Peningkatan harga barangan pada masa kini tidak hanya dirasai individu berpendapatan tinggi tetapi memberikan impak besar buat mereka yang meraih pendapatan di bawah RM1,000. Untuk menyara diri sendiri pun sukar inikan pula untuk menampung keperluan keluarga.
Menerusi perkongsian pengacara Fedtri Yahya di Twitter, seorang individu tampil mengajukan pertanyaan adakah normal bagi seorang guru tadika menerima gaji kurang daripada RM500 sebulan memandangkan keadaan ekonomi yang semakin meningkat.
"I need you help to ask around. Normal ke masih bergaji RM450 sebulan dalam ekonomi yang meningkat sekarang ini? Saya bekerja sebagai guru di sebuah tadika Islam yang saya tak nak sebut namanya," tulis individu berkenaan.
Guru tadika itu juga menjelaskan dia jadual bekerjanya yang bermula seawal 7.30 pagi sehingga 1 petang dan menjaga 19 orang murid. Pihak sekolah turut meletakkan sasaran tinggi untuk akademik, hafalan surah dan hadis.
Gambar Hiasan (Sumber Google)
"Saya baru mengajar tahun lepas. Saya bukan bersuara untuk diri saya seorang tetapi kebanyakan rakan kerja memang cakap benda yang sama cuma kami tak ada keberanian dan saluran untuk menyuarakan pasal gaji ni.
"Contoh dah bekerja hampir 10 tahun pun masih bergaji RM500 sebab kebanyakan rakan kerja ni dah berusia," tulisnya lagi.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai yang rata-rata bersimpati dengan nasib guru tadika tersebut. Mereka menyifatkan majikan individu berkenaan melakukan penindasan dan memintanya untuk melaporkan kepada jabatan buruh.
Ada juga beberapa dalam kalangan netizen dan cuba meneka nama tadika tempat guru tersebut bertugas.
Mac lalu, kerajaan sudah meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula Mei lalu namun ia hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. -CARI
|