ibu angkatnya yang mesra dipanggil laoshi (cikgu dalam bahasa Mandarin) itu walaupun selepas dia membawa haluan sendiri sekarang.
Kata Rohana, ibunya merupakan seorang warga Indonesia berkahwin dengan bapanya seorang warga tempatan yang menghilangkan diri selepas dia dilahirkan.
"Cuma sekarang ini saya berdepan masalah status kewarganegaraan. Saya faham kerana ibu warga Indonesia dan bapa pula menghilangkan diri sejak saya kecil. Jadi amat sukar untuk saya membuat apa-apa kerana saya tiada dokumen yang sah. Saya tidak dapat sambung belajar, saya tidak dapat bekerja kerana dianggap orang luar"
"Saya ada memohon taraf kewarganegaraan pada 2016 dan sehingga kini masih belum ada maklum balas.
"Jadi saya dan laoshi berjumpa dengan Gulam Muszaffar yang kebetulan anak muridnya pada 1980 untuk meminta bantuan dalam isu ini,".
Marilah kita sama-sama mendoakan semoga urusan Rohana untuk mendapatkan status kewarganegaraan dipermudahkan dan semoga hajat Hoi Lan untuk melihat anaknya berkahwin, bekerjaya dan bahagia tercapai tidak lama lagi. -CARI |