|
Cakap-cakap dan ancaman untuk keluar Persekutuan Malaysia yang pernah kita dengar sebelum ini lazimnya disuarakan pihak dan kumpulan tertentu dari Borneo yang bercakap dalam konteks Sabah dan Sarawak.
Secara am mereka tidak puas hati akan layanan kerajaan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak. “Orang Malaya” tidak adil dakwa mereka.
Istilah “orang Malaya” digunakan untuk merujuk orang Semenanjung. Kerajaan persekutuan dilihat berat sebelah – memihak kepada Tanah Melayu kerana dianggotai majoritinya “orang Malaya”. Tetapi, tidak boleh dinafikan turut menganggotai kerajaan pusat ialah orang Sabah dan Sarawak.
Jelas kumpulan anti-Semenanjung (lebih tepat, anti-kerajaan persekutuan) mempunyai pandangan tersendiri ke atas orang Sabah dan Sarawak yang duduk dalam kerajaan persekutuan. Lantas mereka terus menyuarakan tuntutan yang bagi mereka mesti ditunaikan demi kesaksamaan dan kesejahteraan Sabah dan Sarawak, yang kata mereka sudah “lama dianaktirikan” oleh kerajaan pusat yang memerintah dari Semenanjung.
Banyak rungutan yang diketengahkan. Antara contoh, pada November tahun lalu satu laman berita melaporkan sekurang-kurangnya 60% rakyat Sabah dan Sarawak menyarankan negeri mereka keluar Malaysia kerana kecewa dengan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam Belanjawan 2022. Ertinya mereka mahu lebih peruntukan untuk pembangunan.
Satu isu besar ialah royalti minyak yang dianggap tidak adil buat Sabah dan Sarawak, walaupun berbilion ringgit dikutip kerajaan pusat daripada minyak di Borneo.
Rasa tidak puas hati seperti itu mencetuskan cadangan, hasrat, dan juga kadangkala desakan pihak tertentu untuk keluar dari Malaysia. Ini boleh dikatakan satu gerakan “kemerdekaan”. Sama ada ia ancaman kosong, soal lain.
Bagaimanapun, ahli politik Sarawak, mendiang James Masing pernah dipetik berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan untuk membolehkan Sarawak dan Sabah keluar Malaysia.
Lalu kita ada membaca laporan media bahawa polis menyiasat kumpulan yang mengancam untuk membawa Sabah atau Sarawak keluar Malaysia.
Ada kumpulan dan individu di Semenanjung menggesa kerajaan persekutuan mengambil tindakan tegas ke atas orang yang menjalankan kempen keluar Malaysia di Sabah dan Sarawak.
Ini kerana, menurut mereka, gerakan sebegitu bahaya, mengancam keselamatan negara, dan menghina Perlembagaan yang nyata menegaskan Sabah dan Sarawak sebahagian daripada Malaysia yang sah dan tidak boleh keluar sama sekali.
Lalu kita ada membaca laporan media bahawa polis menyiasat kumpulan yang menuntut membawa Sabah atau Sarawak keluar Malaysia.
Itu semua kisah Sabah dan Sarawak.
Khamis lalu bersamaan 16 Jun 2022, kita dengar lagi cakap-cakap keluar Malaysia.
Kali ini lebih menggemparkan kerana disuarakan di Semenanjung oleh salah seorang raja Melayu, yakni Sultan Johor. Seperti di Sabah dan Sarawak, aspek “anak tiri” timbul. Titah baginda: “Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor antara penyumbang utama ekonomi negara.”
Begitu titah Sultan Johor secara terbuka pada perasmian pembukaan penggal persidangan pertama Dewan Undangan Negeri ke-15.
Lalu baginda menyeru kerajaan persekutuan menunaikan janji menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dan juga Lebuhraya Senai-Desaru, di samping membaik pulih jalan persekutuan di Johor yang rosak serta berlubang, dan keadaan bangunan persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik.
Sultan Johor juga menggesa kerajaan persekutuan memberi peruntukan lebih banyak kepada Johor kerana setiap tahun, menurut baginda, hampir RM13 bilion hasil persekutuan dikutip di Johor.
Maka titah Sultan Johor, “jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia” dan “kemungkinan Johor akan lebih maju, jika berdiri di atas kaki sendiri”.
Persoalan yang mesti diajukan kepada kerajaan persekutuan sekarang, khususnya Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ialah jika apa yang Sultan Johor titah itu benar, bilakah janji yang dibuat berhubung lebuh raya yang dibangkitkan baginda mahu ditepati?
Adakah bangunan persekutuan dalam keadaan tidak diselenggara dengan baik seperti titah Sultan Johor? Jika ya, bilakah langkah wajar akan diambil?
Persoalan utama, benarkah Johor “dianaktirikan” atau menurut Sultan Johor “seolah-olah dianaktirikan”.
Jika benar, bagaimana ia terjadi dan apa caranya untuk menyelesaikan masalah besar ini?
Adakah kerajaan persekutuan akan menambah peruntukan kepada Johor? Diakui ini merumitkan kerana kerajaan persekutuan bukan sahaja mesti berlaku adil, tetapi juga dilihat adil kepada semua negeri.
Adakah kerajaan persekutuan berpendapat peruntukan sedia ada yang disalurkan kepada Johor sudah memadai dan mencukupi?
Yang penting ialah Ismail dan pentadbirannya mesti beri perhatian terhadap “amaran” Sultan Johor “jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia”.
Adakah justifikasi yang ditampilkan di Sabah dan Sarawak dalam berdepan ancaman keluar Malaysia, terpakai juga di Johor?
Sehingga artikel ini ditulis, Ismail belum tampil dengan reaksinya, begitu juga pemimpin kanan Umno, terutama yang berbangsa Johor.
Isu ini bukan remeh. Perdana menteri dan Jemaah Menteri mesti melakukan sesuatu demi kebaikan semua – Johor dan negara. Membisu dan berpeluk tubuh tentunya bukan pilihan.
*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2022/06/18/adakah-benar-johor-dianaktirikan/
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|