LUMUT: Cubaan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki negara secara tidak sah dengan menaiki sebuah bot pancung gagal apabila ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di perairan Tenggara, Johor, awal pagi tadi.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, memaklumkan Kapal Diraja (KD) Sundang yang dalam penugasan Op Benteng Laut mengaturgerak bot pemintas, Fast Combat Boat (FCB) 101, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) LEPAU dan RHIB SANTI untuk membuat pintasan terhadap bot pancung itu.
"Ia selepas maklumat awal disalurkan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Bukit Pengerang sejurus mengesan sebuah bot mencurigakan di kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Ayam menuju ke daratan.
"Tindakan pantas RHIB LEPAU dan RHIB SANTI berjaya memintas dan menahan bot pancung itu. Selepas membuat pemeriksaan, kedua-dua PATI berkenaan dipindahkan ke FCB 101 untuk dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih bersama barang rampasan.
"Mereka diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan selanjutnya," menurut kenyataan berkenaan.