KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak yang maut terjatuh dari tingkat 10 di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, di sini, dipercayai memanjat mangkuk tandas di bilik air sebelum keluar dari tingkap kecil.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, ibu mangsa berusia 32 tahun dikatakan berada di ruang tamu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah.
“Kanak-kanak terbabit dipercayai masuk ke dalam bilik air dan memanjat mangkuk tandas sebelum terjatuh dari tingkap yang ada di dalam bilik itu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Town Hall berhubung isu online scammer oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2, Kepong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Eng Lai, keterangan ibu mangsa akan diambil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, keadaan ibu mangsa masih belum stabil dan menangis,” jelasnya. –
UTUSAN