|
44 jam harung kesesakan sebulan
Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan Muhamaad Razis Ismail
Kuala Lumpur: Dianggarkan pekerja di Lembah Klang terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya 44 jam sebulan di dalam kenderaan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ts Dr Ismaniza Ismail berkata, setiap hari pekerja yang berulang alik ke tempat kerja terpaksa 'meluangkan' masa kira-kira sejam atau dua jam di dalam kenderaan.
"Bayangkan berapa banyak masa terbuang setiap hari akibat kesesakan jalan raya. Katakan setiap pagi, seorang pekerja bangun awal untuk pergi ke tempat kerja dan pulang awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
"Walaupun cukup lapan jam waktu bekerja harian, hakikatnya tetap ada sejam dua yang 'hilang' dalam perjalanan," katanya.
Menurutnya, apabila keadaan ini berlaku, ia turut memberi kesan terhadap kos produktiviti pekerjaan.
"Sekiranya purata gaji sejam ialah RM7, didarab dengan dua jam dan 22 hari bekerja, kerugian produktiviti dianggarkan RM308 sebulan yang 'terbazir' di atas jalan," katanya.
Di samping itu, jelasnya, diakui masalah kesesakan jalan raya yang teruk sejak kebelakangan ini boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal, emosi dan mental pekerja.
"Tertekan akibat terperangkap dalam trafik yang statik, boleh mengganggu emosi dan produktiviti, sekali gus menjejaskan suasana kerja.
"Duduk terlalu lama di dalam kenderaan juga boleh menyebabkan sakit belakang sekiranya tidak ergonomik," katanya.
Beliau berpendapat, waktu kerja fleksibel adalah antara inisiatif berkesan yang boleh dipertimbangkan untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan produktiviti kerja.
"Minggu kerja fleksi yang menawarkan pilihan hari bekerja seperti yang diamalkan di banyak negara maju atau bekerja dari rumah juga adalah alternatif yang boleh meningkatkan produktiviti kerja kerana kurang risiko terperangkap dalam kesesakan.
"Namun, ini tidak dapat dimanfaatkan oleh pekerjaan tertentu seperti guru yang tiada pilihan untuk keluar bekerja dan juga pengguna jalan raya yang menghantar anak ke sekolah," katanya.
Katanya, menaik taraf kualiti perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada dengan jaringan laluan yang lebih ekstensif adalah antara usaha yang sewajarnya dilaksanakan.
"Sudah tentu juga jadual perjalanan sesebuah pengangkutan awam itu perlu efisien, agar tidak jadi seperti lari dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya," katanya.
Biarpun begitu, beliau berpandangan, sementara menanti tindakan daripada pihak kerajaan, pengguna sendiri perlu bijak menyediakan diri untuk menghadapi masalah berkenaan mengikut kapasiti masing-masing.
"Jika mahu kekal mengatur perjalanan kerana tiada pilihan lain, ini bermakna perlu berkorban membabitkan beberapa aspek yang dinyatakan tadi (masa, kos) tetapi saya kira itu masih boleh diterima.
"Pengorbanan sedemikian adalah wajar untuk ketenangan minda, bebas daripada tekanan dan terus memacu produktiviti di tempat kerja," katanya.
Kesihatan terimpak apabila jalan raya sesak
Tekanan, kebimbangan dan sugul adalah kesan kesihatan utama dihadapi individu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dalam tempoh lama setiap hari, khasnya di Lembah Klang.
Pada masa sama, ia juga boleh memberikan kesan menyeluruh membabitkan pelbagai organ tubuh.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, berada dalam kenderaan terlalu lama akan mengurangkan masa individu untuk bergerak aktif.
"Keadaan ini boleh dikaitkan dengan masalah lain seperti darah tinggi, obesiti, kencing manis dan masalah jantung.
"Segelintir pula akan mengalami kesan kepada jantung, meningkatkan sikap agresif (aggression), merasa gemuruh dan sakit jantung akibat tertekan.
"Selain itu, ia mampu meningkatkan alahan, kesukaran bernafas, kurang masa tidur malah ada yang mengaitkan dengan kematian awal," katanya.
Dr Sharifa Ezat berkata, mereka yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk boleh merasai gejala seperti sakit kepala, lenguh di kawasan leher dan pinggang, sakit kaki, pening dan rasa mual.
Kata Dr Sharifa Ezat, bagi pengguna yang menghidap masalah jantung, darah tinggi, kencing manis, barah dan sebagainya, ada kemungkinan tahap penyakit terbabit menjadi lebih teruk apabila kerap terperangkap dalam kesesakan dalam tempoh lama.
"Ini kerana, kesesakan jalan raya juga meningkatkan pencemaran udara seterusnya menyebabkan darah mereka terdedah kepada bahan pencemaran berkenaan.
"Secara tidak langsung, ia meningkatkan risiko salur darah menjadi sempit, sakit dada (angina), serangan jantung, kesukaran bernafas, risiko karsinogenesis (risiko menjadi barah) terutama barah paru-paru," katanya.
Jelasnya, penggunaan penyaman udara kenderaan digalakkan semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya bagi mengurangkan kemasukan partikel halus ke dalam kenderaan.
"Kadar pencemaran udara di kawasan trafik sesak adalah tinggi, begitu juga di persimpangan lampu isyarat kerana asap kenderaan 'terkumpul' di kawasan berkenaan yang tiada pergerakan udara.
"Elakkan merokok atau menghisap vape di dalam kenderaan kerana tiada sistem pengudaraan yang baik.
"Penumpang yang menaiki kenderaan dipandu perokok mendedahkan mereka sebagai perokok pasif," katanya.
Dr Sharifa Ezat berkata, terperangkap dalam kesesakan jalan raya juga mengurangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal dan kerana itu, pemakanan sihat perlu diamalkan bagi menjamin kesihatan.
"Perkara lain perlu dititikberatkan ialah menjarakkan kenderaan dengan kenderaan lain supaya tidak terlalu rapat dengan ekzos kenderaan berkenaan.
"Ini bagi mengelakkan penyaman udara menyedut udara kotor daripada ekzos kenderaan di hadapan seterusnya menghasilkan udara lebih kotor dalam kenderaan mereka.
"Lakukan sedikit aktiviti regangan ringan, tenangkan fikiran dengan memasang muzik atau zikir bagi mengurangkan tekanan sepanjang terperangkap dalam kesesakan," katanya.
Disiarkan pada: Jun 25, 2022 @ 12:00pm
sumber: hmetro.com.my |
|