|
Seorang ahli perniagaan asal Grobogan, Jawa Tengah, Joko Suranto memaklumkan akaun media sosialnya dibanjiri mesej orang ramai yang meminta dia membaiki jalan rosak di sejumlah daerah di seluruh Indonesia.
Permintaan itu bermula selepas media tempatan melaporkan Joko sanggup mengeluarkan duitnya sendiri untuk membaiki jalan rosak di kampung halamannya.
Kredit foto: Detik
Tindakan itu dibuat susulan kerajaan tempatan dikatakan ‘lambat buat kerja’ sehingga menyusahkan penduduk setempat untuk melakukan kegiatan harian mereka.
“Ramai yang mesej saya dalam akaun media sosial bertanya jika saya boleh bantu baiki jalan rosak di tempat mereka.
“Saya menjadi serba salah kerana saya berasa sedih melihat ramai yang terdesak untuk mempunyai infrastruktur yang baik, namun pada masa sama menjadi khuatir.
“Hal ini kerana, saya berasa bimbang dengan budaya masyarakat yang dilihat seperti terlalu meminta dan tidak berusaha terlebih dahulu,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com.
Jelas Joko, dia juga pernah melalui zaman hidup susah ketika kecil bersama keluarganya, namun itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk mencari kejayaan seperti kini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah menyerah dan hanya meminta tanpa berusaha terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Joko memberitahu, dia tidak sedikit pun mengharapkan pujian daripada banyak pihak berhubung tindakannya mengeluarkan duit sendiri untuk membaiki jalan rosak di kampungnya.
Katanya, untuk berbuat kebaikan, masyarakat tidak perlu menunggu sesuatu yang besar, asalkan dapat memberi faedah kepada banyak pihak.
“Bukan tujuan kita untuk berbuat baik, selepas itu dijaja dalam media, untuk apa? Adalah lebih baik jika kita jadi orang biasa dan bermanfaat,” ujarnya.
Sumber: Utusan |
|