SEREMBAN: Seramai 56 orang pengamal media tanah air hari ini menyertai Pertandingan Menembak Bersama Media anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(Maritim Malaysia) di Lapang Sasar Mantin, di sini.
Acara tersebut yang bertujuan mengeratkan hubungan kedua-dua pihak tersebut kembali diadakan tahun ini selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, penganjuran pertandingan menembak berkenaan kali terakhir diadakan pada tahun 2019 dan menyedari kepentingan kerjasama itu ditingkan, ia dianjurkan sekali lagi tahun ini.
“Tujuan yang penting ia diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim antara warga Maritim Malaysia dengan media. Hubungan ini perlu diteruskan, kita kena kenal supaya mudah kita berurusan nanti,” katanya.
Tambah beliau, acara tersebut juga bertujuan memberi pendedahan kepada pengamal media melihat secara fizikal kemahiran pengendalian senjata kecil anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.
Sementara itu, enam kategori diadakan dalam pertandingan tersebut seperti Precision Berkumpulan dan kategori Jatuhan Piring.
Wartawan Utusan Malaysia, Siti Nurshafiqah Abd. Shukor muncul naib juara kategori Precision Perseorangan Wanita Media sekali gus membawa pulang plak pemenang dan hamper. -UTUSAN