|
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) melahirkan kebimbangan dengan isu kos sara hidup selepas pengumuman kerajaan untuk menghapuskan subsidi bagi minyak masak tulen berbotol serta harga siling telur dan ayam mulai 1 Julai ini.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, ketika ini kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling ini.
Gambar hiasan
Foto: BH
“Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat.
“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda.
“Ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.
Kenyataan itu juga menyebut, Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.
“Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup.
“Oleh itu, kerajaan mesti mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup ini dalam masa 24 jam,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, sekiranya tiada langkah diambil, Majlis Presiden PH mendesak menteri yang bertanggungjawab untuk melepaskan jawatan kerana gagal menjaga kepentingan rakyat.
“Pakatan Harapan juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” katanya.
Sumber: MalaysiaGazette |
|