|
Taktik tangkap ikan di perairan sempadan negara
BOT nelayan Vietnam yang ditahan dibawa ke Jeti APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Kemaman: Nelayan Vietnam dikesan menjadikan kawasan di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia sebagai lokasi baharu mencuri hasil laut negara kerana mudah melepaskan diri daripada ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia APMM.
Perkara itu terbukti dengan penahanan sebuah bot nelayan Vietnam bersama 21 nelayan termasuk seorang tekong pada kedudukan 108 batu nautika tenggara dari Kuala Kemaman, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot itu ditahan 5.30 petang ketika menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding bersama tiga lagi bot nelayan dari negara sama.
"Menyedari kehadiran kami, kesemua bot terbabit cuba melarikan namun kita berjaya menahan sebuah daripadanya, manakala tiga bot itu berjaya melarikan diri dan memasuki perairan Indonesia," katanya ketika ditemui di jeti APMM Kemaman.
Menurutnya, taktik terbaharu itu menyaksikan nelayan berkenaan menangkap ikan di kawasan perairan pada lima hingga 10 batu berhampiran dengan perairan Indonesia kerana mudah untuk melarikan diri.
"Hasil pemeriksaan, kesemua nelayan terbabit yang berusia antara 18 hingga 54 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan bot terbabit turut tidak mempunyai sebarang permit untuk menangkap ikan di perairan kita," katanya.
Katanya, selain bot, pihaknya turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, dua tan ikan pelbagai jenis serta alatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
SumbeR:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ran-sempadan-negara
|
|