KABUL: Jurucakap Kerajaan Taliban, Bilal Karimi memaklumkan angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda timur Afghanistan hari ini sudah mencecah 1,000 orang.
Kebanyakan kematian yang disahkan adalah di daerah Barmal, Ziruk, Naka dan Gayan di wilayah Paktika, daerah paling terjejas di wilayah timur melibatkan 255 orang terbunuh dan lebih 200 cedera.
Di wilayah Khost, 25 maut dan 90 dibawa ke hospital.
“Ratusan rumah musnah teruk dan kita jangka kehilangan besar nyawa manusia serta kerosakan besar infrastruktur,” katanya.
Karimi berkata, ratusan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter yang melanda Afghanistan awal pagi semalam, dilaporkan melanda penduduk di bahagian timur sehingga dapat dirasakan oleh negara jiran, Pakistan.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi itu berlaku kira-kira 44 kilometer (km) dari bandar Khost, berhampiran sempadan Pakistan.
Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) melalui Twitternya memaklumkan, gegaran itu turut dirasakan kira-kira 119 juta penduduk di Pakistan, Afghanistan dan India.