GOMBAK: Seorang lelaki warga asing mati selepas tertetak pehanya sendiri ketika bergelut dengan seorang lelaki yang mahu disamun di Taman Perindustrian Kepong (KIP) di sini, hari ini.
Suspek berusia 50 tahun bersenjatakan sabit panjang dilaporkan sempat beberapa kali menetak mangsa yang kemudiannya mengambil kerusi untuk mempertahankan diri.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komissioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai suspek yang tertiarap atas jalan dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam di tempat kejadian.
"Siasatan di tempat kejadian menemui suspek tertiarap di atas jalan dan terdapat sebilah sabit panjang dalam genggaman tangan kanannya.
"Sementara itu mangsa juga seorang warga asing berusia 48 tahun yang parah ditetak dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh, namun disahkan meninggal dunia tengah hari tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainal Mohamed berkata, hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati suspek telah datang ke premis dan berbual dengan mangsa namun tiba-tiba suspek terus menyerang beberapa kali menetak mangsa dengan menggunakan sabit panjang dengan niat ingin menyamun.
"Mangsa ketika itu mengambil sebuah kerusi plastik dan cuba mempertahankan diri daripada terus dicederakan oleh suspek.
"Semasa bergelut, senjata yang digunakan suspek untuk menetak mangsa terkena pada bahagian paha kirinya sendiri sebelum suspek terus berlari ke arah luar premis dan terus rebah atas jalan pada jarak lebih kurang 36 meter dari lokasi kejadian," katanya.
Suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan hospital di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah disyaki cubaan samun sehingga menyebabkan kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.